Latest News

Tuesday 28 April 2015

Ibu Bapa, Guru Disaran Pupuk Budaya 2R




Ibu bapa dan guru disaran mendidik dan menerapkan konsep 2R iaitu 'Respect dan Responsibility' (Hormat dan Tanggungjawab) dalam kalangan anak-anak atau pelajar bagi membendung gejala buli di sekolah.

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Operasi Pendidikan), Datuk Ahmad Tajuddin Jab berkata, dua aspek tersebut jika diamal dan dilaksana oleh pelajar boleh membantu menangani gejala buli yang dilihat semakin berleluasa sekarang.

"Pelajar senior perlu sayang dan hormat pelajar junior, begitu juga junior hormat senior, melalui hormat maka kita boleh wujudkan suasana harmoni dan melalui tanggungjawab, pelajar akan lebih bertanggungjawab terhadap setiap perbuatannya," katanya selepas merasmikan Hari Anugerah Cemerlang Transformasi Pendidikan Sekolah-Sekolah Kodiang, dekat sini hari ini.

Baru-baru ini, seorang pelajar Muhammad Ammar Aqil Zainudin, 13, dari Taman Ria Mesra, Gurun mendakwa dia dipukul oleh kira-kira 30 pelajar senior di sebuah sekolah agama di Pendang, dari 12 tengah malam hingga 1.30 pagi di bilik asrama pelajar senior.

Ahmad Tajuddin berkata, pihaknya memandang berat kes buli yang berlaku di mana-mana sekolah dan setiap sekolah mempunyai prosedur operasi standard (SOP) jika berlaku kes berkenaan.

Beliau berkata tugas-tugas berkaitan disiplin pelajar juga tidak seharusnya diletakkan di bahu guru disiplin semata-mata, sebaliknya guru dan ibu bapa perlu berganding bahu dalam menangani hal tersebut.

"Ibu bapa perlu bincang dengan baik jika berlaku sebarang masalah, tak perlu kepada pihak lain seperti polis dan sebagainya...semua perkara boleh diselesaikan secara rundingan," katanya. - Bernama
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Ibu Bapa, Guru Disaran Pupuk Budaya 2R Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top