Latest News

Wednesday 29 April 2015

#ASEAN: Indonesia Minat Sertai Projek Bandar Getah Kedah -- Mukhriz



Selepas Thailand, Indonesia kini menunjukkan minat untuk mengambil bahagian dalam projek Bandar Getah yang dirancang diwujudkan di Padang Terap, Kedah.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir memberitahu Bernama, minat berkenaan dinyatakan semasa Sidang Kemuncak Pertumbuhan Segi Tiga Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC) di sini Selasa.

Sidang kemuncak itu dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan dihadiri rakan sejawatannya dari Thailand, Jeneral Prayuth Chan-Ocha dan Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla.

Mukhriz berkata Indonesia telah mencadangkan agar projek berkenaan menjadi sebahagian daripada kawasan Koridor Getah yang lebih besar yang akan 'menghubungkan' ketiga-tiga negara terlibat.

"Ini merupakan idea menarik yang mungkin boleh dikaji secara mendalam," katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri kini dalam proses mendapatkan kawasan seluas kira-kira 665 hektar di Padang Terap berhampiran sempadan Thailand-Malaysia, yang telah dikenal pasti sebagai projek Bandar Getah.

Di bawah projek berkenaan, sebuah kawasan perindustrian akan diwujudkan yang memberi tumpuan kepada getah sebagai bahan mentah bagi pengeluaran tayar, sarung tangan dan produk lain yang mempunyai nilai tambah.

Mukhriz menjangka perancangan dan peringkat pembangunan projek akan bermula dalam masa dua tahun dan akan melibatkan pelaburan sektor swasta.

"Pada masa ini kami hanya meninjau infrastruktur. Kos sebenar (untuk projek) akan banyak bergantung kepada pelaburan sektor swasta," katanya.

-- BERNAMA
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: #ASEAN: Indonesia Minat Sertai Projek Bandar Getah Kedah -- Mukhriz Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top