Latest News

Monday 28 December 2015

Masjid Zahir Cari Koleksi Gambar Sejak 1912


ALOR SETAR, 27 Dis (Bernama) -- Pengurusan Masjid Zahir meminta orang ramai yang mempunyai koleksi gambar masjid tersebut seawal pembinaanya pada 1912 untuk tampil menyerahkannya untuk dipamer.

Imam Satu Masjid Zahir, Ustaz Mohd Isa Abd Rahman berkata gambar tersebut akan dicetak semula untuk disimpan dalam sebuah galeri sempena sambutan 100 tahun Masjid Diraja berkenaan.

Beliau berkata pihaknya memerlukan gambar masjid itu dan kawasan persekitarannya bagi menggambarkan masjid tersebut yang dirasmikan pada 15 Okt 1915.

Ia mencapai usia 100 tahun pada 15 Okt lalu.

"Selepas kita cetak semula, gambar asalnya akan dipulangkan semula kepada pemiliknya beserta sedikit ganjaran sebagai tanda penghargaan," katanya kepada Bernama.

Katanya galeri akan dibina di kawasan masjid bagi membolehkan pelancong tempatan dan luar melihat dengan lebih dekat sejarah dan keindahan masjid keempat tercantik dunia itu.

Mohd Isa berkata koleksi gambar masjid yang terdapat dalam galeri tersebut juga akan dipersembahkan kepada Sultan Kedah dan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah pada majlis sambutan 100 tahun Masjid Zahir yang dijangka diadakan pada April 2016.

Beliau berkata pihaknya turut mengeluarkan risalah dan buku yang menceritakan serba ringkas mengenai sejarah masjid tertua di Kedah itu serta koleksi gambar terdahulu.

"Mungkin ada yang tidak tahu selain seni bina bangunan masjid yang tidak pernah diubah suai, kita turut mempunyai cokmar mimbar masjid yang asal dan digunakan hingga kini," katanya.

Masjid Zahir atau dalam bahasa Arab bermaksud Masjid Putih dibina pada 11 Mac 1912 hasil cetusan idea Almarhum Tunku Mahmud Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah yang merupakan Presiden Majlis Negeri Kedah serta adinda kepada Sultan Kedah Ke-26 ketika itu, Sultan Abdul Hamid Halim Shah.

Mohd Isa berkata mereka yang sudi memberikan gambar masjid boleh menghubungi talian 04-7319465 atau datang terus ke Masjid Zahir.

-- BERNAMA
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Masjid Zahir Cari Koleksi Gambar Sejak 1912 Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top