Latest News

Wednesday 10 December 2014

Liberalisme, Pluralisme Hina Islam - Jamil Khir


Fahaman liberalisme dan pluralisme dilihat antara bentuk penghinaan terhadap agama Islam yang paling banyak berlaku kebelakangan ini, persidangan Dewan Negara dimaklumkan semalam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, kerajaan mengenal pasti bentuk penghinaan itu berdasarkan laporan daripada Majlis Agama Islam Negeri dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Ini (penghinaan Islam) merupakan hasil rentetan daripada pandangan yang melihat Islam ini secara liberal, pluralisme dan ajaran yang melihat agama itu hanyalah hak individu yang tidak ada kaitan dengan pihak lain.

“Sedangkan golongan ini gagal memahami dan melihat bahawa peruntukan Perlembagaan yang telah dipersetujui secara bersama sejak dari awal kemerdekaan dahulu, iaitu pembinaan kepada perlembagaan itu, meletakkan Islam bukan sahaja sebagai agama rasmi tetapi juga sebagai agama Persekutuan,” katanya.

Jamil Khir berkata demikian semasa menjawab soalan tambahan Senator Datuk Dr Johari Mat yang ingin tahu apakah bentuk penghinaan agama Islam yang sering kali berlaku secara sengaja dan tidak sengaja kebelakangan ini.

Beliau berkata, kerajaan memandang serius perkaraitu dan menjalankan kerjasama erat dengan Majlis Agama Islam Negeri dan Jabatan Agama Islam Negeri bagi memantau dan mengambil tindakan sewajarnya.

Mengenai status siasatan program ‘I Want To Touch A Dog’, Jamil Khir berkata, perkara itu telah pun diselesaikan apabila penganjur program memberi penjelasan, memohon maaf secara terbuka dan diberi amaran untuk tidak mengulangi penganjuran program seumpama itu.

"Bagaimanapun Pihak Berkuasa Tempatan dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri akan terus memantau program lain yang dilaksanakan penganjur itu bagi memastikan program yang menyentuh sensitiviti agama tidak berulang," katanya.

Program ‘I Want To Touch A Dog’ yang diadakan pada 19 Oktober di Central Park, One Utama, Petaling Jaya dekat sini telah mencetuskan perdebatan hangat khususnya dalam kalangan umat Islam kerana bercanggah dengan mazhab Shafie. - Bernama
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Liberalisme, Pluralisme Hina Islam - Jamil Khir Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top