Latest News

Monday 3 April 2017

Tindakan Polis Halang Debat Tidak Munasabah - Muhyiddin


TINDAKAN POLIS HALANG DEBAT MAHATHIR-NAZRI TIDAK MUNASABAH DAN BERCANGGAH DENGAN PERLEMBAGAAN

Tindakan pihak polis menghalang debat antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Dato' Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz adalah tidak munasabah dan bercanggah dengan perlembagaan. Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan menjamin hak setiap warganegara untuk berhimpun secara aman dan hak ini hanya boleh disekat oleh undang-undang atas sebab keselamatan atau ketenteraman awam.

Debat yang dijadualkan akan diadakan di Dewan Karangkraf, Shah Alam, iaitu satu tempat tertutup dengan jumlah hadirin yang terhad bukanlah satu ancaman kepada keselamatan atau ketenteraman awam. Seorang yang waras tentunya tidak dapat membayangkan bagaimana debat antara dua orang tokoh politik yang diadakan di tempat yang tertutup dan terkawal boleh bertukar menjadi ancaman kepada keselamatan.

Malah, debat seumpama ini pernah diadakan di antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Dato' Sri Ahmad Shabery Cheek pada 15 Julai 2008 di Dewan Bahasa dan Pustaka. Debat ini yang membincangkan isu kenaikan harga minyak yang merupakan isu politik yang hangat dibincangkan pada ketika itu berlangsung dalam suasana aman tanpa sebarang ancaman kepada keselamatan dan ketenteraman awam.

Saya percaya suasana yang sama akan dapat dilihat dalam debat antara Tun Dr Mahathir dan Nazri jika ia dibenarkan berlangsung. Mereka yang hadir sudah tentu ingin mendengar hujjah kedua-pihak dan bukannya untuk menimbulkan huru-hara. Justeru, tindakan pihak polis menghalang debat ini atas alasan keselamatan adalah tidak munasabah dan tidak berperlembagaan.

Malah, di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012, pihak polis tidak lagi mempunyai kuasa untuk menghalang suatu perhimpunan aman daripada diadakan. Pihak penganjur hanya perlu memberikan notis kepada polis untuk menganjurkan sesuatu perhimpunan dan syarat-syarat tertentu boleh ditetapkan oleh pihak polis untuk memastikan perhimpunan tersebut berlangsung secara aman.

Dengan menghalang penganjuran debat antara Tun Dr Mahathir dan Nazri, pihak polis sebenarnya telah bertindak di luar bidangkuasa yang diberikan kepada mereka oleh Perlembagaan dan undang-undang negara. Tindakan ini secara tidak langsung menyekat kebebasan rakyat untuk bersuara dan membantut usaha mencari kebenaran.

TAN SRI DATO' HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN

Presiden
Parti Pribumi Bersatu Malaysia

3 April 2017
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Tindakan Polis Halang Debat Tidak Munasabah - Muhyiddin Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top