Latest News

Thursday 28 September 2017

Kalau bukan sekarang bila lagi, kata Dr Mahathir



PENGERUSI Pakatan Harapan (PH) Dr Mahathir Mohamad dalam ucapannya di Selama, Perak malam tadi berkata jika penduduk kawasan luar bandar itu terus menyokong Barisan Nasional (BN), dan kemudiannya negara ini hancur, ia akibat salah pengundi sendiri.

Bercakap kepada kira-kira 1,000 orang dari kawasan dari kawasan sekitar ladang kelapa sawit, Dr Mahathir berkata penduduk luar bandar tidak boleh lagi terus bersembunyi di sebalik kejahilan tentang skandal kewangan yang merosakkan negara.

Dr Mahathir berkata beliau percaya penduduk luar bandar faham yang sejumlah besar wang pembayar cukai dicuri dan mereka patut memainkan peranan masing-masing untuk menolak rejim sedia ada pada pilihan raya umum akan datang.

“Ada kata orang kampung ni tak peduli. Orang kampung ni tak faham berapa banyak satu bilion tu.


“Saya tak fikir orang kampung ni bodoh. Mereka kena bayar GST, Mereka tahu kerajaan dah tak ada duit,” katanya di depan orang ramai yang hadir program ceramah perdana malam tadi.

“Macam mana kerajaan tak ada duit? Kerana dibelanjakan semuanya. Kemudian curi duit rakyat. Saya fikir orang kampung boleh faham benda ni."

Selama ialah bandar pertanian, terletak kira-kira 45km utara Taiping di Perak. Kebanyakan mereka yang datang malam tadi dari kampung sekitar.

Dr Mahathir kemudian menyerang Perdana Menteri Najib Razak secara terbuka dengan berkata: "Kalau pilih dia lagi, saya tak tau nak kata apa lah."

“Jika kita bagi dia lagi lama jadi perdana menteri, dia akan jadi lebih teruk. Kenapa dia beli sokongan? Kerana rakyat tidak suka dia. Dia harap orang boleh dibeli. Jika anda benarkan dia buat begitu, negara ini akan musnah.”

Dr Mahathir juga menyentuh mengenai siasatan Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat (AS) terhadap 1Malaysia Development Bhd (1MDB), di mana ia melaporkan AS$4.5 bilion didakwa dicuri daripada syarikat pelaburan negara itu.

“Kami tahu duit tu ada kat mana. Ia ada pada Najib, Ia ada pada Rosmah (Mansor) Ia ada pada Jho Low. Ia ada dibekukan di Singapura. Ia ada di Amerika Syarikat dan Switzerland.

“Mereka mahu pulangkan wang itu, tetapi mereka sedang tunggu. Mereka tidak mahu beri balik kepada Najib," katanya.

Dr Mahathir, yang juga bekas perdana menteri mendakwa Najib menjual tanah kepada China.

“Najib bahaya kepada negara kita. Dia selalu jual tanah. Kita tidak sepatutnya jual tanah kita. Jika kita jual tanah, nanti kita akan kehilangannya selamanya. Bila dia jadi hak orang la kita tidak dapat balik.

"TRX, Sungai Besi sudah dijual. Ini cara Najib. Bila anda hutang orang, kena bayar. Jika anda hutang Ah Long, dia akan hantar orang pukul anda.

“Najib hutang RM55 bilion untuk bina landasan kereta api pantai timur. Dia beri kontrak pada China. Jika kita tidak boleh bayar China, apa akan jadi?”

Penceramah lain pada malam tadi ialah Pengerusi Pakatan Harapan Perak Ahmad Faizal Azumu, Senator Selangor Muhammad Nur Manuty dan Ahli Parlimen Kuala Krai daripada Amanah Mohd Hatta Ramli.

Terdahulu, Hatta dalam ucapannya menyentuh mengenai pengumuman Najib sebelum ini yang kerajaan mengutip pendapatan RM41 bilion menerusi GST.

“Dalam dua tahun saja, dia (Najib) kata jika anda batalkan GST, negara akan bankrap.

“Kita boleh baiki keadaan itu, kita Cuma perlu singkirkan pembaziran dan rasuah,” kata Hatta. – 23 September, 2017.

www.themalaysianinsight.com

  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Kalau bukan sekarang bila lagi, kata Dr Mahathir Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top