Latest News

Monday 9 October 2017

Dr Mahathir gesa pemimpin akar umbi tingkat kempen lawan Najib



DR Mahathir Mohamad mahu pemimpin akar umbi Bersatu meningkatkan kempen menentang pentadbiran Perdana Menteri Najib Razak dengan memberitahu rakyat Malaysia yang negara akan hancur sekiranya pentadbiran sedia ada terus memerintah.

Dalam pertemuan tertutup dengan ketua penerangan Bersatu dan timbalannya sepanjang hujung minggu lalu, pengerusi parti itu berkata mesej ini perlu dicanangkan kepada rakyat Malaysia sehingga pilihan raya.

"Pemimpin ini (Najib) mencuri berbilion ringgit dan merosakkan negara.

"Sekiranya kita kalah (Pilihan Raya Umum ke-14), rakyat Malaysia akan berdepan dengan masa depan yang teruk kerana Najib akan memusnahkan negara," katanya.


Dr Mahathir memberitahu kepada pemimpin akar umbi agar tidak memfokuskan kepada isu remeh yang akan mengganggu mereka, sebaliknya jelaskan kepada rakyat mengapa Najib perlu disingkir.

Beliau kemudiannya menyenaraikan isu yang perlu dibawa, bermula dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan derma RM2.6 bilion yang ditemui dalam akaun peribadi perdana menteri itu.

"Beberapa isu boleh dimainkan seperti 1MDB, jumlah wang yang beliau (Najib) ada dalam akaunnya, isu beliau memberi dana kepada Amerika Syarikat (AS) untuk membantu mereka.

"Ini merupakan kali pertama dalam sejarah negara miskin cuba membantu negara kaya," katanya merujuk kepada lawatan tiga hari Najib ke AS bulan lalu yang menyaksikan Najib menawarkan pelaburan berbilion ringgit untuk ekonomi AS.

Tambahnya, media antarabangsa turut menggelar Najib "perdana menteri Malaysia yang jahat" dan banyak isu mengenai salah lakunya.

"Semua isu ini boleh digunakan. Ia terpulang kepada rakyat.

"Sudah banyak yang ditulis di media alternatif. Banyak bahan yang boleh kita gunakan untuk jatuhkannya," tambah Dr Mahathir.


Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua berkata penting untuk semua pemimpin pembangkang mengetahui secara terperinci mengenai isu 1Malaysia Development Berhad bagi memudahkan ia disampaikan kepada rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Oktober, 2017.

Bekas perdana menteri yang aktif berpolitik sejak 60 tahun lalu itu berkata, beliau tidak pernah melihat banyak isu yang terpaksa dihadapi kerajaan menjelang pilihan raya umum.

"Saya sudah lama terlibat dalam politik negara dan tidak pernah ada pilihan raya dengan banyak isu yang boleh dibangkitkan," katanya.

Dengan ceramah kleptokrasi yang tamat secara rasminya, pemimpin akar umbi Bersatu diminta memainkan peranan memberitahu rakyat tentang bahayanya kerajaan sekarang.

Ceramah anti kleptokrasi yang diadakan selama tiga bulan di seluruh negara yang tamat malam tadi di Klang, menyasarkan untuk merungkaikan dan menjelaskan mengenai skandal 1MDB.

Pimpinan Pakatan Harapan (PH) mengambil bahagian dalam ceramah yang meliputi kawasan bandar dan luar bandar di seluruh negara itu.

Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua, yang merupakan penceramah pada siri jelajah 1MDB itu, turut hadir pada mesyuarat Bersatu untuk menunjukkan kepada pimpinan parti itu slaid, butiran bagaimana wang didakwa dicuri daripada 1MDB.

"Sebagai ketua penerangan parti, kamu perlu tahu bagaimana untuk menyebarkan maklumat ini kepada rakyat," kata Dr Mahathir yang juga pengerusi PH.

Laporan media antarabangsa mengenai pertemuan bersejarah Najib dengan Presiden AS Donald Trump bulan lepas juga jauh berbeza dengan laporan positif media tempatan. – 9 Oktober, 2017.

www.themalaysianinsight.com
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Dr Mahathir gesa pemimpin akar umbi tingkat kempen lawan Najib Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top