Latest News

Saturday 18 July 2015

20,000 Orang Hadir Rumah Terbuka Aidilfitri Yang di-Pertuan Agong


Kira-kira 20,000 orang menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat sempena Rumah Terbuka Aidilfitri Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah di perkarangan Istana Negara di sini, semalam.

Keadaan cuaca panas terik tidak menghalang orang ramai termasuk pelancong asing daripada membanjiri kawasan perkarangan Istana Negara sejak 9 pagi walaupun majlis bersalaman dengan baginda berdua hanya bermula pada 11.35 pagi.

Seorang pelancong dari Sepanyol, James Adelberto, 32, melahirkan rasa gembira dapat melihat tradisi masyarakat Melayu di negara ini, yang mengadakan majlis rumah terbuka dalam suasana berwarna-warni.

"Ini kali pertama saya ke Malaysia dan kebetulan semasa musim perayaan. Ia memberi peluang terbaik bagi saya merasai pengalaman dan mengetahui lebih mendalam budaya masyarakat negara ini," katanya kepada Bernama.

Bagi John Christopher, 45, dari Amerika Syarikat, beliau berkata majlis sambutan Aidilfitri oleh pelbagai kaum dalam situasi harmoni di Malaysia perlu menjadi contoh kepada masyakarat di negara lain.

"Makanan dan masyarakat di sini menakjubkan. Kami bersyukur kerana berada di sini," kata Christopher yang telah bekerja di Kuala Lumpur sejak dua tahun lepas.

Pelbagai juadah raya disediakan pada majlis rumah terbuka tersebut, termasuk sate, ketupat, rendang, kuih-muih tradisional dan ais kacang.

Majlis ramah mesra itu juga telah menarik minat B. Viswanathan, 52, dari Kedah yang sanggup membawa keluarganya untuk menghadiri rumah terbuka itu di Istana Negara.

Katanya sudah sekian lama beliau berhasrat untuk melihat sendiri sambutan Aidilfitri bersama Yang di-Pertuan Agong tetapi tidak kesampaian berikutan kesihatannya yang tidak begitu mengizinkan.

"Hari ini hasrat saya tercapai... kebetulan anak saya tidak bekerja hari ini, jadi dia yang bawa saya ke sini. Saya sungguh teruja melihat orang ramai yang sanggup beratur untuk bersalaman dengan Seri Paduka Baginda," katanya.

Bagi Norhafizah Mohd Sulaiman, 35, majlis ramah mesra itu jelas menunjukkan silaturahim masyarakat Malaysia yang masih kukuh walaupun negara dilanda pelbagai dugaan dan perkara-perkara yang tidak diingini.

Seri Paduka Baginda berdua juga berkenan menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak dan bungkusan kuih raya kepada hadirin.

-- BERNAMA
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: 20,000 Orang Hadir Rumah Terbuka Aidilfitri Yang di-Pertuan Agong Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top