Latest News

Monday 25 May 2015

JKKN Kedah Anjur Festival Wayang Gedek Untuk Tarik Golongan Belia




Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kedah akan menganjurkan Festival Wayang Gedek selama tiga hari bermula 29 Mei ini bagi menarik golongan belia untuk mendalami dan mempelajari seni persembahan itu yang semakin dilupakan.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kesenian, Kebudayaan, Warisan dan Badan Bukan Kerajaan Kedah Aminuddin Omar berkata festival yang akan diadakan di perkarangan Kompleks JKNN Kedah itu juga bertujuan menyokong usaha kerajaan dalam memperkenalkan seni dan budaya di Kedah.

Beliau berkata pemilihan wayang gedek atau wayang kulit ini adalah bersesuaian memandangkan sudah tiba masanya seni di Kedah ini yang semakin hilang diangkat semula selain mencari golongan belia yang boleh menjadi pengganti generasi lama.

"Festival yang pertama kali dianjurkan ini juga merupakan sebahagian daripada program khas 'Tahun Melawat Kedah 2016'. Kami mahu pelancong merasai sendiri aktiviti seni serta budaya yang ada di sini," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Aminuddin berkata festival yang akan berlangsung dari pukul 10 pagi hingga 11 malam itu diserikan dengan pelbagai acara seperti pertandingan mencari Dalang Muda, persembahan wayang gedek, persembahan artis, pertandingan mewarna dan jualan produk kraf.

"Kami sasarkan 5,000 pengunjung akan datang sepanjang tiga hari berlangsungya festival tersebut. Kami juga ingin menjemput golongan belia terutamanya pelajar sekolah menengah untuk menyertai pertandingan mencari Dalang Muda dengan johan akan membawa pulang wang tunai RM1,000, tempat kedua RM800 dan ketiga RM600," katanya.

Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir dijadual merasmikan festival itu pada 30 Mei ini dan sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada pihak JKNN di talian 04-7315930.

-- BERNAMA
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: JKKN Kedah Anjur Festival Wayang Gedek Untuk Tarik Golongan Belia Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top