Latest News

Monday 26 February 2018

Kunci laluan ke Putrajaya letaknya di tanah gajah menyusur



PAKATAN Harapan (PH) mengumumkan senjata paling ampuhnya di tanah satu ketika dahulu kawasan gajah menyusur, Alor Gajah, Melaka malam ini menerusi kempen Jelajah Harapan.

Di hadapan khalayak hampir 3,000 orang, PH menampilkan Pengerusinya dan calon Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan calon Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden PH Dr Wan Azizah Wan Ismail kepada penduduk Melaka.

Turut hadir ialah Timbalan Presiden PH Mohamad Sabu dan Muhyiddin Yassin, Setiausaha Agung PH Saifuddin Abdullah dan Setiausaha Penganjur DAP Anthony Loke.

Jadual Jelajah Harapan PH petang tadi juga padat dengan dua majlis berjalan serentak di Melaka apabila Dr Mahathir mengadakan sesi The Tarik dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng bertemu pengundi negeri itu.


Bagi menekankan kepentingan Alor Gajah, Loke yang juga ahli Parlimen Seremban mengatakan komposisi kerusi Alor Gajah adalah gambaran kepada populasi Malaysia.

“DAP banyak kali bertanding di sini tetapi kalah. Kerana itu kami beri laluan kepada Bersatu untuk ambil kerusi ini.

“Jika Pakatan menang di sini, MCA akan ‘habis’. Mereka menang di sini bukan kerana kekuatan mereka tetapi kerana kekuatan Umno.

“Kerana itu kami mahu Bersatu lawan proksi Umno ini. Saya mahu semua pengundi Cina di sini mengund Bersatu dan buang MCA. Ini kerusi mereka paling lama,” kata Loke lagi.


Hampir 3,000 rakyat menghadiri majlis Jelajah Harapan malam ini di Alor Gajah, Melaka. Kawasan itu dianggap penting kerana ia gambaran populasi Malaysia, memenanginya daripada MCA boleh membuka laluan besar ke Putrajaya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 25 Februari, 2018.

Katanya, jika Alor Gajah yang mempunyai pengundi 59% Melayu, 28% Cina dan 13% India pada PRU13 boleh jatuh, maka Pakatan akan menang di banyak kerusi di Johor dan dalam perjalanan selesa ke Putrajaya.

Kerusi Parlimen Alor Gajah mempunyai lima kerusi negeri- Rembia, Gadek, Machap, Durian Tunggal dan Asahan. Dibentuk pada 1974, Alor Gajah kini milik BN dan diwakili Koh Nai Kwong.

Pada PRU13, Koh menewaskan calon DAP, Damien Yeo dengan majoriti 11,597 undi.

Mohamad Sabu pula berkata semua orang bertanggungjawab kepada kemenangan dan kekalahan dalam PRU14.

“(Kalau) Bersendiri semua empat parti tak kuat. Tetapi bila bersama-sama ia tidak boleh dikalahkan. Jika Bersatu kalah Amanah dan DAP juga bertanggungjawab. Dan jika satu lagi parti kalah semua yang lain turut bertanggungjawab,” kata presiden Amanah itu.

PH terdiri daripada DAP, PKR, Amanah dan Bersatu.

Sebelum itu, Mohd Rafiq Naizamohideen daripada Bersatu menggunakan kes National Feedlot Corporation (NFC) untuk menggambarkan betapa ketidakadilan wujud di negara ini.

“Rakyat (Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli dan bekas kerani Public Bank Johari Mohamad) dijatuhkan hukuman penjara tetapi orang di sebalik kes itu naik pangkat.

“Shahrizat Abdul Jalil, yang suaminya Mohamad Salleh Ismail yang menguruskan NFC naik pangkat daripada Dato Seri kepada Tan Sri tetapi orang lain dihukum. Ini menunjukkan betapa teruk korupsi,” kata ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu itu.

Pada PRU13, BN menang 21 kerusi DUN, Pakatan Rakyat- gabungan pembangkang ketika itu- pula menang tujuh kerusi DUN di Melaka. Di peringkat Parlimen, BN menang empat dan Pakatan Rakyat menang dua. – 25 Februari, 2018.
  • Blogger Comments
  • Facebook Comments

0 comments:

Post a Comment

Item Reviewed: Kunci laluan ke Putrajaya letaknya di tanah gajah menyusur Rating: 5 Reviewed By: Anak Melayu
Scroll to Top