Latest News

Wednesday 3 April 2019

Rebat RM40, alhamdulillah


SEJUMLAH 4,021 keluarga kategori miskin dan miskin tegar di Kedah kini dijejaki pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk menerima imbuhan kerajaan negeri berbentuk rebat TNB bernilai RM40 setiap bulan bagi penggunaan elektrik di kediaman mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air, Tenaga negeri, Zamri Yusuf berkata, berdasarkan senarai terkini golongan ini yang berdaftar dengan sistem eKasih di Kedah pada akhir tahun lalu serta layak menerima rebat ini pula berjumlah 7,269 keluarga.

“Daripada senarai itu, seramai 3,248 diberikan pengesahan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) negeri untuk mula menerima rebat bulanan ini bermula pada Januari lalu.

“Ada antara mereka sudah pun mempunyai akaun elektrik TNB sendiri manakala sebahagian lagi tampil ke pejabat TNB atau dijejaki pegawai TNB berdasarkan maklumat alamat dalam data TNB,” katanya pada sidang media di Wisma Darulaman, Alor Setar, hari ini.

Turut hadir, Pengurus Besar Perkhidmatan Pelanggan Bahagian Pembahagian TNB Kedah, Ismail Lathifi Teh.

Menurutnya, individu atau keluarga boleh tampil ke mana-mana pejabat TNB di daerah mereka atau Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pakatan Harapan (PH).

“Kami kenal pasti ada bil elektrik di kediaman individu ini menggunakan nama pasangan mereka, ada juga yang tinggal di rumah pusaka iaitu bil elektrik berdaftar atas nama ibu bapa mereka.

“Ada yang tinggal di rumah saudara dan ada yang tinggal di rumah sewa,” katanya.

Individu yang terbabit dalam penerimaan rebat ini hanya perlu membawa kad pengenalan serta bil bulanan elektrik terkini di lokasi berkenaan.

“Berdasarkan jumlah yang cuba dijejaki itu, daerah Sik mencatatkan jumlah yang ramai iaitu 694 keluarga, diikuti Kuala Muda (634), Kota Setar (620), Baling (516) dan Kubang Pasu pula seramai sebanyak 482.

“Daerah lain, Padang Terap (275), Pokok Sena (216), Yan (198), Pendang (179), Kulim (140), Bandar Baharu (56) dan Langkawi (12),” katanya.

Beliau berkata, sebarang pertanyaan boleh diajukan menerusi talian bebas TOL TNB 1300885454.

sumber - Harian Metro 
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Rebat RM40, alhamdulillah Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top