Mendakwa Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) sengaja melengahkan pendaftaran mereka, Pakatan Harapan (HARAPAN) berkata mereka mempunyai 'pelan B' untuk menghadapi perkara itu.
"Kami akan mengambil beberapa tindakan susulan dan akan diumumkan minggu ini.
"Tetapi pelan B ini kita tidak boleh beritahu (pada masa ini)," kata Pengerusi HARAPAN Tun Dr Mahathir Mohamad pada sidang media di pejabat pembangkang di Parlimen, hari ini.
Tetapi buat masa ini, kata bekas perdana menteri itu lagi, HARAPAN akan tetap mematuhi syarat-syarat daripada ROS yang "munasabah".
HARAPAN menghantar permohonan pendaftaran berserta logo kepada ROS pada 24 Julai lalu, hampir 100 hari yang lalu.
Menerusi jawapan bertulis Dewan Rakyat semalam, Kementerian Dalam Negeri berkata permohonan itu masih dalam proses, dan ia perlu dilakukan dengan cermat untuk memelihara aspek keselamatan dan kepentingan awam.
Dr Mahathir menyindir masa panjang yang diambil itu, dan mendakwa ia kerana BN bimbang akan kalah pada pilihan raya umum (PRU) akan datang jika calon parti komponen HARAPAN bertanding menggunakan satu logo yang sama.
“Jadi mereka akan umum (pendaftaran HARAPAN) tiga hari sebelum PRU supaya kita tidak ada logo, tidak ada undang-undang untuk patuhi. Kita jangkakan kerajaan buat apa sahaja tindakan untuk kecewakan kita,” katanya.
Pada peringkat awal, permohonan itu berhadapan masalah apabila ROS tidak berpuas hati dengan logo yang dicadangkan kerana hanya memaparkan nama 'HARAPAN'.
"Dia (ROS) nak supaya kita sebut kedua-dua perkataan iaitu Pakatan Harapan," kata Dr Mahathir di ibu pejabat ROS ketika itu.
HARAPAN juga telah menghantar logo baru bagi memudahkan permohonan mereka.
Read more at https://m.malaysiakini.com/news/400188#F2WwawCGGLbGylaZ.99
0 comments:
Post a Comment