Latest News

Sunday 8 March 2015

Graduan KUIN Digesa Tabur Bakti Kepada Negara Dan Agama


Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah bertitah graduan Kolej Universiti Insaniah (KUIN) harus menabur bakti kepada negara dan agama, di samping sentiasa memelihara akhlak serta nama baik KUIN di mana sahaja mereka berada.

Seri Paduka turut berharap graduan KUIN memanfaatkan segala ilmu yang dipelajari sepanjang pengajian mereka untuk bekalan hidup di dunia dan akhirat.

"Beta mendoakan agar semua para graduan dapat menabur bakti kepada negara dan agama di samping sentiasa memelihara akhlak dan menjaga nama baik Insaniah walau di mana anda berada," titah Tuanku Abdul Halim yang juga Canselor KUIN pada istiadat Konvokesyen KUIN ke-16 di sini hari ini.

Turut berangkat ke majlis itu Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah dan Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah Tunku Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah.

Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir turut hadir pada istiadat itu.

Tuanku Abdul Halim turut mengucapkan tahniah kepada ibu bapa graduan yang telah banyak berkorban dan bersusah payah menanggung pembiayaan pengajian anak-anak selama mereka berada di KUIN.

Dalam titah itu juga, Seri Paduka turut melahirkan kegembiraan terhadap kemajuan KUIN sekarang serta perpindahan ke kampus baharu di Kuala Ketil.

"Beta yakin Kolej Universiti Insaniah di bawah pimpinan Prof Datuk Mohd Yusof Kasim akan membawa Insaniah ke tahap yang lebih tinggi dan akan mencapai taraf Universiti penuh dalam waktu yang terdekat," titah baginda.

Yang di-Pertuan Agong gembira sebuah masjid akan dibina di KUIN berasaskan konsep wakaf dan mahu semua pihak memberi kerjasama menjayakan pembinaannya.

Sementara itu, Tuanku Abdul Halim turut mengucapkan terima kasih kepada Mukhriz kerana kesungguhan beliau membantu KUIN menjadi sebuah universiti Islam yang tersohor di rantau ini.

Dalam istiadat hari ini juga, Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah turut dimasyhur sebagai Pro Canselor I KUIN menggantikan Tunku Annuar Almarhum Sultan Badlishah yang mangkat pada Mei 2014.

Sejumlah 1,338 pelajar terlibat dalam konvokesyen selama dua hari bermula hari ini, terdiri daripada pelbagai peringkat pengajian iaitu Diploma, Ijazah Sarjana Muda, Sarjana dan Doktor Falsafah.

-- BERNAMA
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Graduan KUIN Digesa Tabur Bakti Kepada Negara Dan Agama Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top