Latest News

Friday 1 May 2015

Suhaimi Terima Banyak Respons Positif, Tempat Rakyat Utarakan Masalah


Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh, Suhaimi Sabudin menerima banyak respons positif dan sokongan daripada penduduk di kawasan itu semasa berkempen sejak hari penamaan calon pada 25 April lalu.

Suhaimi, 43, berkata sehingga semalam, usaha beliau menarik undi daripada penduduk di Permatang Pauh meliputi 60 peratus kawasan dalam Parlimen itu.

Katanya menerusi kunjungan beliau ke kawasan tumpuan orang ramai, beliau telah berjumpa dengan ramai penduduk pelbagai kaum di kawasan itu.

"Alhamdulillah respons baik...daripada kaum Melayu, Cina dan India, semua saya sudah berjumpa, dan mereka menyambut baik saya sebagai calon BN. Mereka turut mengutarakan masalah-masalah mereka dengan harapan saya dapat membantu mereka jika terpilih sebagai anggota Parlimen Permatang Pauh," katanya ketika ditemui di rumah ibunya di Guar Jering, dekat sini hari ini.

Katanya banyak perkara yang dibangkitkan penduduk sewaktu kempen beliau yang banyak tertumpu kepada masalah infrastruktur yang sudah lama membelenggu mereka.

"Saya berjanji dengan mereka, masalah itu akan diatasi jika saya terpilih memandangkan setiap Ahli Parlimen BN mempunyai peruntukan sendiri daripada kerajaan Persekutuan," kata Suhaimi.

Bagi penduduk kaum Cina dan India, Suhaimi berkata mereka banyak membangkitkan mengenai perniagaan mereka yang memerlukan bantuan.

"Kerana itu, dalam manifesto kita bagi PRK Parlimen Permatang Pauh yang dilancar semalam, BN bercadang menyediakan kemudahan Mikro Kredit Khas bagi peniaga di Permatang Pauh, penubuhan Pusat Penjanaan Usahawan Kecil dan Sederhana, tanpa mengira kaum.

"Pelaksanaan program penjanaan ekonomi ini penting di kawasan-kawasan luar bandar," kata Suhaimi yang sentiasa ditemani isterinya, Firyal Harlina Napiah, 42, ketika berkempen.

Katanya dalam kempennya itu, beliau akan memastikan untuk menemui seberapa ramai pengundi bagi menyatakan komitmen dan kesungguhan beliau untuk berbakti dan sumbangan yang mampu dilakukan BN dalam membangunkan kawasan Parlimen Permatang Pauh dan memajukan rakyat terutama penduduk kawasan itu.

Masuk hari ketujuh kempen PRK Permatang Pauh hari ini, Suhaimi makin bersemangat apabila tiga anaknya yang tinggal di asrama pulang bersempena cuti umum dan cuti hujung minggu.

Tiga anaknya itu Syatirah Yasmin, 17, pelajar Maktab Rendah Sains Mara Balik Pulau, Fatimatuzzahra, 16, yang belajar di Sekolah Menengah Sains Muzaffar Shah, Melaka dan Ahmad Imtiyaz, 13, pelajar Maktab Mahmud Alor Setar, Kedah.

Seorang lagi anak beliau Luqman Hakim, 11, belajar di Sekolah Tahfiz Al-Islah, Seberang Perai.

"Sudah sebulan saya tidak bertemu anak-anak saya itu kerana mereka belajar di luar. Hari ini hari pertama saya bersarapan dengan mereka sejak kempen pilihan raya kecil ini," katanya.

PRK Permatang Pauh 7 Mei ini menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Suhaimi, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PKR), Azman Shah Othman (Parti Rakyat Malaysia) dan Salleh Isahak (Bebas).

Kawasan Parlimen Permatang Pauh mempunyai 71,890 pengundi, dengan kira-kira 70 peratus adalah Melayu.

-- BERNAMA
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Suhaimi Terima Banyak Respons Positif, Tempat Rakyat Utarakan Masalah Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top