Latest News

Friday 28 December 2018

“KFA mahu heret FAM ke Mahkamah Timbang Tara Sukan(CAS)”




KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) akan mengheret Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) selepas tidak berpuas hati dengan keputusan badan induk itu menolak rayuan berhubung jumlah pampasan pemain mudanya, Akhyar Rashid.

Setiausaha Kehormatnya, Mohd Asmirul Anuar Aris menyifatkan keputusan FAM itu jelas tidak adil dan pihaknya akan mengemukakan aduan kepada CAS untuk menuntut keadilan.

"Kami (KFA) nyata kecewa dengan keputusan FAM yang menolak rayuan kami. Sebagai majikan yang masih memegang kontrak sah Akhyar, kami berhak ke atas pemain itu dan akan membawa isu ini ke Mahkamah Timbang Tara Sukan.

"Negara kita sebuah negara demokrasi, jadi langkah seterusnya perlu demi mendapatkan hak kami ke atas Akhyar," katanya kepada Sukan NSTP, hari ini.

Terdahulu, FAM dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini menolak rayuan KFA untuk mendapatkan pampasan lebih tinggi daripada mana-mana pasukan yang mahukan khidmat Akhyar.

Malah, Jawatankuasa Rayuan badan induk itu yang bersidang semalam dan dipengerusikan Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff memutuskan jumlah pampasan RM75,000 yang ditetapkan Jawatankuasa Rayuan awal bulan ini, kekal.

"Jumlah RM210,000 itu adalah berdasarkan jumlah gaji Akhyar yang didarabkan dengan jumlah baki kontraknya bersama KFA, iaitu mengikut Artikel 15A: Penamatan kontrak secara sebelah pihak atau tebus kontrak oleh pasukan atau pemain.

"Jumlah RM75,000 pula adalah dibuat berdasarkan kos latihan, kategori kelab yang telah ditetapkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), iaitu mengikut Artikel 8: Pengiraan Pampasan Latihan Peraturan Status & Perpindahan Pemain FAM," menurut kenyataan FAM itu.

Sebelum ini, KFA menyifatkan isu berkenaan belum selesai dan akan mengemukakan rayuan kepada FAM selepas tidak berpuas hati dengan keputusan FAM yang menetapkan nilai pampasan RM75,000 kepada mana-mana pasukan yang mahu mendapatkan khidmat Akhyar.

Difahamkan, Akhyar masih memiliki kontrak bersama KFA sehingga 2019 dengan nilai baki kontrak atau tebus kontrak sebanyak RM210,000.

Bagaimanapun, keputusan Jawatankuasa Rayuan FAM itu memuktamadkan segala kemelut yang timbul dan mana-mana pasukan yang mahu mendapatkan Akhyar perlu membayar pampasan RM75,000 bersama jumlah tebus kontrak RM210,000.

Pautan:
https://www.bharian.com.my/…/kfa-mahu-heret-fam-ke-mahkamah…
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: “KFA mahu heret FAM ke Mahkamah Timbang Tara Sukan(CAS)” Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top