Latest News

Wednesday 29 April 2015

Permatang Pauh Perlukan Wakil Rakyat Sepenuh Masa - Muhyiddin



Penduduk Permatang Pauh memerlukan wakil rakyat sepenuh masa yang boleh menyelesaikan masalah rakyat, bukannya anggota Parlimen yang hanya sesekali berada di kawasan itu.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata anggota Parlimen atau wakil rakyat yang hanya sesekali menjenguk kawasan tidak boleh membantu menyelesaikan masalah penduduk di sesebuah kawasan.

"Kalau saya jadi penduduk Permatang Pauh saya perlukan wakil saya berada di sini. Tanyalah sesiapa sahaja yang berada di Permatang Pauh... apakah mereka mahu wakil rakyat mereka yang menjaga di Kajang lepas itu sebulan sekali datang ke sini," kata timbalan perdana menteri kepada pemberita di sini hari ini.

Semalam, Pengarah Strategi PKR Sin Tze Tzin berkata soal Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memberi khidmat sebagai wakil rakyat di dua kawasan berbeza bukan menjadi isu kepada parti itu.

Malah, katanya, Presiden PKR itu selaku calon pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh yang juga anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang di Selangor masih boleh memberi perkhidmatan baik kepada penduduk Kajang dengan bantuan kerajaan pimpinan PKR di Selangor.

Muhyiddin berkata lebih 71,000 pengundi di Permatang Pauh memerlukan wakil rakyat yang boleh memberi tumpuan sepenuhnya dalam menyelesaikan masalah rakyat di kawasan parlimen itu.

"Pastinya kerja-kerja yang nak dilaksanakan tidak berkesan. Kalau dia kata akan diuruskan menteri besar Selangor, kalau macam tu tak payah bertanding lah di sana (Kajang)... letak saja Azmin (Ali) jaga kawasan tu, jadi tak ada wakil rakyat," katanya.

Beliau berkata berdasarkan rekod Dr Wan Azizah di Kajang menunjukkan beliau tidak turun padang, sedangkan janjinya sebelum itu sewaktu 'Kajang Move' (Langkah Kajang) adalah untuk menangani masalah rakyat dan banjir di Kajang.

Keadaan itu, katanya, berbeza dengan calon Barisan Nasional Suhaimi Sabudin yang pastinya akan berada sepanjang masa di kawasan Parlimen Permatang Pauh untuk menabur bakti kepada penduduk kawasan itu.

"Kalau Suhaimi di sini saya kata awak duduk di sini sepenuh masa, rumah pun dalam kawasan, apa isu masalah pembangunan, masalah banjir, kesihatan, tempat ibadah, isu-isu ekonomi dan peluang pekerjaan pasti boleh ditangani segera.

"Kawasan ini memerlukan wakil rakyat sepenuh masa yang boleh memberi tumpuan dan perhatian terhadap kawasan itu, jauh lebih baik daripada Wan Azizah yang tak ada masa langsung," kata Muhyiddin.

Mengenai dakwaan pembangkang bahawa kempen pilihan raya mereka banyak 'diganggu' Polis berikutan Pengarah Pilihan Raya PRK Permatang Pauh bagi BN adalah Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Muhyiddin berkata polis hanya bertindak mengikut peraturan yang ada.

"Kalau tindakan itu mengikut peraturan, mereka (polis) tidak akan ambil tindakan," katanya.

Terdahulu, timbalan perdana menteri melancarkan projek naik taraf Hospital Seberang Jaya yang dijangka menelan kos RM400 juta.

PRK Permatang Pauh pada 7 Mei ini menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Suhaimi, Wan Azizah, Azman Shah Othman (Parti Rakyat Malaysia) dan Salleh Isahak (Bebas).

PRK Permatang Pauh diadakan berikutan keputusan Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon Anwar, yang merupakan Anggota Parlimen Permatang Pauh sebelum ini, melalui anggota keluarganya, sekaligus menyebabkan Anwar hilang kelayakan sebagai wakil rakyat.

Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun bagi sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

-- BERNAMA
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Permatang Pauh Perlukan Wakil Rakyat Sepenuh Masa - Muhyiddin Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top