Latest News

Sunday 19 July 2015

Kelajuan Kapal Ancam Status Geopark Langkawi


Bot serta kapal yang bergerak pada kelajuan tinggi menjadi ancaman kepada Langkawi untuk mengekalkan status 'geopark' yang diberi kepadanya oleh UNESCO, kata Ketua Pegawai Eksekutif, Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Tan Sri Khalid Ramli.

Menurutnya gelombang yang dihasilkan oleh kapal dan bot seperti itu boleh merosakkan pantai serta paya bakau - antara unsur keunikan semula jadi yang terdapat di kawasan gugusan kepulauan Langkawi hingga layak menerima status geopark daripada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 2007.

"Para pakar (mengenai geopark) meminta saya mengatasi hanya satu isu... bot yang bergerak pada kelajuan tinggi untuk membolehkan kami terus menjadi sebuah geopark terkemuka," katanya kepada Bernama.

Khalid menegaskan bahawa sekiranya persekitaran semula jadi Langkawi musnah, pelancong tidak akan lagi mengunjungi pulau ini dan pendapatan penduduk tempatan yang bergantung pada kegiatan pelancongan juga akan merosot.

Geopark Langkawi terletak di sudut paling jauh di barat laut Semenanjung Malaysia iaitu di Kedah. Ia unik kerana terbentuk hasil daripada kewujudan 99 pulau.

Khalid berkata UNESCO akan membuat penilaian terhadap status geopark itu Ogos ini, kali kedua selepas dilakukan pada 2011.

Susulan kepada penilaian pertama itu, keanggotaan Langkawi dalam rangkaian Geopark Global UNESCO disambung empat tahun lagi.

Di samping bertanggungjawab menyediakan infrastruktur pelancongan, sebagai agensi pembangunan utama kerajaan, LADA juga melaksanakan program ekonomi berskala kecil bagi menambah baik kehidupan penduduk pulau lagenda ini.

Khalid berkata inisiatif itu sejajar dengan konsep geopark UNESCO yang mewajibkan penyertaan penduduk untuk membolehkan mereka meraih manfaat daripada status itu.

"Kami perlu memastikan masyarakat setempat meningkatkan pembabitan mereka dalam bidang pelancongan, yang merupakan aktiviti utama di Langkawi, bagi meningkatkan pendapatan dan taraf hidup mereka hingga ke generasi akan datang, " katanya.

Menurut Khalid, LADA akan memantau pencapaian mereka yang menyertai program ekonomi dan menawarkan bantuan kepada golongan yang memerlukannya.

"Antara perkara paling penting untuk memastikan kejayaan Langkawi sebagai geopark global dan penyertaan masyarakat dalam aktivti ekonomi secara lestari ialah kerjasama.

"Oleh itu, kami memerlukan kerjasama setiap orang untuk memastikan program dan inisiatif kami mencapai kejayaan serta hasil yang diharapkan," katanya

Bernama 
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Kelajuan Kapal Ancam Status Geopark Langkawi Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top