Bersatu sudah mengenal pasti segelintir ahlinya yang bermasalah termasuk disogok habuan wang untuk merosakkan parti itu dari dalam.
Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, bagaimanapun tindakan perundangan tidak akan diambil terhadap golongan itu memandangkan kesemua yang terpalit dengan kontroversi itu sudah meninggalkan parti.
“Ia melibatkan segelintir ahli parti sahaja, kemungkinan jumlahnya hanya puluhan yang terlibat dengan perbuatan itu. Namun saya ingin tegaskan, ia tidak beri kesan buruk kepada parti kerana majoriti ahli nekad pastikan matlamat untuk selamatkan negara diutamakan,” katanya, selepas majlis penyerahan watikah kepada Ketua Srikandi Bahagian Bersatu Kedah, semalam.
Hadir sama, Ketua Srikandi Bersatu, Rina Mohd Harun.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan sumber mendedahkan wujudnya aktiviti menjual jawatan tertinggi parti itu di beberapa bahagian, dan ditawarkan jawatan dengan syarat tertentu, selain terpalit dengan kepimpinan yang tidak bersih seperti pemimpin muflis dan mempunyai rekod polis, sehingga Bersatu dilabel berdepan masalah kepimpinan yang serius.
Menurutnya, ia adalah masalah remeh yang sudah diselesaikan.
“Kita juga maklum ada unsur sabotaj oleh satu parti lawan yang menggalakkan ahlinya sertai Bersatu dengan tujuan memecah belah kita dari dalam. Hasil siasat segelintir itu turut ditawarkan habuan wang termasuk tawaran tertentu. Kami ambil pendekatan berhemah untuk tangani isu ini,” katanya.
Mukhriz berkata, pihaknya turut mempunyai bukti sahih berkenaan isu itu, dan bukannya tuduhan melulu.
“Memang ada bukti yang didedah tanpa sengaja oleh individu terlibat. Mereka pun sudah umum keluar parti, jadi kami tidak berhasrat ambil tindakan perunda-ngan,” katanya.
Menurutnya, bagaimanapun bukan semua ahli yang meninggalkan parti itu terjebak dengan sogokan wang yang ditawarkan pihak ketiga.
“Sebahagian ahli yang keluar ada berikan alasan peribadi atau alasan lain,” katanya.
Mukhriz berkata, parti itu mahu menerapkan budaya lebih sihat kepada ahlinya sebagai pegangan dengan mengekang budaya makan dedak mahupun mengampu pemimpin untuk jawatan selain menolak rasuah. - Sinar Harian
0 comments:
Post a Comment