Latest News

Saturday 19 September 2015

Legend Cruise Kedah Buka rahsia Alor Setar



Pelayaran santai atau 'River Cruise' menyusuri sungai merupakan tarikan popular di banyak negara memandangkan ia menawarkan satu pengalaman baru dalam menikmati panorama serta suasana sebenar sesuatu tempat.

Jika disebut River Cruise, mungkin rata-rata antara kita terbayang pelayaran santai menyusuri sungai seperti yang ditawarkan Melaka atau Sarawak.


Pemandangan indah waktu senja ini boleh dinikmati melalui perkhidmatan pelayaran santai Legend Cruise Kedah yang menyusuri Sungai Anak Bukit dan Sungai Kedah yang mengambil masa kira-kira 40 minit.


Tetapi mungkin ramai yang tidak menyedari Kedah juga menawarkan River Cruise menyusuri tempat-tempat menarik.

Malah Kedah merupakan negeri pertama di wilayah utara yang menawarkan aktiviti santai sebegitu berdasarkan pelayaran menyusuri sungai.

LEGEND CRUISE KEDAH

Pemandangan bandar Alor Star Foto Bernama



Legend Cruise Kedah, yang dikendalikan pengendali swasta World Tree Holdings Sdn Bhd, mula beroperasi pada 6 Jun lalu serta berpusat di Tanjung Chali.

Dua buah boat mengendalikan perkhidmatan empat hari seminggu, iaitu Khamis hingga Ahad. Setiap bot mampu memuatkan sehingga 40 penumpang pada satu-satu masa.

Perjalanan mengikut Sungai Anak Bukit dan Sungai Kedah dengan jarak sejauh 4 kilometer mengambil masa kira-kira 40 minit.

Legend Cruise merupakan salah satu daripada tarikan pelancong yang dirancang kerajaan negeri selaras dengan kempen Discover Kedah 2016 yang mensasarkan kedatangan lima juta pelancong tempatan dan luar negara.

PENGALAMAN PENULIS MENAIKI LEGEND CRUISE

Sebaik sahaja menjejakkan kaki atas bot, penulis bersama pelancong yang lain disapa mesra oleh krew bot berkenaan yang dikenali sebagai Pak Man.

Ketika bot mula bergerak menyusuri laluan Sungai Anak Bukit, penulis dapat melihat beberapa tinggalan sejarah dan perkampungan tradisional.

Di sebelah kiri, pelancong akan dapat melihat Kampung Seberang Nyonya, sebuah kampung lama yang wujud sejak berabad lalu.

Malah, pengunjung juga akan dapat melihat seorang lelaki tua Cina yang menyediakan perkhidmatan sampan bagi menyeberangi Pekan Cina ke Kampung Seberang Nyonya yang dipisahkan oleh Sungai Kedah ini.

Perkhidmatan itu yang lebih dikenali sebagai perahu tambang pada suatu masa dahulu merupakan kaedah pengangkutan utama bagi penduduk yang ingin ke Pekan Cina.

Sementara itu, di sebelah kanan terdapat sebuah Tokong Cina berusia hampir 153 tahun yang masih terpelihara dan menghadap ke arah Sungai Anak Bukit.

Turut menarik perhatian dalam perjalanan adalah Rumah Merdeka, peninggalan Bapa Kemerdekaan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang masih teguh berdiri dan dipelihara menyimpan memori-memori lama berkenaan perjuangan kemerdekaan.

Dua struktur ikonik bandaraya Alor Setar iaitu Menara Alor Setar dan Masjid Zahir juga merupakan tarikan utama di sepanjang sungai ini dan sudah tentunya pengunjung tidak akan melepaskan peluang untuk mengabadikan gambar kenangan berlatar belakangkan kedua-dua struktur itu.

Ketika bot membawa penulis menyusuri Sungai Kedah pula yang menuju ke Ampang Jajar, penumpang boleh singgah ke daratan sebentar bagi merasai pengalaman memberi makan kepada rusa.

APA YANG KURANG PADA LEGEND CRUISE KEDAH

Walaupun Legend Cruise dilihat berpotensi menjadi produk pelancongan hebat, namun masih terdapat beberapa kekurangan yang perlu diatasi.

Pengendali bot berkenaan Cheah Hwai Min yang ditemui penulis berkata sehingga awal September ini, hanya lebih kurang 3,000 tiket terjual. Jumlah itu adalah kecil katanya.

Ini kerana masih ramai yang tidak tahu mengenai kewujudan operasi Legend Cruise mungkin disebabkan kurangnya promosi.

Cheah turut menyatakan antara masalah utama adalah kurangnya keceriaan di sepanjang laluan sungai itu.

"Masalah utama adalah tebing sungai di kiri dan kanan tidak terjaga, tidak ceria, kebersihan sentiasa menjadi masalah.

"Malah air sungai ketika hujan bertukar keruh dan banyak sampah hanyut, ini sedikit mencacatkan pemandangan," katanya.

Ketika waktu malam pula, katanya, keadaan gelap disebabkan ketiadaan lampu menyukarkan pelancong untuk melihat pemandangan pada sebelah malam.

"Kalau malam gelap, laluan di Sungai Anak Bukit pula kami hanya berharap kepada cahaya daripada Masjid Zahir yang agak terang," katanya sambil berharap kerajaan negeri segera mengatasi masalah itu.

Malah lampu di Menara Tanjung Chali juga turut tidak berfungsi akibat wayar dan perkakas yang telah dicuri.

PRODUK PELANCONGAN PERLU ADA KONSEP 9A

Profesor Emeritus di Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan Hospitaliti dan Alam Sekitar Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Datuk Dr Abdul Kadir Lebai Din berkata, seharusnya kajian fisibiliti perlu dibuat terlebih dahulu sebelum membuka apa-apa tarikan pelancongan baharu.

Ia merangkumi konsep 9A, iaitu Attraction, Accessibiliy, Availability, Affordability, Agency, Accountabiliy, Alternative, Attentive, Accomodation.

"Misalnya kita lihat aspek 'Attraction', mesti ada satu nilai tambah yang membolehkan seseorang untuk pergi ke satu-satu tempat itu manakala Agency pula seperti adanya badan khas memantau pengurusan dan perjalanan sesuatu tempat itu," katanya.

Kesemua aspek itu menurutnya perlu diteliti dan dikaji terlebih dahulu, kerana ia tidak lain adalah bagi memastikan satu-satu tempat pelancongan itu kekal lama dan secara konsisten menjadi daya tarikan kepada pelancong.

Jelasnya, Kedah sudahpun mempunyai 'aset' besar dengan adanya Sungai Kedah dan Sungai Anak Bukit namun ianya perlu di bangunkan dengan lebih sistematik bagi menggamit kedatangan lebih ramai pelancong.

Ia terutamanya daripada segi aspek kerja-kerja pengindahan sungai dan hiasan di sepanjang laluan itu.

Pada masa yang sama beliau berharap kerajaan negeri juga sentiasa membuat perbincangan dengan pakar-pakar pelancongan sebelum membuat apa-apa keputusan.

-- BERNAMA
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Legend Cruise Kedah Buka rahsia Alor Setar Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top