Latest News

Tuesday 16 January 2018

Kubang Pasu menanti kepulangan ‘doktornya’


Dr Mahathir Mohamad yang menjadi calon perdana menteri pihak pembangkang dijangka bertanding sama ada di Kubang Pasu, Langkawi atau Putrajaya. The Malaysian Insight mengunjungi tiga kawasan ini untuk mengukur sejauh mana sokongan kepada bekas perdana menteri itu. Siri ini akan dimulakan dengan Kubang Pasu.

Kubang Pasu dahulunya adalah satu pekan terpencil di hulu di Kedah. Pada masa itu, golongan doktor atau jurutera jarang ditemui di sini.

Sebelum Dr Mahathir Mohamad tiba, Kubang Pasu hanyalah penempatan pertanian tradisional, tiada apa-apa pembangunan di sini.

Satu-satunya bangunan yang wujud pada 1970-an adalah struktur kedai runcit tinggalan zaman penjajah yang terletak di Jitra.


Ketua Cawangan Kubang Pasu Amanah Taib Abdul Rahman berkata semua itu berubah apabila Dr Mahathir menjadi ahli Parlimen Kubang Pasu yang pertama pada 1974.

“Kurang daripada dua dekad, Dr Mahathir mengubah Kubang Pasu menjadi hab pendidikan di Utara.

“Kalau kita tengok Kubang Pasu sekarang, ada ramai golongan profesional berbanding dulu kerana Dr Mahathir bina universiti.

“Dahulu, kalau nak jumpa golongan profesional di Kubang Pasu susah. Sekarang sudah ramai,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Di bawah pentadbiran Dr Mahathir, kawasan perindustrian Bukit Kayu Hitam seluas 334.88 km dibuka pada 1995.

Antara syarikat besar yang bertapak di kawasan perindustrian itu ialah Aerospace Composites Malaysia Bhd (ACM), sebuah syarikat usahasama antarabangsa antara Boeing dan Heckel, dari Amerika Syarikat. Firma itu mengeluarkan bahan komposit untuk komponen kapal terbang.

Syarikat dalam industri lain termasuk logistik dan gudang juga bertapak kawasan industri yang terletak 2km dari sempadan Thailand itu.

Pencapaian lain Dr Mahathir termasuk membina Dewan Wawasan yang merupakan dewan serba guna, Terminal Bas Jitra dan membina lebuh raya bebas tol dari Jitra ke Bukit Kayu Hitam dinamakan Lebuhraya Darul Aman. Laluan ini merupakan sebahagian daripada lebuh raya plus. 

.


Ketua Cawangan Kubang Pasu Amanah Taib Abdul Rahman berkata Dr Mahathir Mohamad berjaya mengubah Kubang Pasu menjadi hub pndidikan dalam tempoh kurang dua dekad. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 13 Januari, 2018.

Taib berkata kini ramai golongan profesional boleh ditemui di situ kerana Dr Mahathir membina Universiti Utara Malaysia (UUM), Politeknik Sultan Abdul Halim Muadzam Shah dan Kolej Matrikulasi Kedah semasa pentadbirannya.

Tambahnya, Kubang Pasu pada masa dahulu adalah kawasan komunis. Daerah Sintok yang terletak di UUM diisytiharkan sebagai kawasan hitam pada 1960-an semasa darurat.

“Dr Mahathir adalah individu yang mengubah Sintok dengan menubuhkan UUM.

“Dahulu tiada orang yang berani ke kawasan komunis tetapi sekarang sudah berubah,” katanya.

Dr Mahathir menjadi menteri pendidikan daripada 1974 hingga 1977. Beliau kini mengetuai blok pembangkang sebagai pengerusi Pakatan Harapan (PH).

Minggu lalu, ahli politik veteran berusia 92 tahun itu dipilih sebagai perdana menteri dan Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai timbalan perdana menteri di Konvensyen PH di Shah Alam sekiranya pakatan pembangkang berkuasa.

Kubang Pasu adalah salah satu daripada tiga kawasan pilihan raya yang mungkin beliau tandingi dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). Dua kawasan lain adalah Langkawi dan Putrajaya.

Kelebihan sebagai doktor

Taib berkata Dr Mahathir mempunyai kelebihan jika beliau bertanding di Kubang Pasu.

“Sesiapa pun yang bertanding menentang calon Barisan Nasional (BN), Johari Baharum, PH mempunyai 50% peluang untuk menang.

“Tetapi kalau Dr Mahathir bertanding di sini, peluang naik 65%. PH tidak perlu susah payah. Sebabnya beliau merupakan pemimpin yang dekat di hati pengundi Kubang Pasu.

“Dan veteren Umno semuanya masih menyokong Dr Mahathir. Jadi, kita rasa ada undi di situ kerana beliau.”

Taib juga berkata sekalipun ia melibatkan pertandingan tiga penjuru, Dr Mahathir tetap mempunyai peluang lebih baik kerana PAS tidak kuat di kawasan itu.

“Pertandingan tiga penjuru (menguntungkan) BN dan PH tapi tidak pada PAS. PAS sekarang sudah lemah.”

Dr Mahathir adalah ahli Parlimen Kubang Pasu dari 1974 hingga 2004. Dalam PRU13, beliau digantikan oleh Johari yang menewaskan calon PAS Mohd Jamal Nasir dengan 10,444 undi.


Politeknik Sultan Abdul Halim Muadzam Shah, salah satu institusi pendidikan yang terdapat di Kubang Pasu, Kedah. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 13 Januari, 2018.

Pada PRU13 terdapat 65,550 pengundi di Kubang Pasu. Pecahan kaum pengundi adalah Melayu (86%), Cina (9%) dan India (8%).

Johari adalah timbalan menteri pertahanan dan bekas setiausaha politik Dr Mahathir.

Menurut pengkaji Akademi Pengajian Melayu, Prof Dr Awang Azman Awang Pawi, Johari merupakan ahli Parlimen selama tiga tahun dari 2004 hingga 2013, namun hanya memegang jawatan timbalan menteri.

"Beliau adalah timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi industri pertanian dan pertahanan.

“Ia menunjukkan sentimen terhadapnya dalam Umno tidak begitu kuat,” katanya.

Awang Azman berkata semasa krisis Dr Mahathir dan Abdullah Ahmad Badawi pada 2008, Johari bertanggungjawab menghalang Dr Mahathir daripada bertanding di Kubang Pasu.

“Sentimen begini akan berbalik kepada Johari.

“Kajian menunjukkan, populariti PH di Kedah bertambah dengan adanya Dr Mahathir.

“Saya fikir Dr Mahathir ada peluang baik jika beliau memilih untuk bertanding di Kubang Pasu walaupun nanti ada pertandingan tiga penjuru," katanya.

Tiga penjuru menentang PAS

Sementara itu, mengulas mengenai bekas calon PAS Jamal Nasir yang bertanding dalam PRU13, Dr Awang berkata tokoh tersebut dilihat tidak lagi aktif dalam dunia politik.

“Memang penduduk ada juga bertanya, ke mana pergi orang PAS. Kadang-kala nak jemput pergi kenduri tapi memang kita tidak tahu beliau di mana.”

Malah, katanya PAS di Kubang Pasu juga kini tidak mendapat sokongan daripada ahlinya sejak Bersatu ditubuhkan.

“Memang PAS sudah tidak berapa mendapat sokongan, termasuk ahlinya sendiri.

“Contohnya, kalau dulu adakan ceramah PAS mesti ramai yang datang. Sekarang, kalau buat ceramah pimpinan negeri datang, mungkin ahli PAS yang hadir sekitar 100 sahaja. Yang tinggal cuma penyokong tegar PAS saja,” katanya.


Noraini Saad mengakui kebanyakan penduduk lama di Kubang Pasu masih mengingati segala jasa yang dicurahkan Dr Mahathir Mohamad dan ia merupakan faktor kuat yang boleh memberi kemenangan kepadanya jika bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-14. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 13 Januari, 2018.

Noraini Saad, 37, seorang penjual rojak berkata Dr Mahathir berpeluang untuk menang kerana sentimen di kalangan orang lama.

“Saya penyokong BN tetapi mak saya berumur 67 tahun masih menyokong Tun (Dr Mahathir). Orang lama memang ingat beliau. Kalau beliau bertanding memang (akan) huru-hara."

Seorang lagi warga tempatan, Liza Razali, 30, mengakui sentimen tersebut kuat di kalangan penduduk Kubang Pasu kerana Dr Mahathir pernah menjadi ahli Parlimen di situ.

“Sokongan masih ada kerana semua orang kenal Dr Mahathir yang banyak jasanya pada Kubang Pasu.

“Tetapi Johari pun ada peluang untuk menang, mungkin 50-50,” katanya. – 13 Januari, 2018.

  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Kubang Pasu menanti kepulangan ‘doktornya’ Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top