Latest News

Saturday 29 November 2014

Lada Jalin Rangkaian Bersama Negara Luar Kekal Status Langkawi Geopark @MukhrizMahathir



Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) menjalin kerjasama dengan negara luar bagi memastikan status Langkawi Geopark yang diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (Unesco) dapat terus dikekalkan.

Ketua Pegawai Eksekutif Lada Tan Sri Khalid Ramli berkata jaringan dengan negara-negara yang mempunyai atau sedang membangunkan geopark penting bagi membolehkan usaha menambah baik taman geo itu dapat dilakukan secara bersama.

"Misalnya pada Geofest ini, kami menarik minat beberapa negara yang sudah ada dan sedang membangunkan geopark mereka seperti di Satun, Thailand; Vietnam dan Jeju, Korea Selatan untuk bersama-sama berkongsi maklumat mengenai geopark.

"Program seumpama ini amat penting bagi meningkatkan kesedaran orang ramai termasuk pelancong untuk memelihara khazanah alam semula jadi, biodiversiti serta geodiversiti," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Langkawi Geofest 2014 di Laman Padi, di sini Jumaat.

Beliau berkata Langkawi diisytihar sebagai geopark oleh kerajaan Kedah pada Mei 2006 dan mendapat pengiktirafan sebagai sebuah Geopark Global oleh Global Geoparks Network dan disokong Unesco pada Jun 2007.

Khalid berkata semasa penilaian semula dilakukan terhadap Langkawi Geopark tahun depan, aktiviti atau penganjuran program seperti Geofest adalah satu daripada kriteria yang akan diambil kira.

Kali terakhir taman geo itu dinilai ialah pada 2010 dan statusnya disambung semula bermula 2011 hingga 2015.

Khalid berkata segala inisiatif mengekalkan status geopark memerlukan kerjasama dan sokongan padu semua pihak termasuk jabatan kerajaan, swasta, badan bukan kerajaan (NGO) serta warga pulau peranginan itu.

Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan mana-mana pihak yang berhasrat menganjurkan program di Langkawi bagi melonjakkan lagi nama pulau legenda itu di peringkat antarabangsa.

"Setiap program yang diadakan di sini secara tidak langsung memberi promosi kepada Langkawi dan dapat menarik minat orang ramai untuk berkunjung ke pulau ini," katanya.

Pelbagai program diatur sepanjang Langkawi Geofest 2014 yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini, antaranya persembahan kebudayaan, jualan dan demonstrasi makanan tradisional, bengkel kraf dan persembahan wayang kulit.

-- BERNAMA
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Lada Jalin Rangkaian Bersama Negara Luar Kekal Status Langkawi Geopark @MukhrizMahathir Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top