Latest News

Thursday 19 March 2015

Istana Raja Muda Kedah Terbakar


Istana Kesoma yang didiami Raja Muda Kedah di Jalan Tunku Bendahara, terbakar awal pagi tadi. Kejadian yang berlaku awal pagi itu memusnahkan sebahagian besar bahagian atas kediaman itu.

Ketua Setiausaha Sulit kepada Sultan Kedah, Datuk Syed Unan Mashri Syed Abdullah berkata, ketika kejadian berlaku sekitar jam 2 pagi itu, Tunku Abdul Malik Sultan Badlishah tidak bersemayam di istana itu selepas berpindah dua bulan lalu bagi membolehkan kerja-kerja pengubahsuaian dilakukan.

“Istana berkenaan kosong, tidak dihuni buat sementara. Hanya terdapat pengawal yang menjaga istana tersebut. Punca kejadian masih disiasat termasuk nilai kemusnahan,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Bomba Nur Hafizah Muhammad Lukman berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada jam 2.10 pagi dan empat jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar, Jalan Raja dan Jitra serta sebuah jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dari Jitra bergegas ke lokasi.

Dua jentera dari Balai Bomba Sukarela Seberang Nyonya dan Kuala Kedah turut membantu memadamkan api yang marak agar tidak merebak di tingkat atas istana berkenaan.

“Seramai 27 anggota bomba diketuai Penguasa Kanan Bomba II, Mohd Firdaus Daud, termasuk 13 anggota bomba sukarela berjaya mengawal kebakaran supaya tidak merebak ke bahagian lain,” katanya.

Nur Hafizah berkata, api berjaya dipadamkan sepenuhnya sekitar jam 3.07 pagi.

Difahamkan, kejadian itu dipercayai berpunca daripada litar pintas.

“Berdasarkan laporan awal, kebakaran itu melibatkan bangunan istana berkeluasan 80 kaki x 50 kaki, dan memusnahkan hampir 40 peratus bahagian bangunan itu yang sedang diubahsuai,” katanya.
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Istana Raja Muda Kedah Terbakar Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top