Latest News

Tuesday 9 December 2014

Kerajaan Beri Perhatian Serius Pertahan Status Geopark Langkawi - Chua



Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri Kedah dan Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) sentiasa memberi perhatian serius dalam mempertahankan status pengiktirafan Langkawi Geopark oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (Unesco).

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Chua Tee Yong berkata persediaan teliti dan lengkap direncanakan bagi menghadapi penilaian semula status berkenaan oleh pertubuhan itu yang dijangka dilaksanakan pada pertengahan tahun depan.

Beliau berkata, melalui Pelan Induk Pelancongan Langkawi 2011-2015, kerajaan Persekutuan memperuntukkan sebanyak RM45 juta untuk melaksanakan kerja menaik taraf kemudahan pelancongan sedia dan projek baharu.

"(Projek baharu) seperti Geopark Discovery Centre, jeti pelancongan serta kemudahan pusat pelawat di bawah inisiatif Ikonik Geopark," katanya menjawab soalan Senator Khairiah Mohamed pada persidangan Dewan Negara di sini Isnin.

Khairiah ingin tahu status Global Geopark Langkawi yang didakwa menerima 'kad kuning' oleh Unesco kerana kegagalan pematuhan beberapa kriteria oleh pihak yang berkenaan.

Chua yang menafikan dakwaan itu berkata Langkawi masih memegang status geopark (kad hijau) sebagai anggota Global Geopark Network (GGN) sejak 1 Jun 2001 hingga sekarang.

Beliau berkata pengiktirafan itu akan dinilai semula setiap empat tahun bagi memastikan kriteria keahlian dipatuhi.

"Langkawi Geopark sebenarnya telah diberi pengiktirafan kali kedua bagi tempoh empat tahun bermula tahun 2012 hingga 2015," katanya.

Sementara itu, Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof berkata sebanyak 4,095 kes kemalangan telah dicatat di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak dari tahun 2009 hingga Jun tahun ini.

Daripada jumlah itu, 94 kes merupakan kes kemalangan maut dan 605 lagi kes kemalangan parah, katanya menjawab soalan Senator Datuk R.Goonasakaran.

"Punca-punca kemalangan adalah disebabkan faktor manusia seperti 83 peratus memandu melebihi had laju, 13 peratus disebabkan kenderaan dan empat peratus kerana faktor persekitaran.

"Selain itu, sebanyak 64 peratus kemalangan berlaku pada waktu siang dan 34 peratus lagi pada waktu malam," katanya.

-- BERNAMA
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Kerajaan Beri Perhatian Serius Pertahan Status Geopark Langkawi - Chua Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top