Latest News

Tuesday 18 October 2016

Jasa siapa di UMNO yang perlu dikenang? - @MukhrizMahathir


Saranan Ketua Penerangan UMNO, Annuar Musa, di Seri Mentaloon semalam "supaya anggota UMNO membentuk imej baik terhadap parti berusia 70 tahun itu bagi memastikan parti dinilai berdasarkan sejarah perjuangan parti itu yang sebenar-benarnya" menunjukkan bahawa kepimpinan UMNO kini terpaksa bersandar kepada jasa kepimpinan terdahulu untuk meyakinkan Rakyat.

Memang benar UMNO banyak berjasa kepada Rakyat sehingga mencapai kemerdekaan dan memajukan negara. Tapi itu semua tidak dilakukan ketika negara di bawah kepimpinan Najib Razak.

Tidak siapa dapat menidakkan hakikat bahawa sejarah perjuangan UMNO begitu cemerlang dari 1946 hingga 2003. Ketika UMNO di puncak kegemilangan itu jugalah Najib sendiri, di sebalik tabir berusaha untuk menjatuhkan Pak Lah supaya dirinya boleh dipilih sebagai PM.

Namun, sejak pelantikannya pada 2009, UMNO tidak lagi dikaitkan dengan perkara-perkara yang boleh dibanggakan. Sebaliknya nama baik UMNO sangat tercemar dengan skandal demi skandal yang memualkan - angkara Najib Razak sendiri.

Apakah jasa Najib jika dibandingkan dengan Dato' Onn Jaafar yang telah menongkah arus untuk menubuhkan parti yang dapat menyatupadukan Melayu yang dipisahkan sempadan negeri ketika itu?
Apa jasa Najib berbandingkan dengan kehebatan diplomasi Tunku Abdul Rahman yang berjaya memerdekakan negara dari belenggu penjajah?

Apa jasa Najib bila dibandingkan dengan ayahnya sendiri, Tun Abdul Razak dalam menyatu-padukan rakyat berbilang kaum selepas tragedi 13 Mei dan membela nasib rakyat luar bandar?

Apakah Najib layak dibandingkan dengan Tun Hussein Onn yang tegas berpegang kepada integriti?
Apakah pengukuhan jatidiri rakyat berslogan "Malaysia Boleh!" yang menyaksikan pembangunan ekonomi moden yang diusahakan oleh Tun Mahathir Mohamad boleh disamakan dengan apa yang Najib lakukan?

Malah, kelemahan kepimpinan yang dikaitkan dengan Tun Abdullah juga tidak boleh dianggap seteruk kemungkaran "kleptokrasi" yang dilakukan oleh Najib.

Sesungguhnya, UMNO kini menjadi lemah kerana mempertahankan Presiden yang mungkar perjuangan. Kejayaan luarbiasa yang dicapai oleh UMNO sepanjang 70 tahun ini dilenyapkan oleh Najib sendiri dalam tempoh 7 tahun kepimpinannya.

Sebenarnya perjuangan asal UMNO masih hidup segar bugar - tapi bukan lagi dalam UMNO. Ianya bernyawa dan bersemangat kental dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

Kepada ahli-ahli UMNO yang kuat berpegang kepada perjuangan asal itu, berhijrahlah kepada PPBM. Sama-samalah kita pastikan perjuangan kita selesai, in shaa Allah.

Mukhriz Mahathir
Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia
17 Oktober 2016
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

1 comments:

Item Reviewed: Jasa siapa di UMNO yang perlu dikenang? - @MukhrizMahathir Rating: 5 Reviewed By: McTheory
Scroll to Top