Latest News

Monday, 26 February 2018

Masyarakat Siam di Kedah kenang jasa Dr Mahathir



MASYARAKAT Siam di Kedah yang selama ini dianggap pengundi tetap Barisan Nasional kini didapati mula cenderung menyokong Pakatan Harapan (PH).

Rata-rata pengundi yang ditemui The Malaysian Insight mengakui beralih angin kerana menyokong Dr Mahathir Mohamad, yang dinamakan sebagai calon perdana menteri PH.

Faktor yang membuat mereka menolak Barisan Nasional (BN) pula adalah pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang menambah beban kos sara hidup yang sedia tinggi.

“Kalau tak sokong bunga (Bersatu), kita nak sokong siapa lagi,” kata seorang suri rumah berusia 50 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Kim, merujuk kepada lambang Bersatu.


Pengundi dalam kalangan masyarakat Siam dianggarkan tidak lebih 2% daripada keseluruhan pengundi di Kedah dan kebanyakannya bertumpu di Kubang Pasu, Padang Terap, Pendang, Sik dan Baling.

Beberapa kerusi negeri bagaimanapun bergantung kepada undi masyarakat Siam antaranya Sungai Tiang, Belantek, Jeneri, Kuala Nerang, Bayu, Kupang, Jitra, Air Hitam dan Bukit Kayu Hitam.

Kim merupakan antara hampir 300 orang yang hadir dalam ceramah Bersatu di Kampung Tas di Baling, Kedah yang menampilkan bekas menteri besar, Mukhriz Mahathir.

“Sekarang ini kalau pergi hospital ubat kena bayar sendiri. Hospital kerajaan, dulu ubat tak perlu bayar, kita bayar seringgit saja ubat percuma.

“Tapi sekarang kita kena beli ubat kerana hospital kata ubat habis. Harga barang naik, duit ubat lagi, memang saya rasa susahlah sekarang,” tambah Kim, menceritakan beban hidupnya.

Menurut Kim, beliau pernah cuba meminta bantuan peruntukan warga emas daripada Ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim namun tidak berjaya.



“Kalau tak sokong 'bunga,' kita nak sokong siapa lagi?” kata Kim, 50, merujuk kepada lambang Parti Pribumi Bersatu Malaysia. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 20 Februari, 2018.
Minta bantuan tak dapat

Seorang jirannya, Eireen, 39, juga memberitahu tidak semua masyarakat Siam di kampung itu menerima bantuan daripada wakil rakyat.

“Ahli Parlimen selalu turun padang, tapi bantuan tak pernah sampai pada masyarakat Siam.

“Kalau ada pun cuma dibagi pada kalangan mereka. Biasanya cuma janji saja tapi tak pernah buat pun,” katanya.

Eireen menyebut tentang permohonan penduduk Kampung Tas untuk meminta jalan kampung itu diturap tar namun sehingga sekarang masih belum terlaksana.

“Kampung sebelah dalam ini banyak yang tak bertar. Bila kita minta, mereka akan tar yang mana melalui kawasan kampung Melayu, tapi bila sampai kampung Siam, mereka pusing balik.”

Walaupun duduk di kampung, penduduk di Kampung Tas turut merasai beban harga barang yang naik, sama seperti penduduk di bandar.

“Di sini rata-rata orang kerja menoreh getah. Sekarang ini harga getah jatuh, barang pun mahal, bila tanya kenapa naik harga, pekedai kata sebab minyak, sebab GST.

“Biasa orang cakap duduk kampung murah, tapi sebenarnya kami lagi terasa. Dulu RM50 banyak dapat kalau beli barang tapi sekarang RM50 hanya dapat beli beras dan minyak 
saja.


Mukhriz dalam ceramahnya mendakwa, seramai 80% daripada masyarakat Siam di Kedah kini menyokong Bersatu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 20 Februari, 2018.

Jasa Dr Mahathir

Mukhriz dalam ceramahnya mendakwa, seramai 80% daripada masyarakat Siam di Kedah kini menyokong Bersatu.

“Sebelum ini memang betul, kami ini daripada dulu dah tahu kalau nama masyarakat Siam itu sudah pasti akan sokong BN.

“Apabila berlaku angin perubahan (pertukaran menteri besar Kedah) saya tidak yakin dapat sokongan tapi bila dijemput untuk datang di kampung Siam saya terkejut ramai yang menyerah borang keahlian kepada Bersatu.”

Dalam ucapannya itu, Mukhriz juga menyebut jasa Dr Mahathir melantik wakil masyarakat Siam sebagai senator semasa beliau jadi perdana menteri.

Masyarakat Siam diwakili seorang senator bermula pada 1996, dengan bekas pengarah kastam Kedah, Charern Intachat sebagai senator Siam pertama sebelum digantikan Siw Chun Eam, diikuti Boon Som Inong dan sekarang Aknan Ehtook.

Sementara itu, ketua masyarakat Siam di Kampung Tas, Cheng Din Chong berkata walaupun pengundi masyarakat Siam kecil tetapi undi mereka tidak boleh dianggap tidak penting.

“Kita kena ingat walau perubahan ini membabitkan keseluruhan masyarakat Siam di Malaysia bukan di Kedah saja, dan boleh kata juga kami ini turut menjadi undi penentu,” katanya.

“Masyarakat Siam sangat percayakan Dr Mahathir, terutama apabila Boon dilantik menjadi senator. Banyak isu kami beliau bangkitkan di Dewan Negara.” – 20 Februari, 2018.


Ketua masyarakat Siam di Kampung Tas, Cheng Din Chong berkata walaupun pengundi masyarakat Siam kecil tetapi undi mereka tidak boleh dianggap tidak penting. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 20 Februari, 2018.

the malaysian insight 
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Masyarakat Siam di Kedah kenang jasa Dr Mahathir Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top