Latest News

Thursday, 28 September 2017

Mana duitnya, tanya peneroka Felda



DUA bulan selepas mendengar khabar durian runtuh untuk mereka yang diumumkan pentadbiran Najib, peneroka Felda kini semakin skeptik yang janji itu akan ditunaikan.

Ketidakpastian ini, kebanyakannya muncul daripada generasi kedua peneroka akan memberi kesan kepada keupayaan pentadbiran sekarang untuk meraih undi mereka. Undi yang sangat penting, yang selama ini secara tradisinya menjadi milik Barisan Nasional (BN).

Pada hujung Julai lalu, Perdana Menteri Najib Razak berikrar akan memberikan bonus sebanyak RM5,000 untuk 94,956 keluarga peneroka. Bonus itu dikatakan sepatutnya dibayar pada penghujung Ogos.

“Kita dah nak sampai penghujung September tapi satu sen tak nampak lagi,” kata Mohamad Tarmizi dari Felda Jengka 10 di Pahang.

“Cek contoh dah serah pada kawasan kita, tapi duitnya tak nampak lagi,” katanya yang berusia 39 tahun itu.


Seorang lagi generasi peneroka kedua, Andak Ahmad berkata dia dan rakannya sudah lali dikecewakan kerajaan.

“Kita akan tunggu dan lihat. Kita tak menaruh harapan terhadap insentif-insentif ini. Kita dah cukup pengalaman pahit yang lalu berkenaan janji,” katanya ketika ditemui pada Malam Semarak Kasih Felda di Jengka malam tadi.

Ceramah yang dianjurkan Pakatan Harapan (PH) itu adalah usaha terbaru pembangkang untuk meraih undi di Felda, kawasan pembangunan tanah terbesar negara yang mempunyai 54 kerusi Parlimen.

Ia juga ceramah pertama yang dilakukan selepas Najib mengumumkan pakej insentif pada sambutan Hari Felda yang lalu.

Pakej yang diumumkan itu termasuklah bonus khas bernilai RM5,000 yang sepatutnya disalurkan pada hujung Ogos untuk 95,956 keluarga berjumlah RM474.78 juta dan pelbagai insentif lain untuk membantu melangsaikan hutang peneroka.

Antaranya adalah pelangsaian hutang sebanyak RM5,000 untuk setiap peneroka yang memilih melakukan penanaman semula dengan Felda. Sejumlah RM519 juta diperuntukkan untuk insentif ini.

Geran bernilai RM300 juta juga diberikan untuk pelangsaian hutang pinjaman yang diambil peneroka bagi melakukan penanaman semula tanah mereka.

Malah, peneroka generasi pertama yang selama ini merupakan penyokong paling setia BN, juga tidak mengharapkan janji BN ditunaikan.

“Kita tak nampak apa-apa pun daripada RM5,000 tu. Jadi saya tak peduli la ada insentif atau tidak,” kata Jali Sulong dari Felda Jengka 12.

Peneroka berusia 66 tahun itu percaya pengumuman Najib hanyalah helah pilihan raya dan dia mempersoalkan sama ada kerajaan benar-benar serius untuk membantu melangsaikan hutang mereka.

Selama sembilan tahun, Jali bekerja keras untuk melangsaikan hutangnya berjumlah RM33,000 kepada Felda bagi projek penanaman semula tanahnya. Dia fikir dia sudah hampir melangsaikan hutang itu pada pertengahan tahun ini, dengan hanya baki pinjaman sebanyak RM274.

“Bila saya periksa akaun pada bulan Ogoas, Felda kata saya hutang RM2,900 pula. Macam mana RM274 tiba-tiba tukar jadi RM2,900. Jadi macam mana saya nak percaya janji-janji 

  

Dr Mahathir Mohamad mempersoalkan kebenaran janji insentif untuk peneroka yang dilakukan Najib Razak pada ceramah Malam Semarak Kasih Felda yang diadakan malam tadi di Jengka,Pahang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Zainal Abd Halim, 20 September, 2017.

Dalam ceramahnya, Pengerusi Pakatan Harapan Dr Mahathir Mohamad juga mempersoalkan ketulusan janji Najib.

“Dia janji RM5,000 atau pun RM10,000 ribu. Tapi adakah dia mampu untuk bayar? Dia boleh janji apa saja kerana dia nak undi. Tapi tuan-tuan semua cuba fikir, siapa yang akan bayaran?”

Janji Najib kepada peneroka Felda bermula ketika pentadbirannya memutuskan untuk membentuk Felda Global Ventures Holdings (FGV) pada 2012 dan menyenaraikannya dalam pasaran saham, kata Dr Mahathir.

“Bila dia nak senaraikan pada bursa dia janji kepada peneroka semua kalau harga saham naik RM4 to RM10, semua kamu akan jadi jutawan.”

Sejumlah 77,934 keluarga peneroka membuat pinjaman lebih daripada RM3,600 bagi membayar 800 unit saham FGV pada 2012. Setiap bulan, RM50 akan ditolak untuk membayar pinjaman itu.

Bagaimanapun, harga saham FGV jatuh mendadak daripada RM4.55 seunit kepada RM1.66 seunit.

Kerajaan sudah berikrar untuk melangsaikan hutang peneroka yang membuat pinjaman bagi membeli saham itu.

“Tapi tengok la harga saham sekarang. Siapa yang betul-betul dapat kelebihan daripada FGV?” kata Dr Mahathir.

“Kalau Najib nak bagi duit untuk dapatkan undi saya mintak tuan-tuan mesti fikir dengan mendalam. Kerana kalau kita jual undi kita, nescaya Malaysia akan bertambah rosak dalam lima tahun kemudian kerana kerajaan yang kita ada dipimpin pencuri.” – 20 September, 2017.


  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Mana duitnya, tanya peneroka Felda Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top