Latest News

Tuesday 16 August 2016

BERSATU UNTUK MALAYSIA - Mukhriz Mahathir




Oleh Dato' Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir - 160816

1) Di musim Mesyuarat Agung Tahunan UMNO Bahagian serata negara, macam-macam perkara diperkatakan oleh pemimpin-pemimpin UMNO sewaktu merasmikan mesyuarat. Ada yang berpesan supaya ahli-ahli UMNO terus taat dan setia kepada pemimpin, mesti kukuhkan perpaduan antara ahli, wajib pertahankan pemimpin dan parti daripada anasir yang berusaha untuk menjatuhkan Perdana Menteri "yang dipilih secara demokratik".

2) Tidak kurang juga yang menyatakan bahawa tanpa UMNO dan pemimpinnya maka negara ini akan hancur, Melayu akan ditindas, Malaysia tidak lagi akan dihormati seantero dunia.

3) Pihak yang menentang Najib Razak dianggap pengkhianat yang ingin menghancurkan UMNO, cuba membawa campur tangan asing dalam urusan domestik, dan sanggup menggadai masa depan negara "yang dikagumi orang asing".

4) Parti baharu, Bersatu, didakwa diketuai oleh pemimpin-pemimpin UMNO yang kecewa. Maka dengan itu, dikatakan Bersatu akan menjejaki nasib Semangat 46. Bersatu dikatakan rasis kerana hanya terbuka keahliannya kepada masyarakat Pribumi, tetapi pada masa yang sama ianya juga dituduh sanggup "bersekongkol dengan musuh Melayu" iaitu DAP yang dituduh anti-Islam. Yang mana satu?

5) Yang perlu disedari ialah bukankah Presiden UMNO merangkap Perdana Menteri, Najib Razak, yang mengakui menerima duit berjumlah RM2,600 juta bagi pihak UMNO kononnya dari Putera Raja Arab Saudi? Tidakkah tindakan ini yang perlu dianggap sebagai campur tangan asing? Tidakkah perkara ini yang menjejas imej UMNO dari aspek integriti?

6) Bukankah 1MDB, anak syarikat Kementerian Kewangan cetusan idea Najib, yang melesapkan puluhan ribu juta ringgit - duit pinjaman yang asalnya dijamin oleh Kerajaan BN yang bebanan hutang itu kini diambilalih dari 1MDB oleh Kementerian Kewangan? Dari mana sumber kewangan Kerajaan untuk membayar hutang puluhan bilion ringgit ini kalau tidak antara lain dari cukai GST yg dikutip daripada Rakyat?

7) Adakah skandal 1MDB ini berpunca daripada bekas-bekas pemimpin UMNO yang dikatakan kecewa itu? Tidak! Skandal ini muncul apabila Najib sendiri membuat keputusan-keputusan mengenai pelaburan 1MDB berjumlah puluhan bilion ringgit, yang kini didakwa oleh penyiasat-penyiasat agensi kerajaan asing seperti Singapura, Switzerland, Amerika Syarikat, Hong Kong, United Kingdom dan lain-lain sebagai skim pengubahan wang haram terbesar di dunia. Sudah terang, masakan mahu bersuluh. Najib sendiri yang mengaibkan negara, bukan Tun Mahathir atau Tan Sri Muhyiddin.

8) Kes dan pendedahan inilah yang menghakis kepercayaan Rakyat terhadap Kerajaan BN. Orang Melayu semakin meluat dengan penipuan demi penipuan serta putar-belit dalam propaganda yang dicanang agensi-agensi BN seperti JASA, tim cytro Pejabat Perdana Menteri dan lain-lain wakil NGO upahan mereka. Masyarakat dunia terkejut dengan kemerosotan kewibawaan dan kehebatan Malaysia yang dahulunya dikagumi ramai. Ini semua bukan salah golongan yang menentang Najib dan konco-konconya. Tiada sesiapa melainkan Najib yang perlu dipersalahkan.

9) Memang kita selalu mengharapkan Rakyat bersatu tetapi kebersatuan itu mestilah untuk kebaikan, bukannya
untuk kemungkaran. Adakah kita kena bersatu untuk menghalalkan jenayah? Adakah kita perlu bersatu dan
terus menyokong pemimpin secara buta tuli jika dia disyaki pecah amanah dan menyeleweng harta Rakyat? Adakah kita perlu berpegang kepada prinsip bahawa kepentingan Melayu mengatasi segalanya termasuk apabila pemimpin Melayu melakukan kesalahan yang memalukan bangsanya sendiri? Adakah permusuhan UMNO terhadap DAP itu menjadi pegangan hidup kita walaupun seringkali parti-parti komponen BN seperti MCA dan Gerakan juga berpendirian sama dengan DAP mengenai isu-isu yang sensitif kepada Melayu dan Muslim?

10) Rakyat menjadi saksi bagaimana seorang Timbalan Presiden UMNO yang telah dipilih secara sah oleh perwakilan parti telah digugurkan jawatan tanpa mengikut proses yang termaktub dalam perlembagaan parti. Najib menganggap dirinya dipilih sebagai Presiden parti dan Perdana Menteri melalui proses demokrasi, walhal tiada yang bertanding melawannya dalam pemilihan UMNO, dan dia diangkat sebagai PM atas jawatannya sebagai Presiden parti yang memenangi kerusi Parlimen yang terbanyak. Rakyat tidak memilihnya secara langsung seperti yang berlaku bagi pemilihan Presiden di Filipina dan Amerika Syarikat.

11) Namun, Najib tetap menuduh pemimpin-pemimpin penaja Bersatu cuba menjatuhkannya secara tidak demokratik. Malah pemimpin muda yang tiada apa bakti terhadap Rakyat tergamak mendakwa tiga Tan Sri bekas-bekas ketua agensi penting Kerajaan berkomplot untuk menjatuhkan Najib. Tetapi pada waktu yang sama, Najib sendiri yang ambil tindakan memecat pemimpin Kerajaan, buang dari parti, lumpuhkan siasatan terhadapnya, buang saya sebagai Menteri Besar, dan lain-lain lagi. Adakah itu demokrasi namanya?

12) Sebenarnya saya sangat rela melepaskan jawatan dalam UMNO dan Kerajaan kerana tidak sanggup dilihat bersekongkol dan mendokong kebathilan yg dilakukan oleh Najib. Malu..Malu...Malu yg teramat sangat saya rasai bila satu dunia ini menonton sidang akhbar Peguam Negara Amerika Syarikat mengaitkan Najib dengan kes pengubahan wang haram pada skala yang belum pernah berlaku di dunia - dan kita semua bagaikan tergamam dan tidak terdaya untuk melakukan sesuatu untuk menyelamatkan keadaan. Tidak sesiapa yang mengkagumi Malaysia ketika ini seperti yang didakwa sesetengah pemimpin UMNO.

13) Cukuplah dengan penipuan. Sudah-sudahlah dengan tindakan-tindakan untuk melumpuhkan kewibawaan jabatan-jabatan dan agensi-agensi Kerajaan. Hentikan serta-merta semua penyelewengan oleh anak tiri Najib, Riza Aziz dan rakan karib Najib, Jho Low, yang menyalahgunakan duit pinjaman tanggungan Kerajaan untuk berjudi, beli rumah mewah di merata tempat, dan hidup berfoya-foya membelanjakan wang Rakyat dengan boros ketika Rakyat terpaksa menanggung GST untuk beli lampin pakai buang dewasa. Cukuplah dengan kenyataan-kenyataan bodoh sombong melabel sesiapa juga yang mengkritik Najib sebagai gunting dalam lipatan yang patut tinggalkan UMNO.

14) Rakyat meluat dengan komen-komen tidak masuk akal kononnya tindakan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat menyiasat 1MDB itu satu usaha untuk membunuh Melayu. Siapa sebenarnya yang begitu akrab dengan Presiden Amerika? Siapa yang berselfie dengan Presiden Obama dan bermain golf dengannya kalau tidak Najib Razak? Hentikan semua ungkapan-ungkapan yang memperbodohkan Rakyat.

15) Sempena bulan Merdeka ini, saya harap semua pihak bertekad untuk lakukan yang baik demi negara. Jangan hipokrit, laungkan "Untukmu Malaysia" tapi curi duit negara. Kalau kita sayangkan negara, bersamalah dengan kami dalam Bersatu setelah ianya diluluskan pendaftarannya oleh pihak Pendaftar Pertubuhan. Buanglah sifat taksub kepada pemimpin yang terbukti tidak amanah. Selamatkan Malaysia sebelum terlambat. Jangan biarkan kemungkaran berleluasa. Jangan benarkan rasuah menjadi budaya. Kita semua berhak ke atas keadaan yang jauh lebih baik dari apa yang kita hadapi sekarang. Yang diperlukan ialah langkah pertama ke arah kejayaan yang membawa berkat, Insha'Allah.
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

2 comments:

  1. Lanun Bugis 1MDB tu yang sebenarnya pengkhianat menghancurkan UMNO yang bermenterikan Lembu anggok2 geleng!!!

    ReplyDelete
  2. Mana ada campur tangan asing???

    Yang berotak Udang Galah jer yang berpendapat bergitu.

    Semua Negara luar yang bertindak cuma bertindak ka atas penyangak2 1MDB Lanun Bugis di Negara mereka saja!!!

    Ada Negara asing datang ka Malaysia kacau dan tangkap Lanun Bugis Nyut Nyut???!!!

    ReplyDelete

Item Reviewed: BERSATU UNTUK MALAYSIA - Mukhriz Mahathir Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top