Latest News

Thursday 24 May 2018

AMANAT YAB MENTERI BESAR KEDAH



UCAPTAMA
YANG AMAT BERHORMAT
DATO’ SERI HJ. MUKHRIZ TUN MAHATHIR
MENTERI BESAR KEDAH DARUL AMAN

AMANAT YAB MENTERI BESAR
DAN BICARA INTEGRITI
24 MEI 2018 (KHAMIS)

JAM 9.00 PAGI

BERTEMPAT DI
DEWAN SERI NEGERI, WISMA DARUL AMAN
ALOR SETAR, KEDAH

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Salam Sejahtera.

Yang Berhormat Dato’ Amar bin Sheikh Mahmud Na’im,

Pegawai Kewangan Negeri, yang mewakili Yang Berhormat Dato’ Paduka Setiausaha Kerajaan Negeri

Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman

Yang Berhormat Ahli Dewan Undangan Negeri

Yang Berbahagia Ketua-Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan, Pegawai Tadbir Negeri dan Persekutuan
Penghulu-Penghulu, Seluruh Warga Kerja Wisma Darul Aman

Dato’-Dato’, Datin-Datin, Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang dihormati sekalian.


1. Alhamdulillah, saya memanjatkan setinggi-tinggi pujian ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dengan limpah kurnia-Nya jua kita dapat bersama di Majlis Amanat Menteri Besar dan Bicara Integriti.

2. Ini adalah acara rasmi pertama, di mana saya perlu menyampaikan ucapan sebagai Menteri Besar Kedah buat kali kedua.

3. Sesungguhnya Kedah ini sebuah negeri yang unik lagi bertuah. Almarhum Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan kita, Almarhum Tuanku Alhaj Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah, diangkat sebagai Yang Dipertuan Agong sebanyak dua kali.

4. Anak Kedah juga diangkat sebagai Perdana Menteri sebanyak dua kali, dan kini orang yang sama diangkat sebagai Menteri Besar sebanyak dua kali. Ucapan jutaan terima kasih saya di atas sokongan yang diberikan untuk peristiwa ini berlaku.

Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati,

5. Setiap kali seorang Menteri Besar baharu dilantik, maka tentunya beliau akan menyampaikan ucapan di hadapan audiens seperti yang kita saksikan pada pagi ini. Saya juga pernah melalui situasi ini kali pertama saya menjadi MB pada tahun 2013.

6. Mesej yang disampaikan oleh MB-MB yang silih berganti itu juga lebih kurang sama. Pesanan untuk kita bekerjasama, tingkatkan mutu pekerjaan kita, mesti penuh amanah, mesti mesra Rakyat, dan seterusnya adalah intipati ucapan yang akan diulangi oleh mana-mana Menteri Besar kali pertama mereka bersua muka dengan pasukan pentadbiran negeri.

7. Tetapi kali ini lain. Saya beroleh keistimewaan, kerana saya berpeluang untuk melalui keadaan ini bukan sekali, tetapi dua kali. Maka saya punyai suatu pengalaman yang unik.

8. Kalau buat kali pertama saya menjadi MB, mungkin bolehlah dianggap bahawa saya ini seorang newbie, yang masih tidak berpengalaman dalam selok-belok pentadbiran negeri.

9. Tetapi, inilah kali pertama seorang MB baharu adalah muka lama, yang sudahpun melalui pengalaman memegang jawatan yang sama sebelum ini.

10. Maka tidaklah boleh dianggap bahawa saya orang baharu yang tidak tahu apa-apa. Malah pengalaman saya sangat unik; saya pernah menjadi MB dan mendapat sokongan yang mantap daripada pentadbiran negeri.

11. Kemudian saya digugurkan jawatan dan tidak lagi menikmati sokongan itu. Dan kini saya kembali sebagai MB lagi. Tentunya pengalaman saya itu tidak pernah dilalui oleh mana-mana pemimpin yang lain.

12. Dengan ikhlas saya katakan di sini; ia memberikan saya satu perspektif yang lebih menyeluruh mengenai keikhlasan dan kesetiaan warga pentadbir dalam menjalankan tanggungjawab kita bersama demi negeri Kedah yang kita sayangi ini.

13. Di ucapan yang pernah saya sampaikan semasa menjadi MB kali pertama, saya telah menyatakan bahawa saya tahu kepimpinan politik datang dan pergi, manakala Pentadbiran Negeri terus berkekalan.

14. Saya juga mengakui bahawa KCS terletak di bawah naungan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan. Maka adalah saranan saya agar tiada satupun di antara kita yang tergamak mencemar nama baik dan naungan Tuanku itu dengan kegiatan-kegiatan yang merugikan negeri.

15. Sebaliknya, marilah sama-sama kita buktikan bahawa kita berhak ke atas naungan Tuanku itu melalui kerja buat yang cemerlang.

Hadirin hadirat yang dihormati,

16. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan juga mengingatkan kita utk sentiasa berhemah dalam menjalankan tugas. Baginda menyarankan kita untuk berkhidmat dengan sopan lagi santun.

17. Saya menyanjung tinggi nasihat Baginda Tuanku itu. Istilah sopan santun walaupun punyai makna yang hampir sama dengan lemah lembut, tetapi lebih mencerminkan sifat saya sebagai ketua negeri.

18. Lemah lembut juga memberi konotasi tidak tegas dalam memimpin. Manakala sopan santun pula tidak begitu. Pada fikiran saya ramai yang mengenali diri saya sebagai seorang yang sopan-santun tetapi pada waktu yang sama, saya juga boleh bertindak tegas jika keadaan memerlukan.

19. Kalau tidak mana mungkin saya boleh berada di sini pada pagi ini.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

20. Menyingkap soal PRU-14 yang baru lepas; pengajaran yang kita dapat ialah Rakyat Malaysia termasuk Rakyat Kedah menolak pemimpin yang zalim. Rakyat sanggup mengundi pihak yang lain daripada pihak yang sentiasa mereka percayai untuk membentuk Kerajaan Persekutuan.

21. Rakyat tolak pemimpin yang tidak terima teguran, walaupun teguran itu berniat untuk membawa kebaikan kepada pemimpin tersebut.

22. Kita baca mengenai ucapan penerimaan jawatan Khalifah yang pertama iaitu Sayyidina Abu Bakr As-Siddeeq RA yang menegaskan: “Jika aku berbuat baik maka tolonglah aku, dan jika aku berbuat buruk maka perbetulkanlah aku.”

23. Memahami keikhlasan Abu Bakr itu, maka para Sahabat RA sentiasa setia dengannya dalam suka dan duka, dengan sokongan yang padu apabila beliau benar dan nasihat yang jujur dan ikhlas apabila beliau tergelincir.

24. Dan, keadaan ini sangat dihargai oleh Abu Bakr kerana sifat itu membuktikan kesetiaan dan sayangnya pengikut kepada pemerintah mereka.

25. Atas sebab sayanglah mereka menegur kerana tidak mahu pemimpin mereka terus mengaibkan diri dengan pendirian yang tersasar. Begitulah juga dengan Khalifah kedua, Sayyidina Umar al-Khattab RA yang sangat terbuka kepada teguran dan pandangan orang lain.

26. Sebagai Menteri Besar yang dilantik oleh Perdana Menteri ketika itu, menjadi tanggungjawab saya untuk menyokong kebenaran dan kebaikan yang dibuat oleh Perdana Menteri selaku ketua saya, dan menegur apabila saya melihat kepincangan dalam pentadbiran beliau.

27. Teguran itu tidak bersifat peribadi, tetapi didorong oleh sifat kasih sayang dan keinginan untuk melihat ketua saya tidak mengaib dirinya dengan suatu keputusan yang silap.

28. Teguran itu saya lakukan juga demi kepentingan Rakyat yang memberi respons yang negatif terhadap keputusan Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan GST.

29. Teguran itu juga berniat supaya Kerajaan Persekutuan membetulkan kesilapan itu sebelum ianya membawa padah yang akan dikesali di kemudian hari.

30. Saya mengambil risiko dalam membuat teguran itu. Pada awalnya teguran saya itu berbentuk soalan di dalam mesyuarat tertutup.

31. Bila tiada jawapan yang munasabah diberikan, barulah soalan itu dikemukakan secara terbuka. Setelah jawapan masih tidak masuk akal, barulah soalan bertukar menjadi teguran dan merangkumi beberapa isu-isu lain.

32. Akhirnya tindakan saya itu dilihat bukan sebagai manifestasi sayang terhadap pemimpin, tetapi sebaliknya dianggap sebagai pengkhianatan kepada pemimpin. Maka saya dipaksa undur dari jawatan Menteri Besar.

33. Dan perkara ini tidak hanya berlaku kepada saya seorang. Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah ketika itu, Dato’ Seri Shafie Afdal, dan Timbalan Perdana Menteri ketika itu Tan Sri Muhyiddin Yassin pun turut dihukum kerana menegur ketua.

34. Begitu tertutupnya ruang teguran sehinggakan kawan seperjuangan boleh disingkir dengan cara yang begitu aib sekali. Salahkah kami menegur demi kemaslahatan rakyat dan negara?

35. Kini yang menjadi bahan ketawa ialah kenyataan demi kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak yang kalah Pilihanraya Umum bahawa mereka kesal kerana tidak menegur ketua mereka ketika itu!

36. Tidak mungkin mereka mampu atau berani menegur apabila melihat kami bertiga telah dipecat dari jawatan kerajaan dan parti. Dan kekesalan mereka itu sekarang sudah terlalu lambat untuk memperbetulkan keadaan.

37. Maka teguran terhadap Kerajaan Negeri Kedah sekarang, yang dibuat dengan cara yang berhemah dan bertujuan untuk kebaikan adalah sesuatu yang amat dialu-alukan.

Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati,

38. Saya sangat memahami bahawa tanggungjawab Menteri Besar ini sangat berat sebenarnya. Ramai yang hanya melihat kuasa yang dipegang oleh MB, tetapi tidak sedar mengenai bebanan amanah yang harus dipikul olehnya.

39. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan bertitah Selasa lepas bahawa jawatan yang disandang oleh Menteri Besar dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan bukanlah satu keistimewaan.

40. Ianya satu amanah dan tanggungjawab yang amat besar untuk dipikul, dengan rasa syukur, ikhlas, berintegriti dan beramanah.

41. Saya sentiasa memikirkan tentang Rakyat yang kebajikannya mungkin saya terlepas pandang, atau langsung tidak tahu menahu, mungkin kerana maklumat tidak disampaikan kepada saya oleh pihak yang berwajib, atau usaha yang kita lakukan itu tidak menepati harapan Rakyat, atau program kebajikan yang kita anjurkan sebenarnya lebih bersifat syok sendiri tanpa apa-apa manfaat kepada Rakyat.

42. Semua ini merisaukan saya kerana saya tahu Allah Subhanahu Wataala akan menyoal saya mengenai kelalaian saya itu satu persatu. Betapa beratnya tanggungjawab seorang pemimpin yang akan diadili di akhirat kelak.

43. Maka saya merayu kepada setiap seorang daripada yang menghadiri majlis kita ini untuk menyumbang kepada usaha untuk mensejahterakan negeri kita ini.

44. Setiap di antara kita mampu melaksanakan tugas sepertimana yang diharapkan. Malah lebih dari itu mampu kita lakukan.

45. Negara kita kini sedang melalui satu perubahan yang sangat dramatik. Keputusan pilihan raya yang baru lepas menzahirkan keazaman Rakyat untuk mewujudkan sebuah Malaysia yang baru.

46. Malaysia yang menyantuni perpaduan, bukan yang menyemai perpecahan. Malaysia yang menyanjungi integriti, bukan yang mengalah kepada salahguna kuasa.

47. Malaysia yang mengambil serius hasrat Rakyat, bukan mengambil mudah hasrat Rakyat. Malaysia yang membuka peluang seluas-luasnya bagi Rakyat yang bercita-cita tinggi, bukan yang bersifat elitis atas nama bangsa semata-mata.

48. Malaysia yang diterajui pemimpin yang berpegang teguh kepada amanah, bukan yang pecah amanah untuk kepentingan peribadi.

49. Saya yakin Rakyat Kedah juga menyimpan hasrat yang sama bagi negeri kita. Apa juga kebaikan yang hendak dilakukan oleh kepimpinan baharu negara di Putrajaya, itu jugalah yang diidam-idamkan oleh kita di Kedah.

50. Untuk menjayakan cita-cita itu semua, wajib ke atas kita untuk memasang niat yang betul dan laksanakan tanggungjawab dengan penuh wibawa.

Tuan-tuan, Puan-puan sekalian,

51. Sebagai pemimpin dan pentadbir, sudah tentu setiap keputusan dan tindakan yang kita ambil bertujuan supaya kita memperolehi keberkatan Allah Subhanahu Wataala.

52. Maka sangat mustahak bahawa kita menjauhi segala larangan Allah yang tentunya bukan hanya tidak berkat malah boleh mengundang bala bencana kepada kita semua.

53. Sesungguhnya kita perlu mengingatkan diri kita bahawa rezeki itu di tangan Allah. Tiada rezeki yang kita boleh perolehi tanpa ketentuan Allah.

54. Sebaliknya, kekayaan yang diperoleh melalui cara yang haram mungkin akan memberi kesenangan hidup sementara di dunia tetapi akan mengundang padah yang berkekalan di akhirat nanti.

55. Itu yang dimaksudkan kaya di dunia tetapi miskin di akhirat.

56. Justeru, saya sarankan setiap di antara kita berjaga-jaga agar tidak tewas kepada nafsu. Semoga Allah kuatkan iman kita sebagai benteng daripada godaan syaitan.

Hadirin hadirat yang saya hormati,

57. Sudah tiba masanya untuk kita membina suatu budaya yang baharu. Budaya pemangkin kepada kejayaan. Budaya yang tidak lagi sarat dengan amalan-amalan lapuk yang membelenggu kita dari mencapai kejayaan hidup.

58. Rai dan dokong budaya yang diisi nilai-nilai murni yang secara kolektifnya akan merealisasikan segala cita-cita kita.

59. Dalam keadaan negara ketika ini, kita perlukan budaya jimat-cermat dan belanja secara berhemah supaya kedudukan kewangan negeri semakin pulih.

60. Dengan kadar hutang antara yang paling besar dalam negara, Kedah perlu menerapkan budaya jimat-cermat yang merangkumi setiap lapisan pentadbiran Kerajaan – dari kakitangan sokongan hinggalah ke Menteri Besar mestilah sentiasa peka soal perbelanjaan wang Rakyat.

61. Seperti yang disarankan dalam titah Tuanku Sultan baru-baru ini, setiap aktiviti yang hendak dilaksanakan hendaklah dirancang dengan teliti agar manfaatnya dapat dinikmati dan dikecapi oleh Rakyat.

62. Jangan kita lupa walaupun sedetik bahawa, sebahagian daripada hasil Kerajaan adalah sumbangan Rakyat melalui cukai.

63. Kita sedia maklum bahawa dua cara untuk mengawal kewangan negeri ialah dengan memaksimakan hasil pendapatan, dan berhemah dalam perbelanjaan.

64. Sepertimana yang kita lihat berlaku kepada Kerajaan Persekutuan di rejim sebelum ini; walaupun hasil sangat tinggi, perbelanjaan melebihi pendapatan sehingga negara meminjam pada kadar jangka masa panjang untuk membiayai perbelanjaan jangka pendek. 

65. Ini menyebabkan hutang negara kini mencecah lebih RM1 trillion – satu angka yang sangat mengejutkan. Kedah perlu berhati-hati supaya anak cucu kita tidak dibelenggu dengan hutang melampau yang kita wariskan kepada mereka.

66. Kuasa politik bukan untuk kesejahteraan diri sendiri. Sebaliknya menurut Imam al-Ghazali, kuasa itu adalah untuk kehidupan dunia yang teratur (nizam al-dunya), keteraturan dunia pula penting bagi pengurusan agama (nizam al-din), dan pengurusan agama yang baik penting bagi kebahagiaan di akhirat.

67. Politik sebagai satu alat boleh diguna untuk kebaikan atau keburukan. Kita sudah menyaksikan sendiri apa kesannya kepada kesejahteraan kita apabila politik terletak ditangan pemimpin yang zalim dan mementingkan diri sendiri tanpa sedikitpun rasa simpati kepada Rakyat.

68. Segala kuasa yang ada padanya akan digunakan untuk menidakkan yang hak, dan menghalalkan yang bathil.

69. Maka pengguna alat politik itu wajib dididik dengan baik supaya menjadi pemimpin yang bertanggungjawab, amanah dan tidak mengkhianati kepercayaan yang dipikul.

70. Salah satu caranya ialah dengan Bicara Integriti anjuran bersama Institut Integriti Malaysia dan Jabatan Integriti dan Tadbir Urus Kedah atau JITU.

71. Kita akan berkesempatan untuk mendengar pandangan dari tokoh-tokoh yang berwibawa lagi berpengalaman dalam hal pentadbiran dan urus tadbir berintegriti.

72. Saya menyeru kepada semua agar tekun menghayati setiap patah perkataan yang diungkap oleh tokoh-tokoh kita ini kerana hadirnya mereka di sini adalah bukti kesungguhan mereka untuk melihat Kedah juga tidak tertinggal lagi dari arus perubahan perdana yang sedang melanda seluruh negara.

73. Jika di peringkat negara wujud semangat Malaysia Baru, biarlah di negeri ini juga tercetus semangat Kedah Baru!

74. Di kesempatan ini suka saya isytiharkan bahawa Kerajaan Negeri akan menggunakan slogan Kedah Aman Makmur - Harapan Bersama Makmurkan Kedah.

75. Mudah-mudahan, tahun 2018 dan tahun-tahun berikutnya membuahkan pelbagai kejayaan yang memberi manfaat besar kepada rakyat.

76. Sesungguhnya beradanya kita di sini adalah kerana Rakyat. Maka, khidmat kita adalah untuk kesejahteraan Rakyat.

77. Sekian, terima kasih. Wabillahitaufik Walhidayah Wassalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.



  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: AMANAT YAB MENTERI BESAR KEDAH Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top