Latest News

Thursday 20 November 2014

Khyril Muhymeen Tinggalkan Skuad #Kedah?



Itu antara soalan utama yang diajukan oleh kelab peminat bola sepak Kedah.

Sesi yang diatur berjalan lancar dengan kehadiran Setiausaha Kehormat KFA, YB Aminuddin Omar, Pengurus Pasukan Kedah, Dato’ Jeffrey Low Han Chow dan Jurulatih skuad hijau kuning Tan Cheng Hoe. Bermula sekitar jam 4.30 petang, sesi ini berlangsung kira-kira 2 jam di Dewan Halia 2, Hotel Grand Alora Mergong.

Ucapan pembukaan dari panel pengurusan berkenaan halatuju dan perkembangan pasukan secara umum serta hasrat pasukan, disusuli dengan sesi dialog bersama wakil kelab peminat yang hadir seperti Kelab Jaguh Utara, Hijaukuning.Com, Penyokong Setia Hijau Kuning, Ultras Kedah dan juga turut dihadiri wartawan serta peminat setia hijaukuning yang prihatin berkenaan perkembangan skuad Kedah.

Ringkasan dialog adalah seperti berikut.

Soalan dari Safarizal Sobri wakil dari Kelab Jaguh Utara.

SOALAN:

Apakah sasaran skuad hijaukuning dan status terkini Khyril Muhymeen bersama skuad hijaukuning?

JAWAPAN 1 oleh YB En. Aminuddin Omar:

Sasaran pasukan hijaukuning untuk musim 2015 adalah untuk berada 2 tangga teratas LIGA PREMIER 2015, dan seterusnya layak ke LIGA SUPER 2016. Persiapan pasukan menurut beliau walaupun kurang didedahkan bukanlah bermakna persiapan tidak dilakukan tetapi sebenarnya giat dijalankan dan banyak pertemuan diadakan oleh pihak pengurusan. Teras utama persiapan adalah mengekalkan momentum pasukan dengan mengekalkan pemain yang dinilai sepanjang tahun melalui pandangan jurulatih dan penilai panel pemantau pasukan. Butiran tidak dapat didedahkan untuk mengelakkan dari mengganggu proses perbincangan.

JAWAPAN 2 oleh Dato’ Jeffrey:

Berkenaan Khyril Muhymeen, pihak pengurusan mengambil keputusan untuk melepaskan beliau bagi memberi peluang untuk berhijrah dan berpandangan dengan bertukar pasukan beliau akan dapat kembali kepada prestasi kemuncak seperti dahulu. Memetik situasi yang lebih kurang sama dimana Mohd Sabree Mat Abu dilepaskan dan digunakan kembali khidmatnya bersama pasukan hijaukuning tahun ini.

JAWAPAN 3 oleh Tan Cheng Hoe:

Melakukan penilaian secara keseluruhan melihat kepada rekod kecederaan, pemulihan kecederaan, dan beberapa faktor lain seperti sikap, disiplin dan juga mengambil tindakan untuk lebih adil kepada semua pemain. Beliau juga faham dengan keadaan Khyril dimana beliau sejak awal penglibatannya pernah bersama Khyril ketika belasan tahun dan secara peribadi berharap dengan bertukar angin dengan pasukan baru, Khyril akan kembali bersaing dengan kesebelasan utama kelab, negeri dan juga kebangsaan.

Soalan dari Zulfikri dari Hijaukuning.Com

SOALAN:

1. Apakah pelan jangka panjang KFA.
2. Mencadangkan supaya 2 bintang diletakkan di logo KFA sebagai tanda ‘DOUBLE TREBLE’.
3. Memuji Media KFA berfungsi dengan baik dan mencadangkan lebih info dan ‘hall of fame’ dalam laman sesawang atau laman sosial media KFA.
4. Jawatankuasa ‘scouting’ pemain, adakah wujud di peringkat pengurusan KFA.
5. Perkembangan terkini pemain import Kedah.

JAWAPAN oleh YB En. Aminuddin Omar:

Memaklumkan projek pembangunan KFA kini diperingkat perancangan untuk mempelbagaikan ruang dan peluang kepada semua pihak untuk terlibat seperti mengenalpasti sekolah sukan dan sekolah cluster untuk sukan bolasepak, bagi memastikan Kedah sentiasa mempunya pemain berbakat. Satu retreat pengurusan KFA telah dibuat dan pelan utama telah dikenalpasti untuk tindakan peringkat jawatankuasa yang akan dilantik nanti.

Cadangan berkenaan media, dan meletakkan logo 2 bintang di logo akan diperhalusi dengan pihak pengurusan tertinggi KFA.

Scouting pemain/panel pemantau wujud dengan melantik jurulatih pengalaman dan panel berpengalaman seperti, Roshidi Saari, En. Shafferi Rejab, Izham Mustafa, dan beberapa bekas pemain.

JAWAPAN oleh Dato’ Jeffrey:

Pemain import kebanyakan dari Afrika dan buat masa ini nama tidak dapat didedahkan selagi tiada kontrak sah bersama Kedah. Apa yang boleh dimaklumkan, pengurusan menggunakan ejen yang disahkan FIFA dan terbukti telah membawa masuk pemain yang berkualiti di Malaysia antaranya Dickson Nwakame, Obina Nwaneri dan sebagainya. Pihak pengurusan sendiri telah menyaksikan aksi perlawanan tersebut selama 90 minit. Pemain ini dari Liberia, Kenya, Nigeria dan Jepun dan berumur 20, 25, 27 dan 30 tahun. Seorang pemain dari Afrika ini berumur 20 tahun dan merupakan antara penjaring terbanyak di Liga Asean, seorang pemain dari Jepun yang kini masih beraksi di J-League Divisyen 1 dan seorang pemain benua Afrika lagi kini turut masih beraksi di Amerika Syarikat dan akhir sekali seorang pemain dari benua Afrika yang kini beraksi di Indian Super League.

2 orang pemain akan hadir di Malaysia pada 22/23 November ini dan bakal berada di Alor Setar sekitar 25 November ini. 2 lagi pemain dari Amerika dan Jepun dan masih beraksi kini mungkin akan hadir selepas 6 Disember ini. Pihak pengurusan akan memaklumkan kepada penyokong berkenaan kehadiran mereka supaya peminat dapat menyambut kedatangan pemain import ini ke Kedah.

Soalan dari Fadhli Adnan dari Penyokong Setia Hijau Kuning.

SOALAN:

1. Halatuju KFA dalam pembangunan dan perkembangan terkini usahasama Cardiff City.
2. Aktifkan medium interaksi berkala antara penyokong dan pengurusan.
3. Penambahbaikkan surau dan tandas di stadium.

JAWAPAN oleh YB En. Aminuddin Omar:

Usahasama dan MoU dengan pengurusan Cardiff City FC terganggu kerana berlakunya perubahan pengurusan dan pegawai yang bertanggungjawab sebelum ini. Namun begitu, hubungan tetap ada dan dalam masa terdekat Cardiff City FC akan mengadakan karnival akademi bolasepak dan pihak pengurusan akan melihat ruang kerjasama bersama pihak kelab tersebut sekitar 6 Disember ini.

Berkenaan medium interaksi, walaupun ia penting agak mustahil pihak pengurusan untuk selalu duduk bersama peminat berdialog tetapi mungkin dari masa ke semasa perjumpaan sebegini/dialog dapat diadakan bila perlu.

Penambabaikkan kemudahan seperti surau dan tandas ini telah diluluskan awal 2014 dan usaha pembaikan telah dilakukan namun kurang dihargai dan menjadi mangsa vandalisme. Pernah memohon dari SADA untuk membawa lori air sebagai tempat berwudhu’ dalam usaha memenuhi permintaan ketika perlawanan tumpuan.

Apapun, cadangan akan diambil serius untuk terus memperbaiki kemudahan stadium dan dalam usaha mencari penaja. Secara peribadi memhon maaf jika ada kekurangan dalam meningkatkan kualiti kemudahan asas stadium.

Antara kelab peminat yang hadir..
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Khyril Muhymeen Tinggalkan Skuad #Kedah? Rating: 5 Reviewed By: McTheory
Scroll to Top