Tun Dr Mahathir 27 Mac 2018
1. Hari ini undang-undang untuk mencegah “berita palsu” mula dibahas oleh Parlimen. Dengan majoriti yang ada pada Kerajaan sudah tentu undang-undang ini akan dilulus.
2. Yang menakutkan rakyat dan parti lawan ialah apakah definisi “berita palsu”. Yang dijelaskan dalam undang-undang hanya siapa yang dianggap bersalah. Apakah yang dianggap berita palsu tidak dijelas. Taklimat yang diberi juga tidak menjawab soalan berkenaan kenyataan tertentu samada palsu atau tidak.
3. Mengikut amalan biasa undang-undang perlu jelaskan apa yang dianggap salah. Sepatutnya undang-undang menerangkan secara jelas “berita palsu” yang ditafsir sebagai salah.
4. Tanpa penjelasan ini pegawai Kerajaan (Polis dan Pendakwa Raya) akan mendefinisikan “berita palsu” mengikut pendapat mereka sendiri. Apabila sesuatu didefinisikan oleh pegawai sebagai “berita palsu” penulis atau pensyarah boleh dikenakan tindakan dibawah undang-undang ini.
5. Ada seorang Timbalan Menteri yang menyatakan sesuatu berita yang tidak disahkan oleh Malaysia akan ditafsir sebagai “berita palsu”. Oleh kerana semua berita dari luar negara tidak disahkan oleh Kerajaan Malaysia, maka semua laporan berkenaan 1MDB, RM2.6 billion dalam akaun Najib di Ambank, rampasan harta yang dibeli oleh wang yang dicuri dari 1MDB mengikut Department of Justice (DOJ) Amerika Syarikat dan kapal layar Equanimity yang didakwa dimiliki oleh Jho Low dan dirampas oleh Indonesia dengan FBI (Federal Bureau of Investigation – Biro Penyiasatan Persekutuan Amerika Syarikat) semua ini jika disentuh atau disebut oleh orang Malaysia dalam negeri atau diluar, yang semuanya tidak disah oleh pihak berkuasa Malaysia akan ditafsir sebagai berita palsu. Dan boleh dituduh bawah akta berita palsu. Juga yang akan tentukan samada sesuatu kenyataan itu palsu atau tidak adalah Kerajaan.
6. Untuk elak dari dituduh dibawah akta ini parti lawan dan jurucakap mereka, pensyarah dan penceramah, pemimpin dan kakitangan terpaksa “censor” diri sendiri. Mereka akan jadi seperti ahli UMNO yang tidak dibenar menyentuh kesalahan-kesalahan Najib.
7. Secara langsung semua isu berkenaan dengan salahlaku Najib dan orang-orangnya tidak boleh diperkatakan oleh sesiapa. Dengan ini akta “berita palsu” akan menutup mulut semua pengkritik Kerajaan dalam pilihanraya. Parti lawan akan kehilangan sebab mereka menentang Najib.
8. Selamatlah Najib.
9. Wahai ahli-ahli UMNO.
Relakah kamu menipu? Relakah kamu sokong pemimpin yang dikenali oleh dunia sebagai penipu dan pencuri.
10. Relakah kamu mencari kemenangan secara penipuan. Akta Berita Palsu adalah antara penipuan yang dilakukan oleh Najib untuk mendapat kemenangan.
11. Kemenangan dengan cara penipuan; dengan cara haram adalah haram. Kerajaan yang akan ditubuh oleh Najib jika ia menang ialah Kerajaan haram.
12. Jika ahli UMNO rela diperintah oleh Kerajaan haram, itu adalah pilihan anda.
0 comments:
Post a Comment