Latest News

Saturday 17 June 2017

DOJ : Kenyataan Media Presiden PPBM




KENYATAAN MEDIA TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN PRESIDEN PARTI PRIBUMI BERSATU MALAYSIA


Tindakan terbaharu Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat memfailkan saman ke atas Jho Low dan sekutunya untuk merampas aset bernilai RM2.3 bilion yang diperolehi dengan menggunakan wang yang dicuri daripada 1MDB sekali lagi mendedahkan kepincangan pentadbiran Najib Razak. Saya tidak dapat bayangkan bagaimana seorang Perdana Menteri yang mempunyai kuasa penuh ke atas 1MDB boleh membiarkan wang berbilion ringgit dicuri daripada syarikat milik negara. Wang yang sepatutnya digunakan untuk kepentingan rakyat sebaliknya telah diseleweng untuk kegunaan peribadi, teman rapat dan ahli keluarga, termasuk isteri dan anak tiri Perdana Menteri sendiri. Amat memalukan apabila DOJ menyifatkan kecurian wang 1MDB sebagai "the greatest theft the world has ever known" dan perbuatan terkutuk itu dilakukan oleh Perdana Menteri sendiri.

Dokumen Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat mendedahkan dengan terperinci bagaimana sebahagian daripada keseluruhan RM19.2 billion yang dicuri daripada 1MDB telah digunakan oleh Jho Low dan anak tiri Najib, Riza Aziz, untuk membeli kapal layar, jet peribadi, hartanah mewah, lukisan mahal dan pelbagai barangan kemas di Amerika Syarikat. Wang ini juga telah digunakan untuk membiayai kehidupan mewah dan berfoya-foya Jho Low dan rakan-rakannya, termasuk membayar hutang judi.

Lebih mengejutkan, turut didedahkan ialah sejumlah RM128 juta telah digunakan untuk membeli pelbagai set barangan kemas, termasuk berlian 22-karat, untuk dihadiahkan kepada Datin Seri Rosmah Mansor. Sepertimana yang telah didedahkan sebelum ini, sebanyak RM2.6 bilion wang 1MDB telah dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib.

Tindakan saman sivil oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat ini menunjukkan kesungguhan pihak pendakwaan Amerika Syarikat untuk memerangi jenayah penggubahan wang haram yang membabitkan pembelian aset di negara itu. Saya percaya tindakan pendakwaan jenayah ke atas individu-individu yang mencuri wang 1MDB akan menyusul selepas ini.

Malangnya, Peguam Negara Malaysia yang berkuasa penuh untuk mendakwa mana-mana individu yang terlibat dalam perlakuan jenayah tidak mengambil sebarang tindakan ke atas individu-individu yang dinyatakan secara jelas telah mencuri wang 1MDB, termasuk Malaysian Official One yang merujuk kepada Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak. Malah, Peguam Negara tanpa segan silu membuat kenyataan bahawa pihaknya tidak mendapati sebarang perlakuan jenayah dilakukan oleh sesiapapun dalam kes 1MDB. Mungkin Peguam Negara Malaysia perlu menelaah semula teks undang-undang untuk mendapati bahawa mencuri wang adalah satu kesalahan jenayah.

Antara penerima aset yang diperolehi menggunakan wang 1MDB ialah pelakon terkenal Leonardo DiCaprio. Beliau telah dihadiahkan sebuah lukisan mewah bernilai RM3.2 juta oleh Jho Low. Media Amerika Syarikat melaporkan bahawa pelakon terkenal itu telah memulakan prosiding untuk memulangkan aset tersebut kepada kerajaan Amerika Syarikat. Ini adalah satu langkah yang terpuji.

Saya ternanti-nanti tindakan Datin Seri Rosmah Mansor memulangkan barangan kemas bernilai RM128 juta kepada kerajaan Malaysia. Barangan kemas itu bukanlah milik peribadi beliau kerana ianya dibeli dengan menggunakan wang 1MDB. Justeru, saya menyeru Datin Seri Rosmah supaya segera berbuat demikian.

Dalam keadaan perbelanjaan kerajaan dipotong kerana kekangan kewangan yang meruncing, wang sebanyak itu boleh digunakan untuk pelbagai program kebajikan rakyat. Misalnya, tabung Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) pernah menerima peruntukan sebanyak RM400 juta pada tahun 2009. Namun pada tahun ini hanya RM100 juta diperuntukkan kepada KWAPM untuk diagihkan kepada lebih 1 juta pelajar miskin di seluruh negara.

Alangkah baiknya jika Datin Seri Rosmah dapat memulangkan barangan kemas tersebut kepada kerajaan. Dengan pemulangan itu, kerajaan akan mendapat pertambahan dana sebanyak RM128 juta yang boleh dimasukkan ke dalam tabung KWAPM untuk manfaat pelajar-pelajar miskin di seluruh negara.

Saya menyebutkan perkara ini bukan dengan niat untuk menyindir. Tetapi untuk menunjukkan bagaimana kehilangan wang 1MDB memberi kesan kepada rakyat jelata. Betapa banyak manfaat yang sepatutnya dikecapi oleh rakyat telah hilang begitu sahaja oleh kerana penyelewengan yang dilakukan oleh seorang Perdana Menteri.

Laporan DOJ menyebut sebanyak RM20 bilion wang 1MDB telah dicuri oleh Najib dan konco-konconya. Ini tidak termasuk RM 52 bilion hutang dan tanggungan 1MDB yang kini menjadi tanggungan kerajaan. Ini adalah wang rakyat yang sepatunya digunakan untuk kepentingan rakyat.

Bayangkan wang sebanyak RM20 bilion yang ‘hilang’ itu sepatutnya boleh digunakan untuk membina 500 buah sekolah dengan purata kos RM40 juta sebuah atau 800 buah klinik kesihatan dengan purata kos RM25 juta sebuah. Tetapi oleh kerana pemimpin tidak amanah, manfaat ini tidak dapat dikecapi oleh rakyat. Malah, rakyat pula yang terpaksa menanggung beban dengan membayar pelbagai cukai untuk menampung perbelanjaan kerajaan.

Saya tidak dapat bayangkan Najib masih boleh berdiri sebagai Perdana Menteri setelah segala kecurangannya didedahkan satu persatu. Teramat malu bangsa kita berketuakan seorang pencuri dan perompak.

Saya hairan kenapa Jabatan Peguam Negara Malaysia sebagai institusi yang sepatutnya melindungi kepentingan negara lumpuh untuk bertindak dari segi undang-undang sedangkan DOJ telah memfailkan saman untuk merampas aset yang diperolehi menggunakan wang yang dicuri dari 1MDB? Jika wang telah dicuri, maka tentulah ada orang yang mencurinya. Adakah Peguam Negara sengaja hendak melindungi Najib dan konconya sedangkan hak rakyat dirampas oleh Najib?

Justeru, atas dasar prinsip dan maruah, Peguam Negara Malaysia mesti bertindak mendakwa Najib dan konco-konconya. Jangan beri alasan tiada bukti. Saya tahu agensi penyiasat telah mengumpulkan bukti yang cukup untuk mendakwa Najib.

Jika Peguam Negara seorang yang bermaruah, beliau mesti bertindak memulakan proses pendakwaan dengan segera. Saya ingin mengingatkan Peguam Negara. Jangan halang proses keadilan kerana tanggungjawab kamu adalah untuk melaksanakan keadilan. Ingat, Allah s.w.t sentiasa memerhatikan segala tindak tanduk kamu!

Sudah sampai masanya rakyat mengadili Najib dan kerajaan Barisan Nasional. Rakyat adalah hakim negara. Sekiranya Peguam Negara gagal melaksanakan tanggungjawabnya untuk mendakwa Najib, saya percaya Najib akan ‘didakwa’ di gelanggang mahkamah rakyat dalam pilihanraya umum ke-14. InsyaAllah, Najib dan kerajaan pimpinannya akan diadili dan dijatuhi hukuman yang sewajarnya oleh rakyat nanti.


TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN
Presiden
Parti Pribumi Bersatu Malaysia

17 Jun 2017
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: DOJ : Kenyataan Media Presiden PPBM Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top