Latest News

Sunday 8 March 2015

Pelancaran Pasukan LTDL 2015 Berlangsung Meriah #LTDL2015



Sebanyak 132 pelumba dari 22 pasukan diraikan dengan penuh gilang-gemilang dan berwarna warni pada majlis pengenalan pasukan yang beraksi pada Le Tour de Langkawi (LTdL) 2015, di Dataran Lang di sini, Sabtu malam.

Majlis pengenalan pasukan itu disempurnakan oleh Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir dan penaung LTdL, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Turut hadir, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk M. Saravanan dan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan Datuk Jamil Salleh.

Majlis pelancaran diakhiri dengan pertunjukan bunga api dan persembahan kebudayaan daripada pihak Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA).

Esok, 132 pelumba akan bersaing dalam peringkat pertama iaitu mengelilingi pulau legenda berkenaan melibatkan jarak 99.2km, bermula dan berakhir di Pantai Cenang.

Empat jersi iaitu jersi kuning selaku juara keseluruhan, jersi merah (raja bukit), jersi biru (raja pecut) dan jersi putih sebagai pelumba terbaik Asia bakal menjadi rebutan pelumba yang bersaing pada perlumbaan tersebut.

Edisi ke-20 kejohanan itu, bagaimanapun menampilkan sedikit kelainan apabila penganjur, Human Voyage Sdn Bhd memendekkan jarak perlumbaan daripada 10 peringkat sejauh 1,495.9km tahun lepas, kepada lapan peringkat melibatkan jarak 1,118km pada tahun ini.

Selepas Pulau Langkawi, pelumba akan bersaing di peringkat kedua dari Alor Setar ke Sungai Petani sejauh 185km; Gerik-Tanah Merah (170km); Kota Baharu-Kuala Berang (165.4km) serta peringkat terpanjang sejauh 200km dari Kuala Terengganu ke Kuantan.

Saingan kejohanan berbasikal berprestij itu akan diteruskan dengan peringkat keenam dari Maran ke Karak sejauh 96.6km; Shah Alam-Genting Highlands (105.7km) sebelum melabuhkan tirai dari Kuala Kubu Bharu ke Dataran Merdeka, Kuala Lumpur sejauh 96.1km.

LTdL 2015 dianjurkan oleh Human Voyage Sdn Bhd dan disokong oleh Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).

-- BERNAMA
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Pelancaran Pasukan LTDL 2015 Berlangsung Meriah #LTDL2015 Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top