Latest News

Wednesday 16 November 2016

Catatan dari perbahasan saya mengenai Bajet Negeri Kedah 2017 pada 14/11/16 - bahagian kedua



Ekonomi Kedah berkait rapat dengan ekonomi negara, malah juga ekonomi dunia. Negeri tidak boleh bergantung hanya kepada hasil yang dikutip dari Rakyat tempatan tanpa berusaha bersungguh2 untuk menarik pelaburan yang dapat merancakkan pertumbuhan ekonomi Kedah.

Apabila pelaburan masuk, Kerajaan biasanya akan sediakan infrastruktur dan tenaga kerja untuk mengisi peluang2 kerja bagi menepati permintaan pihak pelabur. Kedua2 usaha ini akan menguntungkan Rakyat. Lagi rancak pertumbuhan ekonomi, lagi banyak cukai yang boleh dikutip. Dan cukai yang dimaksudkan adalah cukai pendapatan korporat dan perniagaan, bukan cukai bersifat pukul rata seperti GST yang perlu dibayar oleh semua Rakyat termasuk yang termiskin, tidak kira ekonomi negara rancak ataupun tidak.


Nampaknya pelaburan langsung asing (FDI) semakin berkurangan, termasuk bagi Negeri Kedah. Pelaburan bernilai €1.0 bilion oleh OSRAM yang diumum oleh YAB Menteri Kewangan dalam Bajet Negara 2017, dan diulangi oleh YAB Bakar Bata dalam Bajet Negeri Kedah 2017 sebenarnya telah saya umumkan dalam Bajet Negeri Kedah 2016 tahun lepas. Malah media melaporkan tentang pertemuan saya dengan Dr. Roland Mueller, Pengarah Urusan OSRAM Opto Semiconductors (Malaysia) pada 22.11.15 setelah saya menerima berita gembira pengumuman Lembaga Pengarah OSRAM di Munich, Jerman pada 11.11.15 bahawa Taman Teknologi Tinggi Kulim telah dipilih mengatasi China dan Singapura untuk menempatkan kilang chip LED itu.

Anehnya setelah setahun berlalu, kerja2 pembinaan pun sudah bermula di tapak kilang, Perdana Menteri dan Menteri Besar Kedah mengumumkan sekali lagi mengenai pelaburan ini seolah2 ianya suatu keputusan baru. Mungkinkah kerana tiada FDI yang signifikan sepanjang tahun ini?

Apakah kelebihan yang ada pada Kedah dalam menarik pelaburan? Statistik menunjukkan bahawa kewujudan industri eletronik dan eletrikal (E&E) di kawasan industri teknologi tinggi di Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) dan Pulau Pinang yang menjadi tarikan kepada pelaburan2 sebegini. Sektor E&E merupakan eksport terbesar bagi negara, yang bernilai RM280 bilion bagi tahun 2015.

Sepatutnya kelebihan ini digunakan sepenuhnya untuk mewujudkan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi bagi masyarakat Kedah. Sebaliknya, sejurus selepas PM melawat Munich dan mengumumkan (semula) mengenai pelaburan OSRAM itu, beliau pula mengumumkan di Berlin, Jerman bahawa Kerajaan Persekutuan terbuka kepada sebarang cadangan untuk menjual kepada pihak asing syarikat teknologi tinggi tempatan, Silterra Malaysia!

Nampaknya Kerajaan BN begitu berminat untuk menjual aset2 negara, termasuk aset teknologi yang dibina dengan begitu payah bertahun2 lamanya. Tidakkah Kerajaan sedar bahawa kesan penjualan sebegini sangat berpanjangan dan buruk, malah menjejas aspirasi negara dalam aspek penguasaan teknologi tercanggih dan ekonomi seperti yang dicita-citakan oleh Program Transformasi Ekonomi (ETP) Negara.

Memang benar, kalaupun Silterra dijual kepada pihak asing, operasi pengeluaran akan terus dilakukan di KHTP. Tapi sebenarnya, Silterra dibawah penguasaan tempatan sudah mampu melakukan Penyelidikan, Pembangunan dan Design (RD&D). Jika dijual, hanya pengeluaran sahaja yang dikekalkan, dan semua keupayaan nilai tambah tinggi RD&D ini akan dibawa keluar. Maka Malaysia akan kehilangan teknologi ini.

Selain itu, peluang kerja akan terhad hanya kepada pengilangan sahaja. Semua jawatan2 bernilai tinggi akan dipindahkan ke negara asal pemilik asing itu. Maka inovasi teknologi semiconductor negara juga akan terkubur. Harus diketahui bahawa Silterra mempunyai 1200 pekerja, 95% adalah warga Malaysia (ramai juga anak Kedah), dan kebanyakan kerja2 ini adalah berpendapatan tinggi yang menepati sasaran ETP yang mengharapkan ekonomi berpendapatan tinggi bagi negara.



Silterra juga bekerjasama melalui perkongsian bijak (Smart Partnership) dengan beberapa pihak dalam pelbagai bidang. Antaranya:-

- Universiti

- Kolej2 Politeknik

- Pusat latihan teknikal & kemahiran

- Program internship

- Perkongsian Pembangunan Teknologi

- Program penambahbaikan produktiviti

- Dan lain2

Tentunya jika pihak asing menguasai Silterra, semua itu tidak akan diberi keutamaan, malah mungkin akan dipindah juga ke negara asal mereka.

Lebih 100 syarikat pembekal tempatan menyokong pengeluaran Silterra sebagai anggota dalam rantaian pembekalnya. Syarikat2 ini membekalkan pelbagai jenis mesin dan penyelenggaraannya, alat2 dan komponen yang diperlukan, serta perkhidmatan yang dianggap penting bagi membantu dalam pengeluaran produk yang berkualiti tinggi. Syarikat2 ini juga mengambil kerja ramai anak2 tempatan yang mahir dalam bidang masing2. Tentunya jika Silterra diambilalih pihak asing, semua keputusan untuk melantik pembekal akan dibuat oleh mereka, dan tidak hairanlah jika syarikat2 dalam rantaian bekalan mereka yang didahulukan mengatasi pembekal tempatan. Maka lebih banyak syarikat Malaysia, dan ramai pekerja2 kemahiran tinggi kita yang akan kehilangan sumber pendapatan.

Usaha untuk membina sebuah syarikat seperti Silterra sangat mencabar, tapi faedah jangka masa panjang begitu baik bagi ekonomi negara. Dengan harga minyak sedunia berlegar sekitar US$40/tong, yang mengakibatkan dividen Petronas kepada Kerajaan menguncup, maka sumber2 baru perlu dimajukan. Kelebihan dalam sektor E&E yang menepati perkembangan teknologi terkini sedunia merupakan sumber yang sepatutnya diambil kesempatan sepenuhnya. Malang sekali, Kerajaan hanya tahu untuk menjual aset berharga seperti Silterra dan Proton demi keuntungan jangka pendek yang akhirnya akan merencatkan momentum kita untuk menjadi negara maju. Semua kerja2 baik yang dilakukan dahulu dirungkai satu demi satu hingga merugikan negara.

Olehitu, saya berpendapat bahawa Kedah perlu pertahankan Silterra. Jangan hanya dengan alasan penjualan Silterra adalah “dibawah bidang kuasa Kerajaan Pusat” maka Kerajaan Negeri tidak langsung membantah hasrat Kerajaan Persekutuan menjual syarikat ini. Bantahan ini sangat diperlukan bagi mempertahankan 1200 pekerja berkemahiran tinggi di Silterra, 100 syarikat pembekal tempatan dan kesemua pekerja2 mereka, selain melindungi pertumbuhan ekonomi setempat. Kalau hubungan antara Kerajaan Negeri dan Pusat dikatakan begitu akrab seperti yang selalu digembar-gemburkan, maka saya harap Kerajaan Negeri akan gunakan keakraban itu untuk kepentingan Rakyat Kedah.
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Catatan dari perbahasan saya mengenai Bajet Negeri Kedah 2017 pada 14/11/16 - bahagian kedua Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top