Latest News

Tuesday, 27 February 2018

Memalukan, jatuh maruah Malaysia


SHAH ALAM - Kedudukan Malaysia yang jatuh sebanyak tujuh tangga dalam Indeks Persepsi Rasuah rasuah (CPI) di bawah Greece daripada 180 buah negara amat memalukan dan menjatuhkan maruah Malaysia.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, kedudukan ini menjadikan prestasi negara yang terburuk dalam tempoh lima tahun lepas.

"Apa yang sepatutnya dilakukan SPRM ialah tindakan kepada perasuah negara bukannya meminta perasuah berkuasa berikrar lawan rasuah.

"Ambil tindakan terhadap pemimpin-pemimpin berprofil tinggi termasuk perdana menteri sendiri. Jangan hanya agresif terhadap penjawat awam, pemimpin pembangkang dan ahli politik pertengahan tetapi apabila berhadapan pembesar utama negara, SPRM ‘kecut perut’ dan diam membisu," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata, sikap pilih memilih SPRM terhadap rasuah antara faktor indeks rasuah negara jatuh merudum walaupun menangkap beratus orang sehari.

"SPRM perlu buktikan kepada rakyat dan dunia bahawa Malaysia bebas dari kepompong pemimpin kleptokrat, korup, menindas, menyeleweng, rasuah dan salah guna kuasa, mesti bertindak tegas dan bertindak adil kepada semua pihak, tanpa mengira siapa dan latar belakang," katanya.

Baru-baru ini media melaporkan Transparency International- Malaysia (TI-M) menyatakan kemerosotan skor Malaysia daripada 49 kepada 47 dan berada di ranking ke 62 bagi CPI adalah yang buruk.

Presiden TI-M, Datuk Akhbar Satar berkata, masalah atau isu berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), SRC International Sdn Bhd, Tabung Haji dan Felda menjadi punca penurunan skor dan ranking bagi negara ini.

Mahfuz berkata, tiada nilai Malaysia menjadi sebuah negara maju, membangun, tetapi dari sudut integriti kualiti Malaysia sama seperti negara dunia ketiga sahaja.

"Jika Malaysia berterusan dalam keadaan begini, bukan CPI ala SPRM yang perlu dibentuk, tetapi SPRM baru dengan struktur, peranan, tanggungjawab yang lebih telus dan bebas perlu dibentuk.

“Pakatan Harapan memberi jaminan reformasi institusi menyeluruh dalam tempoh 100 hari apabila Harapan mendapat mandat rakyat memerintah Malaysia untuk memerangi rasuah tanpa pilih kasih," katanya.

Katanya, timbul rasa hairan apabila Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad memberi respons terkejut dengan pengumuman kedudukan CPI.

"Ia menunjukkan beliau sebenarnya gagal memahami peranan sebenar SPRM atau buat-buat tidak faham," katanya.

Artikel : Sinar Harian 
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Memalukan, jatuh maruah Malaysia Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top