Latest News

Friday 10 April 2015

KERABAT DIRAJA KEDAH SEBAGAI GABENOR PULAU PINANG



Oleh MD SHUKRI SHUIB



Perhubungan baik antara Istana dan juga ahli politik dalam pemerintahan negara ini amatlah penting. Sungguhpun negara ini berpegang kepada konsep demokrasi, hak pemerintah monarki juga penting dan mempunyai kedudukan tersendiri yang unik dengan kuasa yang sah dilindungi Perlembagaan Persekutuan dan juga undang-undang negeri masing-masing.

Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan adalah teras konseptual atau teras amalan asas kepada pembinaan pentadbiran. Ia juga adalah teras bina negara bagi Malaysia.

Rakyat terlibat langsung dalam pentadbiran dan bina negara menerusi hak berpolitik dan seterusnya membina kumpulan politik masing-masing dengan tujuan meraih sokongan rakyat dalam mendapatkan kedudukan yang ramai di Parlimen yakni Dewan Rakyat supaya akhirnya kuasa majoriti diperolehi bagi membentuk kerajaan.

Kerajaan dibina atas majoriti kawasan yang dimenangi oleh kumpulan politik yang bergerak bersama dalam satu parti atau gabungan parti politik.

Bagi Malaysia, uniknya kita mempunyai sembilan Sultan dan Raja yang memerintah negeri-negeri yang kemudiannya salah seorang dari kalangan DYMM itu diangkat sebagai Ketua Negara Malaysia bergelar Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agung. Inilah konsep monarki-demokrasi yang terjalin antara pemerintahan Raja bersama rakyat yang berlangsung dengan kukuh hingga hari ini.

Untuk memperkukuhkan lagi jalinan konsep monarki-demokrasi, maka saya Saya berpandangan supaya jawatan TYT Yang Dipertua Negeri di Malaysia juga mungkin perlu dilantik dari kalangan kerabat diraja negeri-negeri Malaysia agar hubungan lebih erat antara negeri tidak beraja dengan konsep Raja di peringkat Persekutuan menjadi lebih kukuh.

Permulaannya, saya melihat Pulau Pinang boleh dijadikan negeri pertama lantikan kerabat diraja sebagai TYT Yang Dipertua Negeri selepas ini. Bagi saya kerabat diraja Kedah harus dilantik ke jawatan tersebut.

Pihak Kerajaan Persekutuan hendaklah melantik dari kalangan tokoh yang dikemukakan oleh Kerajaan Kedah. Pihak Kedah harus menegaskan kepada Istana Negara supaya melantik dari kalangan kerabat diraja Kedah atas pertimbangan bahawa Pulau Pinang masih atas status pajakan dari Kerajaan Kedah. Sejarah Pulau Pinang sebagai sebahagian wilayah Kedah tidak harus diabaikan.
Untuk itu, eloklah jika Istana Kedah dirundingi dalam soal pelantikan Ketua Negeri bagi Pulau Pinang.

Sebagai ahli akademik dan anak jati Kedah saya mendesak Kerajaan Kedah supaya menjadikan cadangan ini sebagai satu keutamaan.

Langkah melantik TYT YDN Pulau Pinang dari kalangan kerabat DYMM Sultan Kedah adalah satu penghormatan ke atas status Pulau Pinang yang sebenarnya masih dibayar pajak oleh Kerajaan Persekutuan kepada Kedah.

Ia juga memperkukuhkan juga aspek kesetiaan kepada Raja dan Negara kepada warga Pulau Pinang. Dan ianya juga satu penghormatan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan rakyat negeri berkenaan apabila TYT YDN di negeri itu dilantik dari kalangan kerabat diraja.

Sudah tiba masanya persatuan sejarah Kedah mengkaji dan menyokong serta mendesak kepada Kerajaan supaya langkah ini dimulakan.

Saya berpandangan usaha ini adalah suatu yang murni dan harus diterima dan juga disokong Kerajaan Pulau Pinang supaya hubungan lebih erat antara negeri Kedah dan Pulau Pinang dapat terjalin.

Langkah melantik salah seorang kerabat diraja Kedah ke status gabenor Pulau Pinang akan datang tidak pun merugikan mana mana pihak bahkan ia seharusnya menjadi kelaziman dan dipastikan menjadi tradisi bagi negeri bekas milikan Kesultanan Kedah tersebut.

Mungkin juga sesiapa saja yang berdarjah kebesaran D.K (Kedah) boleh dipertimbangkan Kerajaan Persekutuan dalam hal ini. Dan Tun Dr Mahathir Mohamad yang merupakan negarawan serta anak jati Kedah dengan memiliki D.K (Kedah) yakni Darjah Kerabat Kedah boleh dipertimbangkan lantikan sebagai TYT YDN Pulau Pinang.

Langkah ini akan mengeratkan hubungan Pulau Pinang dan Persekutuan serta juga Kedah. Bahkan langkah ini akan membolehkan pelantikan TYT Yang Dipertuan Negeri tidak tercalar akibat isu politik kerana pengamalan selama ini ialah pelantikan TYT Yang Dipertuan Negeri adalah dari kalangan tokoh politik semasa.

Langkah baru ini akan memperkukuhkan lagi institusi Ketua Negeri bagi negeri negeri tidak beraja dalam Malaysia.


(PENULIS SEORANG PENSYARAH BIDANG POLITIK DAN ANTARABANGSA
UNIVERSITI UTARA MALAYSIA)
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: KERABAT DIRAJA KEDAH SEBAGAI GABENOR PULAU PINANG Rating: 5 Reviewed By: McTheory
Scroll to Top