Latest News

Wednesday 16 November 2016

Penyokong Kedah bantah KFA naik harga tiket


ALOR SETAR: Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) sepatutnya tidak mempergunakan kesetiaan penyokong Helang Merah untuk menaikkan harga tiket perlawanan di Stadium Darul Aman. 

Pengerusi Kelab Peminat Jaguh Utara, Mohd Safarizal Mohd Sobri, berkata tindakan menaikkan harga tiket itu tidak sewajarnya dilakukan ketika rakyat dibebani dengan kos sara hidup yang semakin meningkat. 

"Apakah alasan kukuh KFA untuk menaikkan harga tiket, sedangkan tindakan itu hanya membebankan penyokong yang mungkin datang dari jauh apatah lagi jika datang bersama keluarga? 

"KFA ada penaja, sepatutnya jika ingin menaik taraf stadium gunakanlah duit penaja bukannya duit penonton," katanya yang mahu KFA mempertimbang semula cadangan itu," katanya ketika dihubungi Bernama. Katanya, KFA juga baru sahaja menaikkan harga tiket bagi tempat duduk berbumbung daripada RM16 kepada RM22, namun fasiliti dan infrastruktur di stadium masih berada pada takuk lama. 

Dalam sidang Dewan Undangan Negeri hari ini, EXCO Belia dan Sukan, Kesenian dan Kebudayaan dan Pembangunan Insan Kedah, Datuk Aminuddin Omar, berkata KFA akan mempertimbang untuk menaikkan harga tiket perlawanan bola sepak di Stadium Darul Aman mulai tahun depan. 

Beliau yang juga Setiausaha Kehormat KFA berkata, ketika ini, harga tiket di Stadium Darul Aman adalah yang paling murah di dunia dan kenaikan itu sudah pasti tidak akan membebankan semua pihak. 

Senada dengan Mohd Safarizal, Pengerusi Kelab Penyokong Setia Hijau Kuning, Mohd Noor Farzli Adenan, berkata kenaikan harga tiket hanya akan menyebabkan pertambahan kos bagi setiap individu yang mahu menonton perlawanan. 

"Bila individu itu mahu ke stadium, dia bukan hanya membayar tiket tapi juga perlu fikir kos bahan api dan makanan, mungkin mereka perlu sediakan RM40 hingga RM50 untuk sekali perjalanan, bagaimana pula jika mereka duduk jauh seperti di Baling dan Kulim," katanya. 

Bagaimanapun, katanya, penyokong pastinya tidak akan berkira dengan kenaikan berkenaan jika ia digunakan untuk menaik taraf kemudahan seperti surau dan kerusi di stadium. 

"Tapi kalau kemudahan masih lagi macam sekarang, saya harap KFA tangguhkan dahulu cadangan itu," katanya. 

- BERNAMA
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Penyokong Kedah bantah KFA naik harga tiket Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top