Latest News

Tuesday 19 May 2015

Usaha Pulih Kuala Kedah Dari Dadah


Kawasan penempatan nelayan Kuala Kedah yang merupakan antara 10 kawasan tertinggi melibatkan aktiviti penagihan dan penyalahgunaan dadah di Kedah giat dibersihkan daripada aktiviti tersebut.

Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan Negeri Kedah, Mohammad Nazer Mustafa berkata Kuala Kedah perlu dipulihkan segera memandangkan ia juga merupakan kawasan pelancongan.

"Mungkin dalam tempoh sebulan lagi kawasan Kuala Kedah dapat kita bersihkan dan selamatkan daripada pengaruh dadah," katanya dalam sidang media di sini Isnin.

Beliau berkata kebanyakan penagih dan pengedar yang merupakan golongan nelayan menjadikan kawasan Jambatan Tok Pasai, Kampung Tepi Laut serta Seberang Kota sebagai tempat operasi mereka.

"Dalam operasi sebelum ini, kita telah membakar sarang penagih di bawah Jambatan Tok Pasai, namun kali ini pihak kita mengenal pasti penagih beroperasi secara berselerak berdekatan tiga kawasan tersebut.

"Kita nak pastikan kelompok degil dan tak nak berubah ini dipulihkan. Kita akan teruskan usaha dan kita akan pastikan saki baki penagih ditangkap pada masa akan datang," kata Mohammad Nazer.

Beliau berkata dalam Ops Cekup yang dijalankan pihaknya dengan kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) hari ini, kira-kira 30 orang dicekup ketika sedang mengambil dadah di atas bot.

"Nelayan dipercayai mengambil dadah jenis heroin dan morfin untuk meningkatkan semangat mereka bekerja. Tapi nelayan tidak mendapat untung. Yang mendapat yang untung ialah towkay yang memberi upah dalam bentuk dadah kepada nelayan," katanya.

Dalam operasi bermula 4 pagi hingga tengah hari itu yang melibatkan 139 pegawai AADK, seramai 145 orang termasuk tiga wanita berumur lingkungan 18 hingga 40 tahun dicekup, jumlah tangkapan terbesar setakat ini tahun ini.

-- BERNAMA
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Usaha Pulih Kuala Kedah Dari Dadah Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top