Latest News

Friday, 29 June 2018

Ucapan Penuh YAB Menteri Besar di Majlis Kempen Derma Darah ANSARA


TEKS UCAPAN YAB MENTERI BESAR KEDAH DARUL AMAN SEMPENA MAJLIS PERASMIAN KEMPEN DERMA DARAH ANSARA KEDAH 2018 PADA 29 JUN 2018 (JUMAAT) DI AMAN CENTRAL ALOR SETAR 

Bismillahirrahmanirrahim. Yang Berhormat Dato’ Amiruddin Bin Hamzah, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah. Yang Berhormat Dato’ Ammar Bin Shaikh Mahmood Naim, Pegawai Kewangan Negeri Kedah. Yang Berusaha Tuan Haji Syed Sharuddin Bin Syed Abdullah, Pengurus Besar Institut Pengurusan Dan Integriti Negeri Kedah (INSPIN). Yang Berbahagia Dato’ Dr Norhizan bin Ismail, Pengarah Kesihatan Negeri Kedah Darul Aman. Yang Berbahagia Encik Marcus Tan, Centre Manager Aman Central. Ahli Jawatankuasa Kerja Penganjuran Kempen Derma Darah YBhg. Dato’- Dato’, Tuan-Tuan dan Puan-Puan. 

Assalammualaikum Warahmatullah Hiwabarakatuh. Salam Sejahtera, Salam Kedah Aman Makmur. 

1. Kempen Derma Darah Ansara Kedah 2018 ini adalah satu inisiatif murni anjuran bersama Persatuan Bekas Pelajar Maktab Rendah Sains MARA Malaysia (ANSARA), Institut Pengurusan Dan Integriti Negeri Kedah (INSPIN), Aman Central dan Pusat Darah Negara. 

2. Di sini, saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua yang terlibat dalam menjayakan kempen ini. Sesungguhnya, ia merupakan satu kerja yang terbaik di antara kerja yang baik-baik. 

3. Ramai di antara kita yang menyedari bahawa masyarakat, khasnya di negara ini, secara keseluruhannya masih sukar untuk mewujudkan satu sikap yang benar-benar positif terhadap menderma darah. Walaupun ramai yang sedar bahawa darah amatlah penting bagi kehidupan setiap orang namun apabila pusat-pusat perubatan dan para doktor berkempen memerlukan darah, sambutannya kadangkala mengecewakan. 

4. Baru-baru ini, kita yang berada di Kedah dan Perlis, dikejutkan dengan bekalan darah berada pada tahap kritikal. Hanya tinggal 400 unit bekalan darah yang tinggal untuk menampung kegunaan hospital di Kedah dan Perlis. Kita dimaklumkan paras selamat bekalan darah adalah 700 unit. Hal ini kerana kita baru sahaja menjalani ibadah puasa dan cuti hari raya Aidilfitri yang panjang. 

5. Kempen kesedaran mengenai perlunya kita menderma darah patut disuburkan di seluruh Negara sepanjang masa. Perkara ini dapat membantu Pusat Darah Negara meningkatkan bekalan darah, malahan ianya mengambilkira jangka hayat darah yang boleh bertahan di antara empat puluh hingga empat puluh lima (40 – 45) hari. Permintaan untuk darah biasanya meningkat semasa musim perayaan; kebiasaannya juga jumlah penderma semakin berkurangan semasa bulan Ramadan, terutamanya di kalangan penderma Muslim. Puncanya; kerana tanggapan kurang tepat, terutamanya orang Islam bahawa menderma darah di bulan Ramadan mendatangkan kemudaratan. 

6. Saya masih ingat lagi betapa sukarnya mendapat derma darah dalam kecemasan di Wad Bersalin, Hospital Besar, Alor Setar dalam tahun enam puluhan. Sikap masyarakat pada masa itu amatlah negatif dengan mereka memberi berbagai alasan untuk mengelak daripada menderma darah baik sekalipun kepada isteri atau keluarga sendiri. Misalnya alasan agama, alasan takut kesihatan terganggu, dan alasan tidak boleh menderma kepada orang selain daripada yang sesama agama dan keturunan, dan bermacam-macam alasan lagi. Perasaan pengorbanan untuk menyelamatkan nyawa dalam kecemasan tidak timbul sama sekali kerana dipengaruhi oleh alasan-alasan yang tidak munasabah. 

7. Tetapi shukur alhamdullilah, pemikiran yang waras dan perasaan berperikemanusiaan mengatasi segala-segala alasan dengan kerjasama Jabatan Agama dan Jabatan Kesihatan yang memberi keterangan yang jelas mengenai hukum dan peraturan menderma darah. Sesungguhnya agama kita yang mulia dan prakmatik memandu ummahnya untuk berbuat baik dan membantu orang lain. Seharusnya si suami menderma kepada si isteri, dan rakan menderma kepada rakan yang lain tidak mengira keturunan, tidak mengira bulan puasa atau lain. Mengorbankan setitik darah untuk kebaikan adalah satu amalan yang murni, apatah lagi sekiranya sebotol darah dikehendaki. Hadirin sekalian, 

8. Terima kasih Aman Central atas keprihatinan dan komitmen untuk turut serta menjayakan aktiviti murni ini. 9. Saya berharap ia diteladani lebih banyak entiti korporat lain, terutamanya pemilik pusat membeli-belah, khusunya di Kedah Darul Aman. Kita mengharapkan sokongan semua pihak, termasuk dari sektor swasta bagi menjayakan program kemasyarakatan dan amal sebegini. 

10.Setinggi-tinggi penghargaan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Kedah Darul Aman kerana sudi menjadi penganjur bersama. Begitu juga kepada Sekretariat ANSARA Kedah Darul Aman, tahniah. 

11.Sebagai presiden ANSARA sudah tentu saya juga turut merasa teruja dan bersemangat dengan inisiatif ini. Saya berdoa agar kempen ini dapat diteruskan pada masa hadapan dan terus mendapat sokongan semua pihak. 

12.Inshaa-Allah, kerajaan Negeri Kedah Darul Aman akan terus menyokong dan memberikan bantuan yang perlu kepada usaha Jabatan Kesihatan Negeri Kedah dan Pusat Darah Wilayah Utara meningkatkan tabungan darah untuk sentiasa mengekalkan paras bekalan darah yang stabil dan mencukupi pada setiap masa. 

13.Sebelum mengakhiri ucapan ini, saya ingin mengajak semua lapisan masyarakat tampil untuk menjayakan Kempen Derma Darah ANSARA 2018 ini, sama ada sebagai penderma atau menjadi sukarelawan kempen. Jika ada kesungguhan dalam jiwa kita untuk berbakti, Inshaa-Allah, ruang dan peluang akan terus terbuka luas untuk kita. Daripada membuang masa dengan perkara tidak berfaedah atau yang boleh menjejaskan keamanan negara, adalah lebih baik jika kita melibatkan diri dalam aktiviti sihat dan bermanfaat seperti ini. 

14.Jom, selepas ini sertai saya menderma darah. Saya berazam untuk menjalankan tanggungjwab sebagai penderma dan kesibukan tugas bukanlah alasan untuk tidak berbakti. 

15.Dengan ini, dengan lafaz Bismillahir Rahmanir Rahim, saya melancarkan “Kempen Derma Darah ANSARA 2018”. 

16.Wabillahitaufik Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Ucapan Penuh YAB Menteri Besar di Majlis Kempen Derma Darah ANSARA Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top