Latest News

Wednesday 29 April 2015

Azam Tani Ubah Buruh Kasar Kepada Pengeluar Betik Terbesar Di Alor Setar



Walaupun berhadapan dengan cabaran dalam usaha memasarkan betik buat permulaan, ia tidak membuatkan Hassim Mohammad Hussain, 50, berputus asa.

Dia kini mampu menarik nafas lega kerana berjaya menjadi antara pengeluar betik terbesar di Alor Setar, Kedah selepas menyertai program AZAM Tani yang dilaksanakan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Berdasarkan Laporan Program Transformasi Kerajaan (GTP) Tahun 2014, dia sebelum ini ialah seorang buruh kasar yang menanam jagung pada waktu lapang untuk menjana pendapatan tambahan.

"Pada hari ini, Hassim ialah penanam betik sepenuh masa hasil bantuan dan latihan yang diterimanya daripada program AZAM Tani dan Hassim menjual hampir satu tan betik setiap hari kepada lima orang pembeli," kata laporan itu.

Memetik kata Hassim dalam laporan itu, buat permulaan beliau menerima bantuan peralatan bernilai hampir RM8,850 di bawah program AZAM Tani menerusi pihak Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) pada 2011.

"Pada mulanya saya berhadapan dengan cabaran dalam memasarkan buah-buahan saya tetapi selepas setahun mengikuti program AZAM Tani, peluang mula muncul dan permintaan terhadap betik saya meningkat dan ada juga yang berminat untuk mengeksport betik saya ke Thailand," kata Hassim dalam laporan itu.

Hassim yang mempunyai lapan anak itu berkata pendapatannya bertambah lebih lima kali daripada antara RM800 hingga RM1,000 sebulan kepada antara RM5,000 hingga RM6,000 sebulan.

Sementara itu, program AZAM Tani juga telah merubah kehidupan Asbdullah Ali dari Nibong Tebal, Pulau Pinang daripada seorang pekerja kilang kepada pembekal puyuh serantau.

Laporan itu menyebut kini Asbdullah merupakan pembekal daging puyuh beku yang berjaya dengan menyediakan daging puyuh yang diperap menggunakan resipi istimewa buatan sendiri.

Kata laporan itu Asbdullah, yang menternak antara 15,000 dan 20,000 burung puyuh, juga merupakan salah seorang pembekal utama telur dan daging puyuh di Seberang Prai Selatan, Kedah dan Perak.

Memetik kata Asbdullah dalam laporan itu, dia menerima bantuan sebanyak RM9,000 daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk mengembangkan perniagaan burung puyuhnya iaitu perniagaan sampingan yang dijalankan bersama isterinya semasa beliau masih bekerja kilang.

Menurutnya, pada masa itu jumlah puyuh yang dijual tidak mencukupi untuk menjana sebarang keuntungan bersih namun setelah menerima geran daripada FAMA mereka membeli 4,000 ekor anak puyuh bagi tujuan pembiakan selain peralatan diperlukan.

-- BERNAMA
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Azam Tani Ubah Buruh Kasar Kepada Pengeluar Betik Terbesar Di Alor Setar Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top