ALOR SETAR 26 JUN 2019 - Projek Terminal Perikanan Bersepadu Kedah atau Kedah Integrated Fishery Terminal(KIFT) di utara muara Kuala Kedah bakal menyediakan pelbagai kemudahan penangkapan ikan laut dalam sekaligus menjadi pemangkin kepada industri perikanan negeri Kedah.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Haji Mukhriz Mahathir, berkata KIFT yang membabitkan kos kira-kira RM1 bilion bakal menjadi pusat pendaratan ikan tuna dari Lautan Hindi yang akan diproses sebelum dieksport semula ke China melalui Qingdao yang akan memberi impak ekonomi kepada Kedah.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangan memorandum persefahaman (MoU) antara Menteri Besar Incorporated Kedah (MBI Kedah) dan Lu Hai Feng Group (LHF) di Wisma Darul Aman.
MoU itu ditandatangani oleh Pegawai Eksekutif MBI Kedah, Dr Mahadi Mohamad dan Naib Presiden Qingdao Luhaifeng Foods Group Co, Liu Jisheng.
Syarikat Lu HaiFeng Group yang berpangkalan di Qingdao, China menyatakan komitmen untuk membantu membangunkan KIFT menerusi penyediaan teknologi penangkapan ikan, perkapalan dan kemudahan untuk menangkap ikan tuna.
KIFT tidak akan menjejaskan nelayan tempatan malahan dijadikan tempat perkongsian teknologi tinggi dalam industri perikanan. Selain itu, nelayan tempatan akan mendapat manfaat dari kemudahan terminal yang akan dibina nanti.
LHF memiliki kepakaran teknologi membekukan ikan sehingga negatif 60 darjah Celcius bagi memastikan kesegaran hasil laut terpelihara sebelum dieksport ke China.
Ketika ini sudah ada enam buah kapal sudah berlabuh di Pulau Langkawi dan lesen sementara juga sudah dikeluarkan di mana dijangkakan pada bulan depan kerja menangkap ikan tuna di Lautan Hindi akan bermula. Kapal-kapal itu berlabuh dan akan beroperasi sementara di Langkawi sehingga terminal di Kuala Kedah siap dibina.
Mengulas lanjut, Dato’ Seri Mukhriz berkata terdapat perbezaan berbanding MoU yang ditandatangani sebelum ini sewaktu menjadi Menteri Besar sebelum ini dimana ia melibatkan projek di Kuala Tebengau. Katanya, skala KIFT kali ini lebih pragmatik dan pelaburan kurang sedikit dan ia lebih baik daripada projek berskala besar yang memerlukan pelaburan awal lebih tinggi. Namun, kini pembinaan KIFT dilaksanakan secara berfasa dan menepati aliran tunai yang boleh dijana.
0 comments:
Post a Comment