Latest News

Saturday 5 August 2017

BERLAKU ADILLAH WAHAI DR. FATHUL BARI



Saya merujuk satu kenyataan dari EXCO Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr Fathul Bari Mat Jahya di laman Facebooknya bertarikh 3hb Ogos 2017 yang berunsur dukungan terhadap cercaan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi terhadap keturunan Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir.

1) Amatlah menyedihkan jika seorang yang mempelajari ilmu agama ke tahap PhD seperti Dr. Fathul Bari ini pun turut bermain politik mengampu, hingga sanggup membutakan mata terhadap isu sebenar kenapa Timbalan Perdana Menteri itu cuba memperlekeh keturunan Tun Dr. Mahathir. Tidakkah Dr. Fathul Bari tahu bahawa niat pihak yang mengejek keturunan Tun Dr. Mahathir itu seolah-olah mahu menggambarkan kepada umum bahawa Tun Dr. Mahathir bukanlah Melayu tulen? Dan kononnya beliau tidak berhak bercakap atas kapasiti seorang Melayu apatah lagi negarawan untuk menyelamatkan negara tercinta ini dari kerosakan integriti yang serius melanda pentadbiran negara kini, tidakkah Dr. Fathul Bari faham atau sengaja buat-buat tidak faham dek semata-mata kerana mahu menjadi pahlawan mempertahankan bos anda di dalam UMNO?

2) Walaupun Datuk Seri Zahid Hamidi tidak memaki keturunan Tun Dr. Mahathir atau membangga diri keturunan Jawanya, tetapi fakta yang dikemukakan Timbalan Perdana Menteri ketika berucap di khalayak ramai mengenai nama Tun Dr. Mahathir dalam kad pengenalan lama itu adalah salah dan tidak wujud. Ayah kepada Tun Dr. Mahathir ialah Melayu bernama Mohamad Bin Iskandar, seorang pengetua pertama sekolah ternama di Kedah iaitu Kolej Sultan Abdul Hamid. Ia merupakan sekolah tokoh-tokoh terkenal dari Kedah seperti Sultan Abdul Halim Sultan Kedah sekarang serta Tun Daim Zainuddin. Manakala dakwaan kononnya tertera tulisan Mahathir Anak Lelaki (A/L) Iskandar Kutty dalam kad pengenalan lama negarawan tersebut juga merupakan fitnah kerana Iskandar adalah datuk kepada Tun Dr. Mahathir, bukan ayahnya.

3) Timbul pula persoalan, sejak bila Tun Dr. Mahathir tidak pernah mengaku ada darah keturunan dari Kerala, India? Adakah Dr. Fathul Bari pernah membaca buku tulisan Tun Dr. Mahathir bertajuk Doktor Umum: Memoir Tun Dr. Mahathir Mohamad yang jelas menyatakan kisah sejarah keluarganya. Dan berapa peratus pula darah India dalam diri Tun Dr. Mahathir sekarang jika hanya seorang datuknya sahaja yang berasal dari India, manakala yang lain-lain dalam keluarga orang tua Tun Dr. Mahathir merupakan Melayu belaka? Dan apakah mereka yang mempunyai sedikit darah keturunan dari bangsa lain tidak patut dianggap Melayu atau tidak setaraf Melayu yang kononnya tulen. Dr. Fathul Bari patut kembali merujuk definisi MELAYU dalam Perlembagaan Negara Perkara 160 (2) yang tidak mengklasifikasikan MELAYU itu melalui genetik tetapi lebih kepada beberapa syarat.

4) Bercakap mengenai politik, memang Tun Dr. Mahathir selaku nasionalis Melayu sentiasa memperingatkan agar orang Melayu perlu bersatu padu, tetapi bersatu atas dasar apa? Sudah tentulah atas dasar kebenaran. Apa guna bersatu guna nama bangsa tetapi mendukung pemimpin yang berbuat kemungkaran serta korup, itu ASOBIYYAH namanya Sheikh. Oleh yang demikian, wujudnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pada hari ini tidak lain dan tidak bukan adalah untuk menyeru perpaduan kaum Pribumi termasuk Melayu-Islam ini tadi agar meninggalkan UMNO dan sama-sama mengimarahkan suatu wadah politik baru yang lebih segar, tegas berprinsip serta tidak lagi berkompromi dengan budaya berpolitik UMNO yang berasaskan wang Ringgit semata-mata. Politik itu dinamik. Musuh kita pada hari ini mungkin bukan lagi musuh pada masa hadapan. Kerana manusia boleh berubah sama ada ke arah semakin baik atau semakin buruk. Dan kerana memilih pihak mana yang paling kurang mudarat antara pilihan-pilihan yang tidak sempurna.

5) Tidak perlu saya berhujah panjang lebar mengenai sebab musabab kenapa Tun Dr. Mahathir terpaksa keluar dari UMNO, mewujudkan parti baru dan membuat kerjasama dengan rakan-rakan parti pembangkang yang lain. Rakyat di luar sana sudah semakin ramai yang tahu dan sedar bahawa negara kini diambang krisis integriti, keadilan serta urus-tadbir yang korup akibat daripada budaya bertuhankan wang Ringgit hingga terjadinya skandal penggubahan wang haram antara yang terbesar di dunia melibatkan syarikat milik Kerajaan Pusat, 1MDB. Akibat dana negara yakni wang rakyat digunakan tanpa amanah, maka satu persatu subsidi terpaksa dilupuskan, GST dikenakan, nilai caj atau tarif melibatkan keperluan awam turut dinaikkan hingga menjadikan kos sara hidup ke tahap yang tidak masuk akal lagi terutama bagi mereka yang hidup di bandar dan di pinggir bandar.

6) Negara ini adalah negara Malaysia, bukan Arab Saudi, di mana kita menggunapakai sistem DEMOKRASI & RAJA BERPERLEMBAGAAN bukannya Monarki Mutlak seperti di negara pujaan Dr. Fathul Bari tersebut. Maka tidaklah menghairankan jika sesuatu kerajaan di negara ini mahu dijatuhkan melalui platform pilihanraya, kerana ia merupakan jalan yang sah dijamin perlembagaan. Maka tidak wujud persoalan rakyat perlu taat setia atau wala' kepada pemimpin politik negara secara total, apatah lagi dalam hal-hal yang melibatkan kemungkaran, kerana setiap warganegara Malaysia dijamin haknya untuk memilih pemimpin mengikut saluran demokratik yang ada. Dr. Fathul Bari perlulah adil, bahawa kita tidak boleh terlampau tertutup dan menekan kehendak rakyat, sungguhpun kita menolak kebebasan melampau seperti di dunia Barat. Islam itu sederhana dan seimbang. Negara kita masih dianggap negara Islam sungguhpun menggunapakai sistem politik pilihan kita sendiri.

WALLAHUALAM

-Dr. Muhammad Faiz Bin Na'aman
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi
EXCO ARMADA Nasional
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM)
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: BERLAKU ADILLAH WAHAI DR. FATHUL BARI Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top