YANG BERHORMAT SENATOR DATIN PADUKA CHEW MEI FUN, TIMBALAN MENTERI PEMBANGUNAN WANITA, KELUARGA DAN MASYARAKAT
YANG BERHORMAT DATO' HAJAH SURAYA YAACOB, AHLI MAJLIS MESYUARAT KERAJAAN NEGERI / PENGERUSI JAWATANKUASA PEMBANGUNAN WANITA, KELUARGA, KEBAJIKAN MASYARAKAT NEGERI KEDAH
YANG BERHORMAT DATO' JAYA BUDIMAN DATO' PADUKA HJ. MOHD PUAT BIN HJ. MOHD ALI, SETIAUSAHA KERAJAAN NEGERI KEDAH
YANG BERBAHAGIA DATO' SABARIAH HASSAN, KETUA SETIAUSAHA KEMENTERIAN PEMBANGUNAN WANITA, KELUARGA DAN MASYARAKAT
YANG BERBAHAGIA DATO' SITI NORLASIAH ISMAIL, KETUA PENGARAH LEMBAGA PENDUDUK DAN PEMBANGUNAN KELUARGA NEGARA
YANG BERBAHAGIA TUAN HAJI ABDUL RAHMAN ISMAIL, PEGAWAI DAERAH KUALA MUDA
AHLI-AHLI YANG BERHORMAT
KETUA-KETUA JABATAN NEGERI DAN PERSEKUTUAN
PEMIMPIN-PEMIMPIN MASYARAKAT DAN BADAN BUKAN KERAJAAN
HADIRIN / HADIRAT YANG DIHORMATI
DAN, SEKALIAN AYAH / BAPA / APPA / DADDY TERMASUKLAH DENGAN SAYA, YANG DIRAIKAN HARI INI.
Alhamdulillah, saya memanjatkan setinggi-tinggi puji-pujian ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta'aala, pada pagi ini kita dapat bersama-sama dalam satu majlis khas untuk seorang insan yang penting dalam hidup kita semua. Kita meraikan beliau dengan Sambutan Hari Bapa, Peringkat Kebangsaan, sempena program Jelajah Keluarga Bahagia Peringkat Negeri Kedah bagi tahun 2015.
Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) kerana memilih Negeri Kedah Darul Aman bagi acara Sambutan Hari Bapa Peringkat Kebangsaan pada tahun. Bagi pihak semua bapa di negeri ini, saya mengucapkan jutaan Terima Kasih.
Begitu juga kepada Yang Berhormat Dato' Suraya Yaacob, LPPKN Negeri Kedah, jabatan-jabatan, agensi, NGO, pihak swasta serta semua yang terlibat di dalam menjayakan program ini. Syabas.
Ayah ... Abi ... Papa ... Daddy ... Fu Ching ... Appa ... Apai ... Bapa.... lain sebutannya, tetapi maknanya sama. Ia merujuk kepada insan yang kita kasihi dan sayangi, iaitu bapa. Tiada bapa tiadalah kita di dunia ini. Saya tidak menafikan jasa dan pengorbanan seorang ibu... Bagai kata pepatah, isteri merupakan tulang belakang kepada bagi setiap kejayaan suami, bapa kepada anak-anaknya. Jadi nasihat saya kepada bapa-bapa yang hadir hari ini, hargai dan kasihi isteri anda....Kepada isteri saya, Terima Kasih kerana sentiasa menyokong dan memahami saya.
Kepada semua bapa, saya ucapkan Selamat Hari Bapa. Nasihat saya, juga sebagai peringatan kepada diri saya sendiri, jadilah bapa yang baik dan penyayang, jangan menjadi idola serta teladan kepada anak-anak; bertanggungjawab dalam membentuk sebuah keluarga yang harmoni. Keluarga Bahagia, Negara Sejahtera.
Dalam konteks keluarga Islam, seorang bapa wajar mencontohi sunnah Rasulullah, Nabi Muhammad SAW. Baginda amat menyenangi dan menyayangi kanak-kanak. Dalam mafhum sebuah hadith yang dicatatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim, Abu Hurairah r.a menceritakan bahawa pada suatu hari Nabi SAW telah mencium cucu baginda iaitu al-Hasan bin ‘Ali di hadapan khalayak para sahabat ridhwanullahi ‘alaihim ajma’iin. Lalu seorang sahabat yang bernama al-Aqra’ bin Haabis al-Tamimiy memaklumkan kepada Nabi SAW bahawa beliau mempunyai sepuluh orang anak namun beliau langsung tidak pernah mencium seorang pun daripada anak-anaknya. Lalu Nabi SAW memberi kata nasihat kepada beliau dengan sabda Baginda : “Sesiapa yang tidak mengasihi orang lain, maka dia tidak akan dikasihi”.
Begitu indahnya akhlak Nabi SAW dalam mendidik para bapa untuk mengasihi anak-anak mereka. Didikan terhadap anak-anak perlulah dilakukan dengan penuh kasih sayang dan keikhlasan. Apabila rasa kasih dan sayang hasil didikan Islam itu telah meresapi ke dalam jasad sesebuah institusi keluarga maka bunga-bunga kemesraan dan keharmonian akan segar mekar dalam jiwa setiap ahli anggotanya.
Inilah rahmat kasih sayang Allah SWT yang nampak seakan kecil tetapi tiada nilai bandingannya. Benarlah pesanan Nabi SAW dengan sabda Baginda: “Allah SWT menciptakan kasih sayang itu sebanyak seratus bahagian. Dia memegang 99 bahagian daripadanya dan menurunkan satu bahagian sahaja ke dunia. Dengan satu bahagian inilah setiap makhluk berkasih sayang, sehinggakan seekor kuda akan mengangkat kaki takut-takut mencederakan anaknya”. (Hadith riwayat Imam al-Bukhari).
Kepelbagaian peranan telah menuntut golongan bapa untuk lebih proaktif dan kreatif dalam mencorak hala tuju keluarga masing-masing. Kita sebagai bapa perlu bijak membahagikan masa untuk bersama keluarga dengan waktu dengan waktu dan komitmen di tempat kerja. Maksudnya, bagaimana sibuk sekalipun, bapa harus luangkan masa yang berkualiti bersama keluarga.
Berkongsilah hobi dengan keluarga selain turut melibatkan mereka di dalam persatuan, kelab atau gerakan kemasyarakatan mahupun sukan yang bapa sertai.
Bukan sahaja dapat kita mendekatkan keluarga dengan masyarakat, malah mereka dapat bersama dengan bapa masing-masing di dalam aktivit yang bermanfaat.
Senario keluarga kini semakin mencabar kerana ada masing-masing mempunyai ciri dan sifat ketanggungjawaban berbeza. Taraf pendidikan dan pendedahan membentuk perspektif yang berlainan dalam hubungan kekeluargaan.
Dalam keluarga dwikerjaya di mana suami dan isteri bekerja, keharmonian psikososial dan keakraban keluarga memerlukan kaum bapa yang lebih terlibat dalam urusan rumahtangga terutama dalam menyara, melindung dan mendidik anak. Bapa juga perlu membantu isteri untuk meringankan tanggungjawab mereka supaya isteri mereka tidak merasa terbeban dan tertekan.
Kini kita lihat kebanyakan bapa muda atau bapa Generasi X tidak malu dan ringan tulang memperluaskan peranan dan tanggung jawab keibubapaan dengan membantu isteri menjalankan peranan seperti mengemas rumah, menjaga anak, menukar lampin, memasak dan menyuap makanan ke mulut anak kecil mereka. Ini memberi nilai tambah dan melengkapkan peranan bersama antara satu sama lain dalam urusan rumahtangga.
Menurut pakar-pakar keluarga barat, contohnya Lamb, Pleck, Charnov dan Levines, penyertaan bapa dalam keluarga melibatkan 3 dimensi iaitu tanggungjawab (Responsibility), interaksi (Interaction) dan ketersediaan (Availability). Saya namakan ini semua ini sebagai Dimensi RIA.
Responsibility atau tanggungjawab ini merangkumi mengurus dan mengumpul pelbagai sumber untuk memenuhi keperluan anak-anak. Contohnya memastikan anak ada keperluan asas yang cukup: makanan harian, buku untuk belajar di sekolah atau rawatan doktor apabila mereka sakit.
Interaction atau interaksi pula adalah perhubungan individu/bersemuka dengan anak (one-on-one engagement with the child) yang menuntut lebih daripada tinggal serumah dengan mereka. Contohnya menyuap/ memberi anak makan dan bermain bersama mereka.
Availability atau ketersediaan membawa maksud kewujudan bapa bersama anak yang membuka peluang kepada pelbagai bentuk interaksi yang tidak semestinya bersemuka. Misalnya, bapa memasak Idan anak bermain di sekitar atau berhampirannya. Jika keadaan tidak mengizinkan kerana terpaksa berjauhan akibat tuntutan kerja, perpisahan atau perceraian, bapa boleh membuat "their presence felt" dengan mendekati kecanggihan teknologi masa kini dengan berkomunikasi dan berinteraksi dengan anak-anak menerusi maya, melalui laman web dan blog internet, berkongsi pandangan melalui telefon atau laman sosial seperti Facebook, Twitter, Flikr dan lain-lain.
Bagi keluarga beragama Islam pula, wajarlah kita mengikuti pesanan Saidina Ali r.a. mengenai peraturan tujuh diambil panduan dalam mendidik anak:
▪ Tujuh tahun pertama (0-7 tahun): Sayangilah dan belailah jiwa mereka dengan penuh kasih sayang
▪ Tujuh tahun kedua (8-14 tahun): Perkenalkan displin dengan berhemah
▪ Tujuh tahun ketiga (15-21 tahun): Jadilah sahabat kepada mereka.
Cik Abu pergi berniaga
Menjual kelapa di bulan puasa
Kasih ibu membawa ke syurga
Kasih bapa sepanjang masa
Akhir kata, saya mengucapkan Selamat Hari Bapa. Semoga kita menghayati dan menghargai fitrah dan kasih seorang bapa. Dengan lafaz Bismillahirahmanirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan pelancaran Sambutan Hari Bapa Peringkat Kebangsaan dengan tema "Saya Sayang Bapa Saya", sempena Jelajah Keluarga Bahagia Peringkat Negeri Kedah bagi tahun 2015.
0 comments:
Post a Comment