ALOR SETAR - Status permohonan permit bagi mengadakan debat antara Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Naib Ketua Umno Bahagian Pokok Sena, Haris Che Mat masih dalam proses pertimbangan.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin ketika ditemui mengesahkan menerima permohonan permit itu yang dicadangkan penganjurannya pada 17 April atau 5 Mei depan.
“Status permohonan itu masih dalam proses, sama ada mengizinkan atau tidak. Kita tak tahu lagi bila, dalam masa 10 hari kita boleh tahu keputusannya.
“Buat masa ini ia masih dalam proses untuk kita melihat dari aspek keselamatan dan juga maklum balas orang awam,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri program lawatan ke wad kanak-kanak, wad pesakit warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan program derma darah sempena peringatan hari polis ke-210 di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, hari ini.
Sebelum ini, satu notis makluman program debat antara Mukhriz dan Haris telah dihantar ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar kira-kira jam 4.55 petang, semalam.
Tujuan debat itu diadakan adalah untuk memperjelaskan perkara-perkara yang dibangkitkan oleh Haris mengenai punca kekayaan dimiliki bekas Menteri Besar Kedah itu yang didakwa mencecah berbilion ringgit.
Selain itu, ia juga bagi membolehkan Haris menjawab dari manakah anak tiri Perdana Menteri, Riza Aziz mendapat kekayaannya untuk membikin filem lucah yang memakan belanja 100 juta dolar Amerika Syarikat dan membayar hutang judi 13 juta dolar Amerika Syarikat di pusat perjudian Las Vegas.
sinar
0 comments:
Post a Comment