Latest News

Monday 16 February 2015

Kerajaan Pusat Sedia Beri Peruntukan Dalam RMK-11 Promosi Langkawi Secara Agresif


Kerajaan pusat bersedia memberikan peruntukan khusus di bawah Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) untuk mempromosikan Langkawi sebagai destinasi pelancongan secara lebih agresif lagi, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata trend dalam industri pelancongan dunia dijangka akan terus meningkat dan usaha-usaha promosi pelancongan yang telah dilaksanakan perlu dinilai semula agar dapat dipergiatkan lagi.

Berucap dalam satu perjumpaan bersama ketua-ketua jabatan kerajaan dan kepimpinan Umno Bahagian Langkawi di sini Ahad, beliau berkata usaha-usaha ini juga perlu mengambil kira kaedah bagi menarik lebih ramai pelabur untuk menanam modal mereka di dalam industri pelancongan di pulau ini.

"Kita di kerajaan pusat akan sedia membantu untuk membuat promosi yang lebih agresif...kalau perlu peruntukan yang lebih untuk RMK-11 kita akan sediakan," katanya.

Menurutnya Langkawi sudah memiliki produk-produk pelancongan yang menarik namun perlu digilap lagi bagi meningkatkan daya tarikannya di kalangan pelancong asing.

Muhyiddin berkata kerjasama kukuh di antara kerajaan negeri Kedah dan kerajaan pusat juga perlu bagi memastikan kejayaan untuk meningkatkan promosi pelancongan ini.

Katanya kerjasama ini dapat dibuat khususnya untuk menyediakan tapak bersesuaian bagi infrastruktur pelancongan di mana kelulusan tapak tanah adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

Menurutnya Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) juga sudah menyediakan pelan induk pelancongan yang dapat dijadikan asas untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti promosi ini.

"Kita mesti ada cara yang kita boleh ambil untuk menentukan langkah-langkah yang kita ambil (untuk mempromosikan pelancongan Langkawi) bukan sahaja dapat dirancang tetapi dapat dilaksanakan dalam tempoh lima atau 10 tahun akan datang," katanya.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir, Anggota Parlimen Langkawi, Datuk Nawawi Ahmad, Anggota Dewan Undangan Negeri Ayer Hangat, Datuk Rawi Abdul Hamid dan Ketua Pegawai Eksekutif LADA, Tan Sri Khalid Ramli adalah antara yang turut hadir di majlis itu.

-- BERNAMA
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Kerajaan Pusat Sedia Beri Peruntukan Dalam RMK-11 Promosi Langkawi Secara Agresif Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top