ALOR SETAR - Pembentangan Bajet Kedah 2020 hari ini menetapkan bantuan khas sebanyak RM750 kepada semua pegawai, kakitangan dan anggota pentadbiran negeri.
Menteri Besar, Dato' Seri Utama Mukhriz Tun Mahathir berkata, pemberian itu sebagai tanda betapa kerajaan negeri memahami sumbangan serta jasa kakitangan awam yang melaksanakan tanggungjawab dengan penuh amanah dan dedikasi.
"Bagi maksud ini, kerajaan akan membelanjakan sejumlah wang sebanyak RM5 juta dengan bayaran tersebut akan dilunaskan pada Disember 2019," katanya ketika membentangkan Bajet tersebut di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, pagi tadi.
Dalam sidang akhbar selepas itu, Mukhriz memaklumkan seramai lebih 6,000 individu akan menerima bantuan khas tersebut.
"Mereka yang bertugas secara lantikan kontrak juga layak menerima bantuan berkenaan," katanya.
Pada tahun lalu para penjawat awam di negeri ini hanya menerima bayaran khas sebanyak RM500 yang diberikan kepada 4,738 penjawat awam lantikan negeri Gred 54 ke bawah.
0 comments:
Post a Comment