Latest News

Sunday 8 April 2018

Siapa tahu Tun M sebak kelmarin?


SELEPAS dua jam setengah mesyuarat. Tun Dr Mahathir Mohamad menemui wakil media di lobi ibu pejabat Bersatu di Petaling Jaya yang sesak malam kelmarin seperti biasa; memberi kenyataan dalam nada tegas, diselit dengan kata-kata pedas, sinis dan humor.

Ketibaan Pengerusi parti baharu itu disambut penuh semangat penyokong-penyokong yang memenuhi sekitar kawasan itu seawal selepas Maghrib lagi.

Enam wanita berpakaian seragam merah Bersatu, kelihatan berpeluh sambil memegang kain rentang yang memuatkan kata-kata perangsang untuk terus berjuang menentang BN/Umno dan mengecam pemimpin parti pemerintah itu.

Tiga empat orang menggunakan bunga kertas yang menjadi lambang parti tersebut, mengipas diri sendiri.

“Kami tidak fikir tentang jawatan. Kami lakukan ini untuk sokong parti dan pemimpin kami,” kata seorang daripada mereka.

Dalam keadaan Bersatu berhadapan dengan cabaran dari segi pendaftaran dan perjuangan, katanya, pemimpin perlukan sokongan moral.

Ahli dan penyokong parti terus bertepuk tangan setiap kali Dr Mahathir membuat kenyataan tegas dan berani pada sidang media itu.

Bagaimanapun, ada suatu rahsia yang hanya mereka yang menghadiri mesyuarat khas Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) malam kelmarin tahu, walaupun tidak semestinya memahaminya.

Ketika bercakap di mesyuarat itu, Dr Mahathir tiba-tiba terhenti kerana sebak.

“Saya ingat Tun marah (dengan tindakan pembatalan sementara pendaftaran Bersatu) dan kecewa (dengan sikap pihak yang cuba main kotor untuk membunuh perjuangan Bersatu),” kata sumber dalam parti.

RoS mengumumkan pembubaran parti itu berdasarkan Seksyen 14 (5) Akta Pertubuhan 1966 selepas parti tersebut gagal menyerahkan lima dokumen berkaitan pendaftarannya kepada jabatan berkenaan.

Di luar bilik mesyuarat, beberapa pemimpin dan anggota parti, termasuk intelek muda, menyuarakan ketidakpuasan hati dengan tindakan pembatalan sementara Bersatu dan yakin parti itu akan berjaya memberi saingan sengit kepada BN/Umno.

Ahli MPT Wan Saiful Wan Jan yang baharu menyertai Bersatu menganggap ia sebagai salah guna kuasa pihak terdesak.

“Tindakan ini menjadi satu lagi bukti jelas kenapa Umno perlu dihumban jika kita mahu mengembalikan integriti dalam institusi-institusi penting negara,” kata Wan Saiful yang melepaskan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif badan pemikir Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) pada 1 Mac lalu.

Ahli MTP Datuk Kadir Jasin mempersoalkan pihak yang mahu menggagalkan pendaftaran Bersatu dan membantutkan perjuangan parti itu.

Mereka yang rasa matlamat mereka sudah tercapai, katanya, silap besar.

Pensyarah di Jabatan Sains Politik Kuliyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Dr Maszlee Malik, selaku ahli baharu Bersatu, menganggap usaha untuk mengekang tsunami rakyat/Melayu yang dibawa parti berkenaan menunjukkan betapa gentarnya musuh berlawan secara adil dan gentleman dalam PRU14.

Malah DAP memutuskan, buat pertama kali dalam sejarah, ia tidak akan menggunakan logo roket dalam PRU14.

“Ini bukan keputusan mudah tapi kami sepakat untuk menggunakan logo yang sama,” kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guang Eng.

Sumber dalam Bersatu percaya keputusan DAP ini mengejutkan pihak lawan.

“Mereka sangka jika Bersatu tidak dapat didaftarkan, gabungan empat parti dalam Pakatan Harapan - PKR, DAP, Amanah dan Bersatu - akan bertelagah dan berpecah, tetapi jangkaan mereka meleset.

Dr Mahathir, pada sidang media kelmarin, menyentuh mengenai apa yang disifatkan sebagai kekeliruan dan percanggahan berhubung tindakan RoS yang mengumumkan pembubaran sementara Bersatu dan memberi tempoh 30 hari untuk tempoh rayuan kepada parti berkenaan.

Setelah meneliti kandungan dan surat daripada RoS, pihaknya membuat kesimpulan bahawa parti itu masih sah dan boleh berfungsi seperti biasa selagi belum disahkan batal.

Bagaimanapun, ada pihak luar yang menganggap tindakan pembubaran sementara Bersatu itu berpunca daripada kelemahan dan kesilapan pimpinan parti itu sendiri.

Walaupun diterajui pemimpin berpengalaman, ia didakwa tidak mampu menguruskan perkara-perkara asas.

Ada yang mempersoalkan kewajaran pengasas Bersatu memasukkan klausa yang mereka sendiri didakwa tidak mampu penuhi, seperti dalam kes penubuhan cawangan.

Apakah dan bila Bersatu dapat kembali kebenaran untuk didaftarkan sebelum PRU14 kini terus menjadi tanda tanya!

#PRU14 #kuasarakyat

Laporan Sinar Harian 



  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Siapa tahu Tun M sebak kelmarin? Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top