Latest News

Thursday, 29 March 2018

Seorang bahas 10 minit? Baik luluskan terus - Tun Mahathir


Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mempersoalkan laporan persempadanan semula kawasan pilihan raya yang diluluskan di Dewan Rakyat hari ini dengan berkata sepatutnya masa lebih panjang diberikan untuk perbahasan.

Katanya beliau melihat usul persempadanan semula itu sebagai sesuatu tindakan zalim dan satu usaha untuk merampas hak rakyat untuk memilih pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.

“Ini satu kezaliman yang kita sekarang ini sedar bahawa kerajaan kita ini tak tahu langsung apa makna keadilan, tipu macam-macam,” katanya kepada pemberita di Yayasan Kepimpinan Perdana, di Putrajaya, hari ini.


Usul persempadanan semula kawasan pilihan raya diluluskan dengan undi majoriti hari ini.

Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengadakan undian secara blok bagi menentukan nasib usul yang dibentangkan oleh Datuk Seri Najib Razak tengah hari tadi.

Selepas undian dijalankan usul itu yang menyaksikan perubahan nama kawasan parlimen dan dewan undangan negeri serta perpindahan pengundi yang ketara itu disokong 129 anggota Dewan Rakyat, manakala 80 menolak.

Semasa sesi perbahasan hari ini, Pandikar memberikan 10 minit sahaja kepada pembahas untuk membahaskan usul berkenaan.

Perkara itu menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan wakil rakyat pembangkang.

Mengulas perkara itu, Dr Mahathir menyindir Pandikar dengan berkata jika masa sesingkat itu diberikan, maka seharusnya ia diluluskan terus tanpa perbahasan.

“Tak payahlah, buat sahajalah, apa nak buat, ini masuk dalam parlimen bukan nak dengar dipengaruhi oleh parlimen.

“Di negara lain pendapat parti lawan diambil kira. Tapi di sini apa yang kerajaan nak buat dia buat. Tak ada pindaan, tak ada apapun,” katanya.


Dr Mahathir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) berkata, semasa zamannya jika ada perubahan berkaitan persempadanan semula ia berlaku lapan tahun sekali dan mengikut perlembagaan.

“Sebab itu pada mulanya kita punya wakil rakyat cuma dalam lebih 90 sahaja. Sekarang ada 222 kerana apabila jumlah rakyat bertambah, kita bagi lebih banyak kerusi kepada rakyat.

“Tetapi ini bukan nak tambah kerusi, ini nak pindah orang dari satu kawasan ke satu kawasan untuk mendapat sokongan dan kemenangan dalam pilihan raya.

“Dan ia dilakukan secara gopoh, tak ada perbahasan, tak ada penilaian dan hanya diarah dan digunakan majoriti kerajaan untuk melakukan perkara-perkara memalukan,” katanya.
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Seorang bahas 10 minit? Baik luluskan terus - Tun Mahathir Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top