1. Di antara usaha Najib untuk menentukan kemenangan baginya ialah menyekat dana daripada didapati oleh parti lawan.
2. Orang yang berada dan mungkin menderma kepada parti lawan diugut dan didera dengan mengganggu kehidupan mereka. Institusi yang diguna ialah polis, Jabatan Hasil dalam Negeri dan juga SPRM.
3. Pegawai Jabatan Hasil akan menggeledah premis dan membuat tuntutan bayaran cukai korporat tambahan yang tidak berasas. Jika sasaran enggan membayar mereka akan senarai hitamkan syarikat, merampas buku-buku akaun dan rekod-rekod supaya perniagaan tidak dapat dijalankan.
4. Jika mereka sedang melaksanakan kontrak dengan Kerajaan, atau mereka membuat permohonan untuk kontrak, semuanya akan dibatalkan.
5. Bank-bank diarah supaya tidak memberi pinjaman modal atau apa-apa pinjaman kepada syarikat atau individu yang menyokong parti-parti lawan.
6. Cukai tambahan yang dikenakan boleh meningkat sehingga puluhan, bahkan ratusan juta.
7. Segala urusan perniagaan diganggu, kebenaran ditangguh berbulan bahkan bertahun.
8. Peniaga kecil juga diugut sehingga mereka terpaksa tutup perniagaan.
9. Sekarang ini tuduhan dibuat kononnya peniaga terlibat dengan pembersihan wang (money laundering) yang didapati secara salah, seperti dicuri atau dari perniagaan dadah. Bukti, kesalahan ini tidak ditunjuk. Hanya dengan membuat tuduhan maka akaun wang dalam bank pihak yang dituduh boleh dibekukan. Ini menghentikan perniagaan yang dituduh. Jika bangunan sedang didirikan, kerja terpaksa dihentikan. Peniaga mungkin kehilangan punca pendapatan sama sekali.
10. Pejabat boleh digeledah dan buku-buku dirampas. Mangsa tidak berani bantah atau bersuara kerana tindakan yang lebih keras akan dikenakan. Jika mangsa membuat pengaduan di mahkamah, perbicaraan akan mengambil masa yang panjang. Mangsa akan menderita bertahun-tahun.
11. Pegawai-pegawai Kerajaan yang bersara tidak berani menyertai parti lawan kerana ugutan dan tekanan yang akan dikenakan kepada mereka.
12. Parti lawan sekarang tidak dapat mengumpul dana untuk urusan parti. Walaupun ahli dan pemimpin sanggup berkorban untuk membiayai aktiviti mereka, tetapi untuk pilihan raya wang yang banyak diperlukan.
13. Poster, sepanduk, rapat umum, perjalanan, kempen, bendera dan bermacam lagi alatan perlu disediakan. Jika kempen yang kerap yang disertai dengan poster-poster yang menarik tidak diadakan maka pengundi tidak akan dapat penerangan perjuangan parti lawan serta menafi dan menolak secara berkesan dakwaan Parti Kerajaan.
14. Kata Najib “Cash is King”, “Wang tunai itu Raja” . Dengan duit yang banyak yang ada padanya dan penyalahgunaan wang Kerajaan, rakyat mudah tertipu.
15. Maka benarlah slogan Najib “Cash is King”. Baginya wang akan menentukan kemenangan baginya.
16. Pakatan Harapan dan parti-parti dalam gabungan pembangkang mungkin tidak ada dana yang cukup. Tetapi dana yang kurang ini diganti dengan semangat yang kental dan kesanggupan untuk berkorban apa sahaja demi bangsa, agama dan tanahair. Juga balasan diakhirat kerana berpegang teguh kepada kebenaran dan menolak kemungkaran.
17. Cash mungkin dianggap sebagai King oleh Najib. Tetapi rasuah tetap rasuah. Memenangi PRU dengan rasuah masih merupakan rasuah dan jenayah dalam masyarakat Malaysia. Ia masih juga berdosa disisi agama Islam.
http://chedet.cc
0 comments:
Post a Comment