Latest News

Tuesday 28 April 2015

Dua Sahabat Mulakan Kayuhan Basikal Jelajah Semenanjung Malaysia



Dua sahabat karib, Che Saad Noordin dan Mohd Kamarul Zaman Abd Wahab, hari ini memulakan Program Kayuhan Emas Jelajah Semenanjung Malaysia bersempena kempen Tahun Melawat Kedah 2016.

Program anjuran Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri kawasan Jeneri dan Briged Sukarelawan 1Malaysia Daerah Sik itu melibatkan laluan di 12 negeri di Semenanjung Malaysia dengan anggaran jarak kayuhan sejauh 3,800 kilometer.

Anggota Dewan Undangan Negeri Jeneri merangkap pengerusi program, Mahadzir Abdul Hamid berkata selain mempromosikan Tahun Melawat Kedah 2016, program itu bertujuan menggalakkan amalan gaya hidup sihat di kalangan rakyat Malaysia, melibatkan semua peringkat umur.

"Kami harap program kayuhan ini akan dapat menarik lebih ramai pengunjung sama ada tempatan atau luar datang ke Kedah," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program itu di Pusat Khidmat DUN Jeneri di sini hari ini.

Difahamkan, perjalanan dari Perlis akan bermula esok, kemudiannya melalui Bukit Kayu Hitam, Kedah; ke Pulau Pinang, Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan dan dijangka kembali ke Kedah melalui Gerik, Perak, pada 21 Mei ini.

Sementara itu, Che Saad, 65, wartawan sambilan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), berkata faktor usia tidak menjadi penghalang untuk beliau merealisasikan hasrat membuat kayuhan ke negeri di Semenanjung Malaysia.

"Sejak usia muda lagi saya menyimpan hasrat ini namun ada kekangan. Kini apabila ada ruang, saya terus mengambil kesempatan walaupun usia saya ini sudah melangkaui 60 tahun.

"Pada saya, usia bukanlah penghalang saya untuk membantu negeri dan negara kerana apa yang penting ialah semangat kita untuk menjayakannya," kata anak kelahiran Baling ini.

Dalam pada itu, rakan karibnya, Mohd Kamarul Zaman, 53, yang berasal dari Sik, berkata dia mengambil keputusan turut sama dalam program berkenaan sebagai tanda sokongan kepada rakannya itu.

"Anak-anak kami semua sudah besar malah keluarga masing-masing memberi sokongan padu untuk kami berdua menjayakan program ini, justeru saya berdoa agar perjalanan kami ini selamat dan diberkati," katanya.

-- BERNAMA
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Dua Sahabat Mulakan Kayuhan Basikal Jelajah Semenanjung Malaysia Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top