Latest News

Wednesday 28 January 2015

Majlis Perlantikan Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Kedah Penggal 2015-2016





Assalamualaikum w.b.t.

Salam Sejahtera

Salam Kedah Aman Makmur

Salam Kedah Serata-rata


Yang Berhormat Dato’ Haji Badrol Hisham Bin Hashim, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air, Tenaga dan Pembangunan Insan

Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman

Yang Berbahagia Datin Maziah Binti Adnan, Ketua Pengarah, Jabatan Kerajaan Tempatan ,Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan
Wakil kepada Ketua Setiausaha,
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan

Yang Berhormat Dato’ Jaya Budiman
Dato’ Paduka Haji Mohd Puat Bin Mohd Ali, Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman

Yang Berhormat Puan Nor’Azura Binti Mohamed Zohdi, Penasihat Undang-undang Negeri Kedah Darul Aman

Yang Berhormat Dato’ Wira Haji Khazali Bin Haji Din, Pegawai Kewangan Negeri Kedah Darul Aman

Yang Berhormat Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Kedah Darul Aman

Yang Berbahagia Pegawai-Pegawai Daerah

Yang DiPertua-Yang DiPertua dan Setiausaha-Setiausaha Majlis Bandaraya, Majlis Perbandaran dan Majlis Daerah

Ahli-ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Kedah Darul Aman

Ketua-ketua Jabatan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri

Dato’-dato, Datin-datin, Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian



1. Alhamdulillah, saya memanjatkan setinggi-tinggi puji-pujian dan syukur ke hadrat Allah SWT, dengan limpah rahmat dan izinNya, sekali lagi kita dapat berkumpul di pagi ini untuk Majlis Pelantikan dan Angkat Sumpah Ahli-Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Kedah Darul Aman, bagi Penggal 2015-2016.

2. Tahniah saya ucapkan kepada barisan Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang dilantik. Saya yakin bahawa setiap Ahli Majlis yang dilantik ini adalah berkelayakan, berpengalaman luas sama ada di bidang profesional, perdagangan atau perindustrian serta berkebolehan mewakili masyarakat setempat.

3. Ucapan tahniah ini juga turut saya rakamkan kepada semua PBT Negeri Kedah yang mengatur inisiatif Misi Bantuan Bencana Banjir dan Misi Bantuan Pasca Banjir di Pantai Timur pada penghujung tahun 2014 dan pada awal bulan Januari tahun ini.




4. Saya dimaklumkan bahawa terdapat beberapa PBT di Kedah yang turun padang untuk menyalur sumbangan dan ada juga yang turut berganding bahu bersama beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO) untuk menyalur sumbangan dalam bentuk kewangan, bekalan makanan, barangan, logistik dan tenaga kerja sukarelawan. Inilah keprihatinan dan semangat terpuji yang dizahirkan oleh PBT Negeri Kedah dalam membantu saudara kita yang ditimpa musibah.

Yang Berhormat, Dato’-dato’, Datin-datin, Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian,

5. Majlis Angkat Sumpah Pelantikan pada hari ini adalah sebagai simbol penyempurnaan pelantikan Ahli-Ahli Majlis PBT Negeri Kedah oleh Kerajaan Negeri, dan seterusnya bakal disusuli dengan sesi Angkat Sumpah Pengakuan Menerima Jawatan di PBT masing-masing.

6. Suka saya berpesan bahawa sumpah ini adalah ikrar Ahli-Ahli Majlis kepada Pihak Berkuasa Tempatan untuk melaksanakan kewajipan jawatan masing-masing denganamanah dan sebaik-baik hemat.

7. Ini bermakna, dalam melaksanakan kewajipan dan tugas sebagai Ahli Majlis, jadikanlah pencarian ilmu seumpama suatu pencarian yang tiada penghujungnya. Lengkapkanlah diri dengan ilmu dan kefahaman terhadap fungsi, peranan dan tanggungjawab sebagai Ahli Majlis, peka kepada hal ehwal Kerajaan Tempatan, prihatin terhadap permasalahan masyarakat setempat serta ambil tahu keadaan sekeliling dan global.

8. Dengan adanya ilmu pengetahuan, tugas yang berat akan menjadi ringan, tanggungjawab dapat dijalankan dengan sebaik mungkin mengikut landasan undang-undang, kekeruhan dapat dijernihkan. Begitu juga yang kusut dapat dileraikan dan perbezaan pendapat dapat ditangani secara matang dan berhemah.

9. Ingatlah bahawa ilmu pengetahuan yang dihiasi dengan kemuliaan akhlak ataupun sikap terpuji dalam diri setiap Ahli Majlis, akan melonjakkan martabat institusi Pihak Berkuasa Tempatan sebagai sebuah institusi yang disegani lagi dihormati.


Ahli-Ahli Majlis yang saya hormati,

10. Jawatan yang disandang adalah kuasa. Kuasa adalah tanggungjawab dan tanggungjawab pastinya diakhiri dengan muhasabah ataupun dalam istilah lainnya – akauntabiliti. Akauntabiliti, yakni kebertanggungjawaban bagi setiap Ahli Majlis adalah untuk memberi pemakluman, maklumbalas atau pelaporan kepada kumpulan masyarakat setempat yang diwakilinyatentang apa-apa dasar dan keputusan yang dibuat di peringkat PBT.

11. Sesungguhnya, keberkesanan penyampaian perkhidmatan oleh Ahli Majlis sentiasa akan dinilai. Penilaian di mata masyarakat inilah, yang merupakan cerminan prestasi perkhidmatan seseorang Ahli Majlis.

12. Saya ingin berpesan, jauhilah sifat sombong dan riak dengan jawatan yang disandang. Apalah ertinya bermegah-megah memegang jawatan, andai kita tidak mampu menyumbang kepada kumpulan masyarakat yang diwakili. Ikut resmi padi - yang semakin tunduknya semakin berisi.


Yang Berhormat, Dato’ – dato’, Datin – datin, Tuan – tuan dan Puan – puan yang dihormati sekalian,

13. Mulai 1 Oktober 2014, penubuhan Jawatankuasa Perwakilan Penduduk atau ringkasnya (JPP) telahpun dikuatkuasakan. Negeri Kedah telah diperuntukan sebanyak 264 zon JPP dalam kawasan PBT. Setiap zon adalah terdiri daripada Pengerusi, Setiausaha dan lapan (8) orang Ahli-ahli Jawatankuasa.

14. Secara ringkasnya, status JPP ini adalah berbeza dengan status Ahli Majlis PBT. Pelantikan Ahli Majlis adalah melalui undang-undang Akta Kerajaan Tempatan 1976, manakala penubuhan JPP adalah bersifat pentadbiran dan tidak melibatkan entiti undang-undang.

15. Sebagai makluman, fungsi JPP hanyalah bertujuan membantu orang awam dalam sesuatu komuniti untuk bergiat aktif dalam proses pentadbiran Kerajaan Tempatan.

16. JPP akan bergerak sebagai satu entiti yang dianggotai oleh wakil masyarakat setempat bagi mendokong dan memantau perlaksanaan program-program pembangunan, kemasyarakatan dan modal insan yang dilaksanakan sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan. Di samping itu, JPP turut menangani isu-isu perbandaran dan penyampaian perkhidmatan di kawasan setempat.

17. Oleh kerana isu JPP ini masih baru dan suara-suara mempersoalkan JPP yang solah-olah cuba mengambil alih peranan Ahli Majlis, saya menyeru kepada semua Ahli-ahli Majlis sama ada yang ada pengalaman berkhidmat dalam penggal yang lalu mahupun yang baharu sahaja menyandang jawatan, agar mengetahui dan memahami perbezaan bidang tugas antara Ahli Majlis dan JPP.

18. Apa yang penting, semangat bekerjasama di kalangan Ahli Majlis dengan jentera pentadbiran PBT, masyarakat setempat, JPP, Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri adalah penting dan mampu mencipta gelombang besar atau “synergy effect”kepada keberkesanan dan kecekapan sesebuah program atau proses kerja yang diusahakan secara bersepadu.

Yang Berhormat, Dato-dato’, Datin-datin, Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian,

19. Suka saya mengumumkan berita baik untuk Ahli-ahli Majlis penggal terbaru ini, bahawa Kerajaan Negeri Kedah bercadang untuk menaikkan Elaun Tetap Ahli-ahli Majlis, Yang DiPertua dan Setiausaha PBT. Begitu juga elaun kehadiran mesyuarat, akan turut sama diberi kenaikan.

20. Cadangan kenaikan ini membuktikan betapa Kerajaan Negeri amat peka kepada aspek kebajikan Ahli-ahli Majlis dengan mengambil kira faktor peningkatan kos sara hidup dan beban tugas semasa yang digalas oleh Ahli-ahli Majlis yang kian hari kian mencabar.

21. Semoga kenaikan elaun ini dapat memberi suntikan semangat kepada semua Ahli-ahli Majlis untuk lebih gigih bekerja dan menabur bakti kepada masyarakat setempat. Di samping itu, turut mengamalkan konsep good governance iaitu tadbir urus terbaik di dalam sistem penyampaian di PBT.

22. Antara cabaran getir dalam urus tadbir PBT adalah dalam aspek pengurusan kewangan. Rata-rata PBT menghadapi isu sumber hasil yang terhad dan ditambah pula dengan isutunggakan cukai taksiran. Bagaimanapun, PBT turut mendapat bantuan geran tahunan dari Kerajaan Pusat dan peruntukan daripada Kerajaan Negeri untuk menampung keperluan perbelanjaan mengurus dan kos penyelenggaraan PBT yang semakin meningkat.

23. Ketika inilah, pihak pengurusan tertinggi PBT, iaitu barisan Ahli-Ahli Majlis perlu bijak mentadbir sumber-sumber kewangan dengan meneroka sumber hasil baru dan mempelbagaikan kaedah kutipan tunggakan cukai taksiran.

24. Sumber-sumber kewangan ini mestilah diurus dengan penuh integriti, cekap dan berkesan untuk dibelanjakan secara seimbang demi memberi perkhidmatan Bandar dan kawasan setempat yang selamat, bersih dan berdaya maju.

25. Di samping itu, saya ingin menasihatkan kepada semua PBT agar dapat merangka strategi ke arah menjana sumber kewangan yang konsisten dan kukuh. Dalam konteks ini, Kerajaan Negeri juga turut sama membantu meningkatkan hasil PBT melalui Bajet 2015.

26. Dalam ucapan Bajet 2015 pada 17 Disember, 2014 yang lalu, saya telah mengumumkan bahawa Kerajaan Negeri Kedah telah memperuntukkan pemberian bantuan kekurangan hasil kepada semua PBT Negeri Kedah berjumlah RM5 juta kerana kehilangan punca hasil daripada bayaran lesen penjaja bagi tahun 2014.

27. Kerajaan Negeri juga telah bersetuju untuk memberi Caruman Membantu Kadar Hartanah Kerajaan Negeri Kedah kepada semua PBT yang keseluruhannya berjumlah RM724 ribu. Dengan suntikan bantuan kewangan tersebut, diharapakan dapat meningkatkan tahap kestabilan dan ‘survival’ kewangan di PBT masing-masing.


Yang Berhormat, Dato’-dato’, Datin-datin, Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian,

28. Seiring dengan hasrat Kerajaan Negeri Kedah untuk memacu pertumbuhan Negeri Kedah yang amat dicintai, saya mengharapkan Ahli-ahli Majlis di PBT dapat turut sama menyokong agenda pembangunan Negeri.

29. Kerajaan Negeri Kedah telah merancang sebanyak enam (6) buah projek katalitik dan berimpak besar dalam Rancangan Malaysia Kesebelas(RMK-11)

30. Projek-projek ini adalah;

1) Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP);

2) Bandaraya Aero Kedah (Kedah Aerocity) di Daerah Kulim;

3) Lebuhraya Sungai Petani – Kedah Inner Expressway (SPIKE);

4) Bandaraya Getah Kedah (Kedah Rubber City) di Daerah Padang Terap;

5) Taman Sains & Teknologi Kedah (Kedah Science and Technology Park) di Bukit Kayu Hitam, Daerah Kubang Pasu;

6) Bandaraya Sains Perubatan Kedah (Kedah Medical Science City) di daerah Bandar Baharu.


31. Sehubungan dengan itu, penglibatan Ahli Majlis dalam PBT amatlah diharapkan dalam mempercepatkan proses kelulusan Permohonan Kebenaran Merancang dan turut sedia menyediakan prasarana dan kemudahan awam kepada masyarakat setempat yang bakal menikmati limpahan kepesatan pertumbuhan kawasan setempat hasil daripada pembangunan projek-projek ikonik tersebut. Sama-samalah kita berusaha dan berdoa agar pembangunan keenam-enam projek ikonik ini menjadi realiti.

32. Sebelum saya mengakhiri ucapan ini, ingin saya menyeru kepada Ahli-ahli Majlis PBT penggal 2015-2016 agar berani melakukan transformasi ke arah kebaikan dan kemajuan PBT Negeri Kedah. Bukan sekadar transformasi dari segi pengurusan dan pembangunan PBT, malah meliputi transformasi minda dan sikap.

33. Jadikan diri kita sebagai aset yang membawa keuntungan untuk memacu pertumbuhan PBT dan kawasan yang diwakili. Bukan menjadi beban yang terpaksa ditanggung hingga membawa kerugian kepada institusi yang kita wakili.

34. Kepada semua Ahli-ahli Majlis penggal baru 2015-2016, saya ucapkan selamat berkhidmat dan selamat maju jaya.


35. Sekian, Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Majlis Perlantikan Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Kedah Penggal 2015-2016 Rating: 5 Reviewed By: McTheory
Scroll to Top